Edisi Nasional : Memorandum minta RM9j
Harian Metro, 18 september 2006
Oleh Manan Samad
PUTRAJAYA: Dua lelaki dipercayai ‘kurang siuman’, sanggup berkunjung ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, semata-mata untuk menghantar memorandum tidak masuk akal termasuk memohon bantuan RM9 juta daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Memorandum dua helai yang dihantar pada 4 September lalu itu ditulis seorang daripada lelaki terbabit yang beralamat di Jalan Raja Alang, Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Harian Metro difahamkan, seorang lagi rakannya berasal dari Muar, Johor dan kedua-duanya berusia 23 tahun.
Memorandum itu ditujukan kepada Perdana Menteri dengan tajuk ‘Perutusan Para Wali Allah Kepada Pejuang Intifada Kesabaran’.
Sumber berkata, kedua-dua lelaki terbabit berpakaian kemas ketika menghantar memorandum terbabit.
“Sekali imbas, mereka nampak seperti orang biasa. Tapi, apabila dibaca kandungan surat itu, jelas kandungannya tidak masuk akal dan ditulis orang kurang siuman.
“Antaranya permohonan RM9 juta untuk dikongsi keluarga dan rakan yang percaya malapetaka akan berlaku jika perkara (nasihatnya) dibuat main-main.
“Dia juga mendakwa kononnya mendapat keizinan wali Allah untuk mewakili junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w dan dengan kebesaran Allah menjadi wakil Rasul untuk tujuan benar dan nyata,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.
Antara kandungan pelik dalam memorandum itu ialah permintaan supaya kaum Yahudi atau zionis dimaafkan kerana kekejaman terhadap masyarakat Islam di Palestin dan Lubnan.
Alasan mereka ialah kerana orang Yahudi juga ingin masuk syurga, justeru tidak wajar untuk masyarakat Islam membenci dan mempunyai prasangka buruk terhadap kaum itu.
Dia berharap ulama, ahli sufi dan pemimpin agama memperoleh petunjuk dan hidayah untuk menjadi mukmin sejati sekali gus boleh membuatkan jiwa dan hati masyarakat Islam tenang.
Lelaki misteri itu mengajak umat Islam menghadapi ujian Tuhan dengan senyuman dan menganggap peristiwa yang berlaku sebagai pengajaran untuk difikirkan bersama di seluruh dunia.
Utusan wali Allah palsu itu juga berharap dia dapat menjadi penyelamat kepada manusia generasi baru supaya dapat menjalani kehidupan seperti biasa.
Sumber itu berkata, lelaki terbabit turut menyamakan sifatnya dengan bekas bintang bola sepak Perancis, Zinedine Zidane.
“Dalam suratnya itu, dia tidak nyatakan nama Zidane, tapi mendakwa bersikap seperti pemain bola sepak agung masa kini iaitu pemain Perancis beragama Islam yang jiwa dan hati yang tenang akan hilang kesabaran jika maruah keluarga tercalar (insiden hantuk dada di Piala Dunia).
“Dia juga memohon pengorbanannya dihargai tetapi tidak perlu dihormati kerana dia hanya mewakili Nabi Muhammad s.a.w, selain hanya mempunyai sedikit sifat mulia dan terpuji,” katanya.
No comments:
Post a Comment