Friday, September 15, 2006

Edisi KL : Jual dadah dari atas katil

Harian Metro, 15 september 2006

Oleh Efindi Badarudin dan Zainal Zawawi Mohamed


KUALA LUMPUR: Dia lumpuh separuh badan dan hanya memerap di atas katil. Namun, kecacatan itu tidak menghalangnya menjual dadah.

Begitulah kejinya perbuatan seorang lelaki yang mengedar dadah melalui cermin tingkap rumahnya di Taman Seri Sentosa, Jalan Klang Lama di sini.

Kegiatan haram lelaki itu terbongkar apabila polis menyerbu rumahnya, malam kelmarin.

Pengedar dadah cacat itu tidak dapat melarikan diri apabila menyedari anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfilelds memasuki bilik tidurnya.

Ketika serbuan, dia sedang menghulurkan tangan melalui tingkap rumahnya untuk menjual dadah kepada penagih di kawasan terbabit.

Harian Metro difahamkan, penagih yang hendak membeli dadah daripada lelaki cacat itu perlu mengetuk cermin tingkap bilik lelaki itu sebelum mencampakkan wang untuk mendapatkan bekalan.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Mohd Dzuraidi Ibrahim, berkata ketika serbuan, polis turut memberkas dua pembantu peribadi lelaki cacat itu di rumah itu.

Hasil serbuan jam 8.30 malam itu, operasi yang diketuai Cif Inspektor Zailani Bohari bersama sembilan anggotanya, menemui 20 paket heroin serta 17 tiub mengandungi dadah siap dibungkus untuk dijual kepada penagih di kawasan itu.

“Dia yang tergamam hanya mampu melihat polis memasuki rumahnya sebelum anggota polis mengangkatnya menaiki kerusi roda untuk dibawa ke balai polis,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, polis turut memberkas tiga penagih yang datang untuk membeli dadah di sekitar kawasan rumah berkenaan.

Mohd Dzuraidi berkata, lelaki cacat itu berusia 34 tahun, manakala pembantu peribadinya berusia 20-an dan 30-an. Polis terpaksa menggunakan kerusi roda untuk membawa lelaki cacat itu ke lokap.

Beliau berkata, lelaki cacat dan dua pembantunya disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung mandatori.

Katanya, polis akan mendapat perintah tahanan reman terhadap lelaki cacat dan dua pembantu peribadinya untuk membantu siasatan.

No comments: