Thursday, September 28, 2006

Bakat insan istimewa

Berita Harian, 28 september 2006


Pertandingan Deklamasi Puisi MAB jadi medan luahan rasa, gelanggang kritik isu semasa

PERTANDINGAN Deklamasi Puisi Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (MAB) 2006 di Dewan Utama Kompleks MAB, Brickfields, baru-baru ini, menjadi medan luahan rasa kelompok terbabit dan gelanggang kritik isu semasa.

Tidak ketinggalan, kebanyakan peserta acara anjuran MAB Kuala Lumpur/Selangor dengan kerjasama Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), turut memilih puisi bertema keamanan dan kasih sayang insan.

Juara pertandingan, Penolong Pengarah, Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), Zahari Hashim, menyampaikan lagu puisi Harga Remaja karya Prof Rahman Shaari sambil diiringi muzik rekorder tiupan anaknya, Nur Shafikah Izzati, 11.

Tidak ketinggalan, Zahari turut mencuri kesempatan menyampaikan puisi sinis ciptaannya, Berilah Aku Peluang, yang meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap layanan kelompok cacat penglihatan:

Kami dikatakan insan kurang upaya
lalu keupayaan kami
yang masih tersisa
bagai dilupakan.

Naib johan, pengamal urutan refleksi, Mohd Syukri Sahman, yang turut menarik tumpuan pada malam itu, memperdengarkan puisi ciptaannya, Kezaliman Memuncak Kedamaian Dipijak.

Puisi itu dicipta ketika beliau mendengar siaran radio waktu pagi di rumahnya, mempamerkan kepekaan beliau kepada hiruk-pikuk kezaliman kelompok berkuasa yang hanya mementingkan diri sendiri:

Amankah dunia
andai kezaliman memuncak
amankah dunia
andai kedamaian dipijak
badan mati berselerak dipijak
henyak tersepak
dunia sedang bergolak.
Amankah dunia
setiap meja bermesyuarat
mencari kata sepakat
gencatan senjata tanpa syarat
tunjuk perasaan di setiap tempat
oleh lapisan masyarakat
tanpa kira pangkat dan darjat.

Pembantu Tadbir Kesetiausahaan, Kementerian Penerangan Malaysia, Mohamad Harun, pemenang tempat ketiga menyampaikan puisi karya Bashiroh Norlaili Yahya, Aku Bukan Bebanan:

Tahukah engkau teman
akulah insan yang istimewa
biarpun hidup dalam kegelapan
namun dengan cahaya hati yang terang
aku masih mampu berdiri
dalam meraih sebuah kejayaan.

Ketua pengadil, Ahmad Sarju, yang mengadili pertandingan bersama Mohd Ghazali Yusof, mengakui mereka terpaksa membuat pemilihan dengan teliti kerana semua peserta memiliki bakat istimewa dan ada kelebihan tersendiri.

“Kami berharap pertandingan ini merintis acara seumpamanya pada masa hadapan. Meskipun ada kelemahan, tetapi ia adalah dari aspek sebutan. Kami yakin bakat peserta masih boleh digilap agar lebih cemerlang,” katanya.

Turut hadir pada acara itu ialah Pengerusi MAB Selangor, Mohd Ghazali Tocheh dan Koordiator Pena, Dr Ahmad Razali Yusof selain khalayak turut dihiburkan dengan beberapa lagu nyanyian ahli MAB Wilayah Persekutuan, Anuar Bidin.

Turut mengambil bahagian pada pertandingan itu ialah Zulkarnain Abu Bakar, Mohd Hafiz Halim, Zuraidah Warsi, Abu Zarin Hussin, Rosli Ibrahim, Noreshah Mohamad, Zainab Awang Mat Salleh, Ismail Omar dan Nazri Samat.

No comments: