Tuesday, September 26, 2006

Lawatan bertanya khabar

Utusan Malaysia, 26 september 2006

Oleh: MOHD. ZAINI NASRI

DR. NOR HAYATI bersalaman dengan wakil penghuni RSK Perlis selepas menyampaikan sumbangan kepada rumah kebajikan tersebut sambil disaksikan sebahagian penghuni RSK Perlis yang lain.

APAKAH kerana bapa kita pernah melakukan sedikit kesalahan, kita akan terus melupakan mereka dan membiarkan mereka menghabiskan sisa-sisa hidup di rumah orang tua?

Lupakah kita akan jasa dan pengorbanan mereka sebelum ini? Cuba bayangkan tanpa mereka pastinya kita tidak akan melihat dunia ini.

Seperti manusia lain, seorang bapa juga tidak dapat lari daripada membuat kesilapan. Namun berilah peluang kepada mereka untuk menebus kesilapan dan kembali ke pangkal jalan.

Jangan dipersiakan hidup mereka kerana biar macam mana buruk sekalipun tingkah laku, mereka tetap bapa yang perlu dihormati dan disayangi.

Menyedari betapa warga tua memerlukan perhatian, kakitangan Fakulti Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM) yang diketuai Dekannya, Prof. Madya Dr. Nor Hayati Ahmad telah melakukan lawatan ke Rumah Sri Kenangan Perlis (RSK Perlis).

Tujuan lawatan adalah untuk melihat sendiri kehidupan penghuni di rumah tersebut, beramah mesra dan bertanya khabar.

Kunjungan tersebut telah membuka ruang kepada penulis untuk berkongsi cerita dengan dua penghuninya mengenai pengalaman mereka tinggal di rumah tersebut.

Salah seorang daripada mereka, Zuki Ismail, 68, sudah enam tahun tinggal di rumah tersebut. Dia kecewa sebab anak-anaknya tidak pernah datang melawatnya.

“Berilah peluang kepada ayah untuk menebus kembali dosa-dosa lalu. Ayah rindu untuk bersama keluarga seperti dahulu,’’ keluh Zuki membuka bicara.

Menurut Zuki, anak-anaknya tahu dia tinggal di RSK tetapi tiada seorang pun mengambil inisiatif untuk datang menjenguknya.

Masuk tahun ini, sudah enam kali Zuki menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri di RSK. Zuki kini dilantik sebagai ketua penghuni lelaki di rumah kebajikan itu.

Menurut Zuki, seperti orang lain, dia juga sangat mengharapkan kedatangan anak-anak melawatnya untuk melepaskan rindu.

“Saya semakin sedar betapa keluarga ialah harta yang paling bernilai dan saya ingin menebus kembali kesalahan yang pernah saya lakukan dulu. Saya berharap Ramadan kali ini mempertemukan semula saya dengan anak-anak,’’ katanya.

Pun begitu, kata Zuki, dia akan terus tinggal di RSK kerana tidak mahu menyusahkan anak-anak.

“Saya hanya mahu bertemu mereka. Itu sahaja,’’ tambahnya.

Baginya, tinggal di situ merupakan satu nikmat kerana dia dapat mengisi masa lapang dengan pelbagai aktiviti bersama rakan-rakan seusia walaupun dia dihambat perasaan sedih.

Seorang rakannya yang juga mengalami nasib yang sama, Samsudin Naharin, 60, berkata, dia dihantar ke RSK selepas keluar dari hospital kerana tiada saudaramara yang menuntutnya.

Samsudin yang merupakan pesara Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dengan sayu memohon dua anaknya melupakan kisah lalu dan memaafkan kesalahannya.

Katanya, mungkin dia pernah melakukan kesilapan dan melukakan hati orang tersayang tetapi dia sudah insaf dan mengharapkan kehadiran anak-anak dalam meniti kehidupan hari tua.

“Ini merupakan Ramadan kedua yang saya lalui tanpa keluarga dan sanak saudara,” katanya.

Sempena kedatangan Ramadan yang mulia ini, dia berharap ada keajaiban berlaku dalam hidupnya.

“Saya berdoa semoga satu hari nanti anak-anak serta saudara-mara akan datang melawat saya,’’ katanya.

Sementara itu, Dr. Nor Hayati berkata, warga tua atau mereka yang sudah memasuki usia emas tidak harus dilupakan begitu saja kerana golongan itu juga mendambakan kasih sayang dan perhatian ramai.

Katanya, sikap segelintir generasi muda yang melupai dan mengabaikan warga tua dianggap perbuatan tidak bertanggungjawab dan menyimpang daripada budaya dan nilai budi masyarakat Timur.

Dr. Nor Hayati berkata, semua manusia pasti akan melalui proses yang sama.

“Saya berharap lawatan kakitangan UUM ini akan berterusan dari semasa ke semasa dan ini bukan yang terakhir. Melalui program ini fakulti dapat mendampingi masyarakat luar di samping melakukan ibadah yang dituntut dalam Islam,” ujarnya lagi.

Pada majlis itu Dr. Nor Hayati menyampaikan sumbangan berbentuk peralatan bernilai RM1, 000 kepada RSK.

RSK Perlis menempatkan seramai 107 penghuni iaitu 60 penghuni lelaki dan 47 perempuan yang berusia 60 tahun ke atas. Penghuni Melayu seramai 70 orang, Cina (17) dan India (22).

Pembantu Pembangunan Masyarakat RSK Perlis, Noor Hisham Kamaruddin pula berkata, sokongan semua pihak terhadap RSK Perlis amat memberangsangkan.

Rumah kebajikan itu mendapat sumbangan makanan ringan, beras, biskut serta terlibat dalam penganjuran program yang merangsang semangat kasih sayang dan mencintai warga emas.

Menurutnya, RSK Perlis mengamalkan konsep pintu terbuka iaitu menerima kehadiran, pandangan dan pendapat semua pihak, selain bersedia bekerjasama dengan masyarakat luar dalam usaha memastikan perkhidmatan untuk warga emas berada pada tahap terbaik.

“Kita sedia maklum warga emas memiliki banyak pengalaman, sensitif, mahu dihargai serta ada yang proaktif. Ini mendorong kepada perlunya pergaulan dengan masyarakat luar.

“Justeru, mereka perlu dilibatkan dalam program yang dapat meningkatkan motivasi dan keinginan mereka untuk meneruskan kehidupan dengan lebih ceria,” katanya.

Antara aktiviti yang dianjurkan ialah senaman, muzik terapi dan sukaneka. Dalam bidang kerohanian mereka terbabit dengan program agama, ceramah serta kaunseling, selain projek ekonomi seperti tanaman mangga dan ternakan ikan keli.

Dalam bidang sosial, mereka membantu rakan dan penghuni lain yang tidak berupaya di samping terbabit dengan program lawatan serta menghadiri majlis rasmi dan keramaian

No comments: