Sunday, September 03, 2006

Tertikam diri sendiri

Harian Metro, 3 September 2006

IPOH: Seorang pesakit mental berusia 40 tahun cedera di leher dipercayai akibat tertikam dirinya sendiri dengan pisau selepas dikatakan tiba-tiba mengamuk di kawasan permainan kanak-kanak di Bercham, di sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 7 pagi apabila lelaki itu yang bekerja sebagai penjual sayur di Pasar Bercham dipercayai gagal mengawal dirinya.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Assisten Komisioner Jalaludin Ibrahim, berkata sepasukan anggota polis dikejarkan ke tempat kejadian selepas mendapat maklumat berhubung kejadian itu.

Katanya, polis berjaya mengawal keadaan dalam masa singkat dan menahan lelaki terbabit.

�Berdasarkan laporan, lelaki itu dipercayai mengamuk dan gagal mengawal diri berikutan masalah mental yang dihidapi.

�Kita juga menjumpai pisau yang digunakan lelaki terbabit di tempat kejadian,� katanya di sini, semalam.

Jalaludin berkata, lelaki terbabit dihantar ke Hospital Ipoh (HI) dengan ambulans sebelum dipindahkan ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan selepas itu.

No comments: