Tuesday, September 05, 2006

Antara Kepentingan Sendiri Dan Kepentingan Ramai

Asalamualaikum wrt dan salam sejahtera.

Perjuangan seringkali dilihat dan diterjemahkan dengan berbagai pengertian dan tindakan. Ada yang memperjuangkan sesuatu atas platform umum(ramai) namun hakikat sebenarnya hanya memperjuangkan kepentingan sendiri. Ada yang menggunakan platform umum ini dengan tepat dan betul iaitu memperjuangkan kepentingan ramai. Antara dua perjuangan ini walau dari platform manapun pasti boleh dilihat dengan nyata perbezaannya.

Secara khusus perjuangan OKU bagi saya adalah suatu perjuangan yang menuntut kita atau sesiapa sahaja bukan sekadar memperjuangkan kepentingan sendiri malah lebih utama adalah memperjuangkan kepentingan OKU seluruhnya, memperjuangkan kesejahteraan OKU yang melampaui kategori, bangsa atau apa sahaja. Malah Islam sendiri menuntut kita memperjuangkan isu-isu kesejahteraan bagi manusia. Kesejahteraan dalam konteks OKU adalah kesamarataan peluang dan hak-hak untuk dinikmati sepertimana anggota masyarakat yang lain termasuk hak bagi memperolehi pekerjaan, memiliki harta, hak untuk memperolehi peluang dan ruang, hak-hak dalam pendidikan, keusahawanan, kesihatan, hak untuk menikmati dan menggunakan segala kemudahan yang ada di Malaysia ini dan termasuk juga dengan lain-lain hak. Kemudahan asas dan lelainnya mesti disediakan oleh pihak-pihak yang berwajib dan bertanggungjawab.

Ini perjuangannya, mana-mana individu atau pertubuhan mesti melihat perkara ini dalam usaha mereka memperjuangkan hak-hak OKU ini. Kita tidak mahu melihat platform OKU ini dijadikan batu loncatan oleh sesiapa juga samaada OKU atau orang normal bagi kepentingan diri sahaja. Kita tidak mahu ianya dijadikan sebagai suatu perjuangan untuk menonjol diri, perjuangan untuk mendapatkan title "Datuk" atau apa saja anugerah sedangkan sebenarnya mereka tidakpun memperjuangkan hak=hak OKU seluruhnya melainkan hanya kepentingan mereka sendiri sahaja.

Ini situasi yang harus semua pihak menilai, samada media, OKU sendiri, pihak kerajaan atau sesiapa saja yang mahu melihat kesejahteraan OKU seluruhnya dapat dicapai. Mereka-mereka yang memperalatkan perjuangan OKU untuk kepentingan sendiri harus dan mesti disingkirkan. Mereka tidak layak untuk mendapat anugerah itu dan ini. Perjuangan OKU ini adalah suatu perjuangan yang menuntut keikhlasan dan kejujuran. Perjuangan OKU bukan sekadar untuk kepentingan diri sahaja. Memang tidak salah untuk berfikir mengenai kepentingan sendiri tetapi jangan menggunakan platform perjuangan OKU. Kepentingan sendiri bukan perjuangan sebenar untuk ditakrifkan sebagai perjuangan..kecuali dalam masa yang sama dia memberi keutamaan kepada OKU seluruhnya.

Kita harap masyarakat, media, OKU, dan pihak lainnya termasuk kerajaan harus sedar dan peka dalam menilai yang mana satu perjuangan OKU dan yang mana satu perjuangan untuk diri mereka sendiri. Kita tidak mahu peruntukan dan apa juga bantuan yang semestinya diberi kepada perjuangan OKU diberi pula kepada individu yang ada kepentingan ini walaupun dia dilihat berada dalam platform perjuangan OKU atau berada dalam persatuan memperjuangkan OKU. Kita tidak mahu persatuan-persatuan OKU dijadikan suatu medan dan cara bagi mendapatkan habuan dan sebagainya. Kerajaan harus peka dan bijak dalam memberi dan melaksanakan agihan peruntukan dan peluang-peluang ini supaya hanya persatuan yang benar-benar layak memperjuangkan OKU sahaja yang layak diberi keutamaan dan pertimbangan.

Siapapun mereka, walau darimana pun datangnya mereka yang berkepentingan sendiri ini maka semestinya kita menolak dan bijak menilai. Kita mahukan kejujuran dan keikhlasan. Kita harus bijak menilai antara permata dan kaca, jangan silap dalam menilai kerana kita bimbang sekiranya yang sebenarnya perjuangan, yang sebenarnya orang yang mahu memperjuangkan nasib OKU diketepikan tetapi orang atau persatuan yang hanya mengutamakan kepentingan sendiri pula diberi segala-galanya.

Ini perjuangan OKU,


No comments: