Wednesday, September 13, 2006

Edisi Utara: YSB bantu Nur Atikah

Harian Metro, 13 september 2006

Oleh Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my

ALOR STAR: Nasib yang menimpa keluarga Nur Atikah Abdullah, 36, yang hidup terumbang-ambing selepas suaminya menghidap penyakit usus mendapat simpati orang ramai termasuk kerabat diraja Kedah.

Anakanda Sultan Kedah, Datuk Seri Tunku Soraya sanggup mencemar duli ke rumah wanita malang itu di Kampung Hujung Sungai, Tebengau dekat sini, untuk melihat sendiri keadaan keluarga itu selepas menerima laporan mengenai kegigihan wanita itu sebelum ini.

Harian Metro pada 24 Ogos lalu melaporkan kisah Nur Atikah sanggup memikul tanggungjawab berat menjaga suaminya yang menderita penyakit usus besar selain ibu mentua yang lumpuh dan empat anak kecil.

Nur Atikah hanya menerima wang bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM100 sebulan tidak cukup untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga kerana memerlukan belanja yang besar.

Berikutan laporan itu, Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) mengadakan lawatan ke rumah keluarga berkenaan sebelum menyusuli lawatan kedua yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan YSB, Datin Tunku Nafisah Almarhum Sultan Badlishah dan Datin Wira Ramizan Ibrahim.

Menurut Penyelaras Projek YSB, Fadzil Ahmad, Tunku Soraya yang juga Ahli Lembaga Amanah YSB menyampaikan sumbangan peribadi RM1,000 untuk membantu Nur Atikah meneruskan kehidupan mereka sekeluarga selain sumbangan RM2,000 daripada YSB.

Katanya, Tunku Soraya bersimpati dengan nasib yang menimpa suami wanita berkenaan, Abdul Razak Bahari, 42, yang hanya terlantar di kerusi malas selain badannya semakin susut akibat penyakitnya itu.

"YSB turut menyampaikan sumbangan lampin pakai buang untuk suami dan ibu mentua Nur Atikah, barangan keperluan harian serta membiayai susu khas suami wanita itu.

"Kami turut bercadang menguruskan pembedahan Abdul Razak dan ia masih dalam perbincangan, tetapi doktor menyarankan supaya berat badan pesakit terbabit perlu bertambah terlebih dahulu," katanya.

Fadzil berkata, pihaknya akan terus melawat keluarga berkenaan untuk melihat perkembangan Abdul Razak.

Sementara itu, Nur Atikah ketika ditemui bersyukur dengan bantuan itu kerana ia sedikit sebanyak dapat menghilangkan tekanan yang dihadapinya untuk mencari wang bagi membesarkan anak-anaknya.

Katanya, dia amat berterima kasih kepada YSB terutama Tunku Nafisah dan Tunku Soraya yang sanggup mencemar duli ke rumahnya dua kali sebelum ini.

"Wang ini akan digunakan sebaik-baiknya untuk persekolahan anak-anak serta membeli barangan keperluan lain untuk Aidilfitri nanti," katanya.

Hadir sama, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tebengau, Ismail Abdul Majid.

No comments: