Tanggapan terhadap OKU perlu diubah – Najib
Utusan Malaysia, 19 september 2006
KUALA LUMPUR 18 Sept. – Orang kurang upaya (OKU) tidak lagi boleh dianggap sebagai golongan yang hanya mengharap simpati dan perlu dibantu sebaliknya mereka juga boleh menjadi penyumbang dan aset negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia adalah sebahagian daripada konsep modal insan yang diketengahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Menurutnya, kerajaan berpandangan jauh dan menganggap OKU perlu diubah agar menjadi aset yang boleh menyumbang kepada keperluan modal insan negara.
‘‘Mereka (OKU) mungkin ada kekurangan tetapi kalau diberi kasih sayang dan didikan, mereka bukan sahaja dapat menyumbang kepada kesejahteraan mereka tetapi turut menyumbang kepada negara.
‘‘Ini matlamat terakhir kita (kerajaan) untuk mengubah nasib OKU agar menjadi penyumbang kepada negara,’’ katanya ketika berucap pada majlis Malam Amal Semai Bakti di sini, malam ini.
Tambahnya, masyarakat boleh menyumbang dengan menyediakan prasarana OKU, menyediakan guru-guru terlatih serta keperluan lain yang diperlukan ke arah membantu golongan berkenaan.
Beliau berkata, sekiranya masyarakat dapat luahkan rasa belas kepada OKU maka banyak persengketaan dapat dihapuskan dan banyak penderitaan dapat dikurangkan.
Sementara itu, Pemangku Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (Bakti), Datin Seri Rosmah Mansor berkata, sempena majlis amal itu, sejumlah RM2.2 juta berjaya dikumpul hasil sumbangan Felda, badan korporat, kerajaan negeri, swasta dan individu.
Ujarnya, sumbangan berkenaan akan digunakan oleh Bakti dan Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) untuk menyediakan kemudahan di 313 Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di seluruh negara.
Sehingga kini 170,455 OKU berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat manakala dianggarkan jumlah yang sama belum mendaftar.
Hadir sama ialah Pengerusi Felda, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor, Pengerusi GWGF, Tan Sri Rozali Ismail dan beberapa Menteri Besar serta Ketua Menteri.
No comments:
Post a Comment