Saturday, September 23, 2006

Dilema cinta gadis lumpuh dalam Cantik

Berita Harian, 23 september 2006


MENYEDARI sambutan cukup baik diberikan kepada dua drama bersiri Indonesia sebelum ini, Ku T'lah Jatuh Cinta dan Pacar Khayalan, syarikat pengedaran filem Sendi Mutiara Networks Sdn Bhd sekali lagi membawakan sebuah drama, Cantik, untuk hiburan penggemar VCD Indonesia di negara ini.

Dengan mengetengahkan konsep budaya pop, drama ini turut memaparkan kisah cinta remaja sebagai tarikan utama. Tema cinta sebegini sememangnya mudah diterima oleh masyarakat, di samping jalan cerita mengasyikkan berbentuk sejagat.

Cantik menampilkan artis popular negara seberang seperti Agnes Monica yang kini meletup bersama lagu Tak Ada Logika, bersama pelakon tampan, Temmy Rahardi. Watak pembantu pula dijayakan Christy Jusung, Jeane Wenas, Usi Novita, Yana Zean, Athoy Herlambang dan Didi Petet.

Volume pertama daripada 10 siri drama bersiri ini mula berada di pasaran bermula 15 September.

Sendi Mutiara memang mengharapkan sambutan baik diberikan kepada drama Cantik ini, setelah mencatat sambutan membanggakan menerusi Ku T’lah Jatuh Cinta, yang turut menampilkan Agnes sebagai pelakonnya. Drama ini diarahkan Ari Ibnu Hajar dan Rulli Manna serta diterbitkan syarikat PT Diwangkara Film.

Penerbitnya, Budi Mulyono serta pengarah drama berkenaan sengaja mengangkat tema cinta kerana ia mudah diterima oleh segenap lapisan masyarakat. Selain pergolakan cinta, drama bersiri ini turut memaparkan pergolakan dalam keluarga.

Cantik mengisahkan seorang pelajar kolej yang pintar, cantik dan popular bernama Juli (Agnes Monica) yang berkawan rapat dengan jejaka kacak, Robert (Temmy Rahardi). Juli menjalani kehidupan yang bermasalah akibat perceraian orang tuanya. Bapanya, Yakub pernah berkahwin dengan perempuan lain bernama, Maya, sebelum berkahwin dengan ibunya, Anna.

Kini Juli tinggal bersama ibu dan adik lelaki, John (Irfan Jay) yang bersifat lembut. Juli mempunyai kakak tiri, Susan (Jeane Wenas) yang turut ingin mendapatkan perhatian serta cinta dari Robert. Bagaimanapun, malang tidak berbau kerana ketika Juli membuat persiapan hari jadi ibunya, dia, Robert dan Susan ditimpa kemalangan.

Akibatnya, Juli menjadi lumpuh. Prita (Christy Jusung) yang memang menaruh hati terhadap John mengambil kesempatan atas keadaan itu dengan memberi Juli sebuah kerusi roda. Kerana kehidupan yang penuh tekanan, satu hari dia cuba untuk membunuh diri tetapi diselamatkan oleh Dr Rommy, iaitu abang Robert.

Anna pula sentiasa mendapat tekanan serta gangguan daripada Maya. Lalu, demi meringankan beban ibunya, Juli mengambil keputusan berhenti kuliah dan berkerja untuk menanggung ekonomi keluarga.

Hubungan antara Juli dan Robert juga selalu saja berantakan angkara Susan. Wanita itu membocorkan rahsia bahawa Robert sebenarnya yang membuatkan dia lumpuh. Susan turut memberitahu, Robert mencintai Juli hanya kerana rasa simpati. Juli berasa tertipu dan memutuskan hubungan dengan lelaki itu. Pada masa yang sama, perbuatan jahat Maya dan Susan akhirnya menyebabkan Anna dipenjara.


No comments: