Edisi Utara: Nenek lumpuh cekal
Harian Metro, 13 september 2006
Oleh Mohammad Ishak
am@hmetro.com.my
am@hmetro.com.my
JERTIH: Seorang warga emas lumpuh nekad mengesot keluar bagi menyelamatkan diri selepas rumahnya di Kampung Cegar Batang, Pasir Akar, dekat sini, terbakar petang, semalam.
Siti Esah Awang, 60, terpaksa melupakan wang simpanan RM300 untuk belanja harian yang disimpan di bawah tilam, sebelum diselamatkan suaminya, Ibrahim Dollah, 72, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang.
“Mak cik bersyukur kerana sebelum ini, barang kemas sudah disimpan oleh ahli keluarga lain,” katanya ketika ditemui Harian Metro di tempat kejadian, semalam.
Ibrahim berkata, ketika kejadian, dia sedang mengerjakan solat Asar sebelum mendengar letupan kecil dan mendapati api marak di bahagian depan rumah.
Dia kemudian teringat isteri yang terlantar di dalam bilik sebelum nekad mengheret isteri yang lumpuh keluar sebelum rumah hangus.
“Ketika kejadian enam ahli keluarga termasuk seorang anak dan tiga cucu di dalam rumah.
“Anak tiri saya, Mohd Hassan Mohamad, 35, berjaya mengheret keluar ketiga-tiga anaknya yang sedang tidur di ruang hadapan rumah,” katanya.
Sementara itu, Mohd Hassan, berkata, sebelum kejadian, dia sedang berehat sambil membaca akhbar sebelum terlelap.
“Saya terjaga apabila terdengar letupan seperti mercun di dalam rumah sebelum meluru ke ruang hadapan dan mendapati api marak membakar rumah,” katanya.
Menurutnya, dia pantas menyelamatkan anak berusia antara tiga hingga lapan tahun di dalam bilik berasingan di rumah itu.
“Saya bersyukur ibu yang lumpuh sempat menyelamatkan diri walaupun dalam keadaan uzur,” katanya.
Dia menyifatkan kejadian itu sebagai takdir dan tidak menduga rumahnya musnah dalam kebakaran berkenaan.
“Semua barang penting termasuk dokumen peribadi keluarga tidak sempat diselamatkan kerana api marak cepat saya,” katanya.
No comments:
Post a Comment