Tuesday, September 12, 2006

Al-Quran tulisan braille diedar

Berita Harian, 12 september 2006


AQBG1 enam jilid dibekal secara berperingkat ke sekolah rendah, menengah

KEMENTERIAN Pelajaran melalui Bahagian Buku Teks (BBT) membekalkan al-Quran dalam Bentuk Braille Gred Satu (AQBG1) untuk kegunaan semua pelajar Islam yang cacat penglihatan, mulai tahun ini.

Pengarah BBT, Ab Rasid Yaakop, berkata AQBG1 dibekalkan kepada pelajar terbabit di sekolah dan program pendidikan khas integrasi cacat penglihatan di seluruh negara.

Sambil menjelaskan projek itu adalah hasil kerjasama julung kali dengan Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis), katanya, setiap sekolah turut menerima sekurang-kurang satu set AQBG1 untuk simpanan.

Beliau berkata, idea berkenaan tercetus hasil lawatan kerja Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, ke Brunei Darussalam awal tahun lalu.

“Segala urusan penerbitan dan percetakan AQBG1 adalah tanggungjawab pihak Pertis sepenuhnya, manakala urusan pembekalan al-Quran ini pula diuruskan BBT dengan bantuan Jabatan Pendidikan Khas.

“Al-Quran ini adalah transkripsi daripada manuskrip kitab al-Quran asal tanpa membuat sebarang perubahan kecuali sedikit modifikasi terhadap tulisan yang sesuai dengan keperluan individu cacat penglihatan.

“Malah, AQBG1 sudah melalui proses penyemakan dan mendapat pengesahan daripada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Pembekalan AQBG1 kepada pelajar terbabit adalah menerusi Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT),” katanya kepada Berita Harian.

Ab Rasid berkata, setiap set AQBG1 mengandungi enam jilid yang dibekalkan secara berperingkat kepada pelajar berkenaan pada peringkat persekolahan rendah dan menengah.

Beliau berkata, jangka hayat set al-Quran terbabit ialah antara dua hingga tiga tahun berdasarkan kekerapan penggunaannya yang boleh menghauskan cetakan tulisan braille berkenaan.

Katanya, antara rasional inisiatif BBT melaksanakan projek penerbitan AQBG1 ialah bagi menggalakkan aktiviti penggunaan al-Quran di kalangan pelajar dan guru pendidikan khas.

Selain itu, beliau berkata, ia memudahkan pelajar cacat penglihatan untuk memperoleh ilmu seperti dinikmati rakan sebaya, sekali gus menjana pengajaran dan pembelajaran lebih mesra kepada keperluan mereka.

“Di samping itu, ia adalah salah satu program khidmat masyarakat atau projek komuniti BBT untuk bersama menjana kecemerlangan pelajar istimewa.

“Ia secara langsung memperkasakan peranan BBT menerokai dimensi baru dalam bidang penerbitan bahan pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan keperluan golongan pelajar berkenaan,” katanya.

No comments: