Tuesday, September 26, 2006

Permata Hati: Harapan Nurul terkabul


Sukan Special Olympics buktikan keistimewaan bukan penghalang untuk berjaya dalam hidup

SETIAP kali menyambut tahun baru, ibu bapa yang menyertai Persatuan Down Syndrome Negeri Johor (PDSNJ) akan melekatkan sekeping kertas untuk mencatatkan harapan mereka ke atas anak-anak sindrom down masing-masing pada sebatang pokok yang dipanggil `pokok harapan'.

Kertas yang dilekatkan pada pokok berkenaan hanya akan dibuka pada setiap hujung tahun untuk mengenal pasti sama ada harapan mereka mencapai sasaran atau sebaliknya.

Walaupun masih bersisa tiga bulan menjelang berakhirnya tahun ini, harapan seorang ibu yang tinggal di Jalan Dedap 26, Taman Johor Jaya, Johor Bahru untuk melihat anaknya, Raja Nurul Syafiqah Raja Hazman Shah, 14, menyertai sukan paralimpik dianggap sudah terkabul apabila anak bongsunya menyertai Sukan Special Olympics.

Special Olympics adalah sukan baru yang pertama kali diperkenalkan di negara ini dengan memfokus kepada mereka yang mempunyai pergerakan dan pembelajaran lambat seperti kanak-kanak sindrom down.

Kasmah Ismail, 54, berkata Nurul mewakili Johor dalam acara baling bola lisut dan lari 100 meter dalam Sukan Special Olympics peringkat kebangsaan kali pertama di Stadium Likas, Sabah pada 7 hingga 10 September lalu.

Pada pertandingan itu, Nurul, anak bongsu daripada empat beradik memenangi pingat emas dalam acara baling bola lisut dan memenangi riben tempat kelima dalam acara lari 100 meter.

"Awal Januari lalu, saya mengharapkan anak saya terpilih untuk menyertai sukan paralimpik. Harapan itu saya tulis pada sekeping kertas sebelum dilekatkan pada pokok harapan. Kejayaan yang dicapai Nurul sehingga meraih pingat emas dalam acara baling bola lisut pada Sukan Special Olympics lalu lebih mencukupi untuk memenuhi harapan saya.

"Saya percaya apabila membuka kertas yang dilekatkan pada pokok harapan pada hujung tahun ini, saya mungkin boleh tersenyum lebar kerana harapan yang diidamkan menjadi kenyataan," katanya ketika ditemui di kediamannya, di Johor bahru, baru-baru ini.

Kasmah yang juga Naib Pengerusi PDSNJ berkata, Nurul menunjukkan sikap aktif sejak pra sekolah dan berbakat dalam bidang sukan seperti ayahnya, Raja Hazman Shah Raja Ismail, 53, yang pernah aktif mewakili Johor dalam sukan tenis dan kini beralih kepada sukan golf.

Nurul, anak bongsu daripada empat beradik kini bersekolah di Sekolah Kebangsaan Perempuan Bandar Tinggi juga aktif dalam kegiatan luar apabila pernah mengikuti perkhemahan murid pendidikan khas negeri Johor di Kem Gunung Berlumut pada 2004.

Kejayaan Nurul dalam sukan Special Olympics membolehkan beliau juga terpilih sebagai Tokoh Pelajar untuk Johor Bahru bagi kategori Pendidikan Khas dalam Majlis Konvokesyen Pendidikan Khas Johor Bahru di Pusat Produktiviti Negara (NPC), Bandar Baru Uda, Rabu lalu.

Kasmah berkata, kanak-kanak sindrom down juga mampu walau tidak setanding seperti kanak-kanak normal untuk aktif dalam sukan dan pelbagai kegiatan lain.

Beliau berkata, melalui program intervensi awal, kanak-kanak sindrom down boleh dilatih untuk menjalani hidup seperti kanak-kanak normal.

"Kini, banyak kanak-kanak sindrom down yang membabitkan diri dalam pelbagai kegiatan dan mempunyai kerjaya sebagai pemain muzik, ahli sukan dan pelukis. Mereka ini memang mempunyai masalah pembelajaran, tetapi ibu bapa dan adik beradik perlu memberikan perhatian dan sokongan padu kepada mereka untuk berjaya dalam hidup.

"Apa yang kita harap daripada semua usaha ini akan membolehkan mereka hidup berdikari," katanya.

Sehubungan itu, Kasmah menggalakkan ibu bapa yang mempunyai anak-anak sindrom down menyertai Persatuan Down Syndrome Johor yang beralamat di 2C, Jalan Yahya Awal, Johor Bahru atau berkunjung di rumah persatuan di No 54, Jalan Indah 6/3, Taman Bukit Indah, Johor Bahru.

Dengan menyertai persatuan ini, kanak-kanak sindrom down boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti taekwando, kompang, melukis serta berenang di rumah persatuan yang turut mempunyai kemudahan perpustakaan mini dan alat permainan di Taman Bukit Indah.

Selain itu, persatuan juga menganjurkan kelas muzik dan gerakan di Kulai, manakala kelas boling di Daiman Bowl, Taman Johor Jaya. Malah, dengan berpersatuan, kanak-kanak terbabit boleh mengikuti perkumpulan hujung minggu untuk melakukan aktiviti lawatan sambil belajar bagi membolehkan kanak-kanak berkenaan mengetahui keadaan sekelilingnya.

Kegiatan sebegitu bukan saja mendedahkan masyarakat kepada kanak-kanak sindrom down, bahkan mendidik masyarakat supaya dapat menerima kanak-kanak berkenaan seperti kanak-kanak lain.

Antara lawatan yang sudah dilakukan persatuan ialah melawat kebun buah-buahan Desaru Fruit Farm pada bulan lalu dan pusat beli belah Jusco Tebrau untuk melawat kedai kek bagi mendapat penerangan mengenai aktiviti membuat kek, roti dan sushi.


FAKTA:

Nama: Raja Nurul Syafiqah Raja Hazman Shah
Umur: 14 tahun
Asal: Johor Bahru, Johor
Ibu: Kasmah Ismail
Bapa: Raja Hazman Shah Raja Ismail
Pencapaian: Pingat emas dalam acara baling bola lisut pada Sukan Special Olympics, Tokoh Pelajar Johor Bahru bagi kategori Pendidikan Khas dalam Majlis Konvokesyen Pendidikan Khas Johor Bahru

No comments: