Nenek 112 tahun jaga cucu
Berita Harian, 28 september 2006
ALOR STAR: ‘Tok dah tak kuat mengangkatnya dan kena panggil jiran memapahnya ke bilik air," kata Chik Salleh, dipercayai berusia 112 tahun, yang menjaga cucunya, Md Saad Osman, 54.
JADI TANGGUNGJAWAB: Chik
memandikan cucunya, Md Saad
yang lumpuh dari paras
pinggang ke bawah serta
tidak mampu bercakap dengan
sempurna sejak kecil.
Usia melebihi satu abad tidak menghalang Chik menunjukkan kasih sayang terhadap cucunya yang lumpuh dari paras pinggang ke bawah serta tidak mampu bercakap dengan sempurna sejak kecil.
Chik yang membahasakan dirinya Tok berkata, mereka berdua bergantung hidup kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM100 selain sumbangan penduduk berhampiran.
"Tok nak beli kerusi roda untuk memudahkan Md Saad bergerak tetapi tidak mampu,” katanya yang menetap di rumah agak usang di tanah rizab kerajaan di Felda Bukit Tembaga, dekat sini.
Dalam terbongkok-bongkok, Chik menguruskan cucunya termasuk memandi, menukar pakaian, menyuap makanan selain memasak walaupun beliau sendiri menghidap asma.
Kehidupan dua bercucu itu serba kekurangan. Sebelum ini, mereka dibantu anak saudaranya, Saad Ishak.
Saad meninggal dunia tahun lalu, menyebabkan semua tanggungjawab ditanggung Chik seorang. Bantuan RM100 sebulan yang diterima Chik kadangkala tidak mencukupi.
“Kadangkala kami terpaksa makan nasi berlauk ikan masin,” katanya yang menjaga cucunya itu sejak kecil lagi kerana ibu bapa Md Saad berpindah ke Selama, Perak.
"Ibu bapanya juga tidak mampu menjaga Md Saad kerana kedua-duanya sakit tua," katanya.
Chik mendakwa walaupun kad pengenalan menunjukkannya berusia 92 tahun berdasarkan tarikh lahir pada 1914, beliau sebenarnya dilahirkan lebih awal.
No comments:
Post a Comment