Thursday, September 14, 2006

Lagi tanya elaun bulanan pelajar OKU

Utusan Malaysia, 14 september 2006

BAJET 2007 telah pun dibentangkan. Amat mesra rakyat dengan beberapa insentif yang menarik. Kami sebagai ibu bapa kepada kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) amat terharu dengan keprihatinan kerajaan kepada golongan ini.

Beberapa tahun dahulu, apabila kali pertama kerajaan membentangkan bajet mengenai peruntukan elaun bulanan RM25 kepada kanak-kanak OKU di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), saya menitiskan air mata.

Rupa-rupanya kerajaan amat prihatin kepada golongan ini. Nasib mereka akan terbela dan tidak sia-sialah perjuangan beberapa NGO dan komuniti PDK agar golongan ini diberi perhatian.

Saya pasti ibu bapa OKU juga merasa amat lega. Dari sehari ke sehari kami menanti, namun sehingga apabila Bajet 2007 dibentangkan, peruntukan bulanan yang dijanjikan sebelum ini belum diterima sepenuhnya.

Malah ada sesetengah pelajar OKU di PDK yang langsung tidak pernah menerima peruntukan yang dijanjikan.

Jika di Selangor, OKU hanya pernah menerima RM100 pada pertengahan tahun ini, semenjak peruntukan itu diumumkan beberapa tahun dahulu.

Mungkin bagi sesetengah orang, apalah sangat RM25 sebulan dapat dibelanjakan. Namun, saya pasti, bagi ibu bapa yang mempunyai anak OKU yang terlantar dan memerlukan lampin pakai buang, jumlah itu cukup membantu.

Bayangkanlah untuk perbelanjaan lampin pakai buang yang harganya kian hari kian meningkat, beratus ringgit diperlukan setiap bulan.

Itu tidak lagi termasuk bagi yang memerlukan makanan, ubatan atau keperluan khas yang lain.

Bagi yang berkemampuan, jumlah RM25 mungkin tiada maknanya, tetapi bagi mereka yang kurang berkemampuan, pastinya jumlah itu cukup besar maknanya.

Hari ini peruntukan ditambah pula kepada RM50 sebulan. Saya tidak tahu bila pula elaun ini akan diterima oleh OKU ini.

Bukannya kami terlalu menagih simpati kerajaan atau masyarakat, tetapi nasib OKU ini perlu dibela. Jika anak yatim atau orang miskin, berlumba kerajaan dan masyarakat menghulurkan bantuan, tetapi bila tiba kepada golongan OKU, mereka hanya dipandang sebelah mata.

Mungkin kerana mereka ini tidak memberikan sebarang hasil kepada kerajaan bahkan menjadi bebanan kepada masyarakat, tetapi mereka juga adalah rakyat Malaysia yang berhak dilayan sama adilnya. Mungkin ini terlalu kasar bunyinya, tetapi itulah hakikatnya yang berlaku sekarang.

Kami amat berharap agar kerajaan dapat mengotakan apa yang telah dijanjikan. Jangan biarkan golongan ini ternanti-nanti janji yang telah dilemparkan kepada mereka.

Jika peruntukan tiada, jangan berjanji apa-apa. Mereka juga tidak rugi apa-apa. Diharap menteri dan jabatan berkaitan memandang berat akan hal ini.

– IBU OKU MR,

Kuala Kubu Bharu, Selangor.

No comments: