Saturday, September 16, 2006

Perogol bersiri sakit jiwa

Berita Harian, 15 september 2006

KOTA BHARU: Lelaki ‘kemaruk seks’ yang disyaki terbabit dalam tiga kes rogol dan cubaan bunuh di sekitar bandar ini yang diburu polis dipercayai mempunyai masalah mental.

Berdasarkan siasatan, polis yakin lelaki berusia lingkungan 40-an itu mempunyai masalah tekanan jiwa hingga menyebabkannya dipercayai tidak siuman.

Difahamkan, polis mengenal pasti lelaki terbabit dikenali sebagai `Rifin’.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan Shafie Ismail, berkata pihaknya tidak menafikan lelaki itu mungkin mengalami sakit mental.

Menurutnya, sejak polis mengedarkan lakaran wajah seorang lelaki yang dikehendaki sebagai perogol bersiri, pihaknya menerima banyak panggilan termasuk SMS daripada orang awam.

“Berdasarkan maklumat diterima itu, lelaki bertubuh sasa dan berkulit gelap itu dipercayai masih berada dan bersembunyi di negeri ini.

“Selain itu, polis turut mengadakan kawalan ketat di sempadan Kelantan-Thailand bagi memastikan lelaki terbabit dapat memboloskan diri,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Shafie, lakaran wajah lelaki itu turut diedarkan ke seluruh Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah di negeri ini.

“Satu pasukan khas dari Bahagian Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan turut ditugaskan untuk menjalankan gerakan mengesan dan mencari lelaki terbabit.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan supaya segera menghubungi balai polis berdekatan atau Rakan Cop di 09-7450999 atau SMS ke 32728.

Lelaki itu dikehendaki polis selepas disyaki merogol seorang pekerja hotel di bandar ini pada Ogos tahun lalu dan cuba merogol seorang lagi wanita di Kampung Paya Purnama, dekat sini, sebelum mencampakkan mangsa dalam perigi.

Mangsa terbaru, seorang penuntut IPTS berusia 21 tahun turut diliwat lelaki terbabit pada 27 Ogos lalu.

No comments: