Tuesday, September 05, 2006

JKM penyambung hidup

Berita Harian, 5 september 2006


Mayang lancar program Kami Bersamamu untuk kesan penduduk miskin bagi membolehkan bantuan diberi


PERLU BANTUAN: Sebahagian daripada 800 orang
yang hadir ketika program Kami Bersamamu
di Permatang Katong, Kota Kuala Muda,
baru-baru ini.

SUNGAI PETANI: Peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam membantu orang ramai terutama golongan yang tidak berkemampuan adalah satu tugas yang murni dan mencabar, malah ia sukar dilakukan oleh pihak lain.

Tugas yang dilakukan oleh seluruh pegawai dan kakitangan JKM perlu mengenal pasti serta mendekati golongan daif dan miskin supaya pelbagai bantuan yang disalurkan sampai kepada mereka sehingga ada mengibaratkannya sebagai penyambung hidup kepada golongan itu.

Sebagai jabatan yang sering menjadi tumpuan golongan berkenaan, pegawai serta kakitangannya sentiasa berusaha meningkatkan perkhidmatan mereka agar lebih berkesan dalam usaha membantu golongan sasar itu mendapat bantuan.

Bagi memastikan golongan terbabit menerima hak mereka, JKM turut bekerjasama dengan badan kebajikan lain, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), penghulu dan terbaru Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat (Mayang) yang ditubuhkan di setiap kawasan Parlimen yang mana ia mampu membantu meringankan tugas JKM.

Pemangku Pegawai JKM Daerah Kuala Muda, Mohamad Mohd Noor, berkata melalui kerjasama antara JKM dan Mayang terutama di daerah ini, masalah golongan daif serta miskin yang sebelum ini tercicir daripada menerima bantuan dapat diketahui pihaknya.

Katanya, melalui program `Kami Bersamamu' yang dianjurkan oleh Mayang Sungai Petani beberapa pegawainya turun padang dan berjumpa dengan orang ramai serta menemuduga pemohon bantuan secara terus tanpa perlu melalui orang tengah.
MESRA: Mahadzir menyampaikan
bantuan JKM kepada
seorang penerima sambil
diperhatikan oleh Sabri
ketika program
Kami Bersamamu.


"Cara yang dilakukan itu begitu berkesan dan berhasil kerana kami berjaya mengesan lebih ramai golongan yang layak menerima bantuan JKM yang mana ada antara mereka sebelum ini tercicir akibat pelbagai masalah.

"Melalui program pertama yang diadakan di Tikam Batu awal bulan lalu, 44 kes dikesan dan yang kedua di Pinang Tunggal terdapat 125 kes manakala terbaru di Kota Kuala Muda sebanyak 418 kes dikesan.

"Melalui kaedah ini jumlah penerima bantuan akan meningkat dengan mendadak dan berharap tidak ada golongan miskin dan daif yang terpinggir lagi," katanya kepada Berita Harian selepas menghadiri Program `Kami Bersamamu' di Dewan Orang Ramai Permatang Katong, Kota Kuala Muda, di sini, baru-baru ini.

Program itu dirasmikan Ahli Parlimen Sungai Petani yang juga Pengerusi Mayang Parlimen itu, Datuk Mahadzir Khir. Hadir sama Pengarah JKM negeri, Hadisah Abd Hamid dan Pengerusi Biro Kebajikan Umno Sungai Petani, Sabri Mahmud.

Sempena program itu, turut diadakan pendaftaran pemohon bantuan JKM serta pemeriksaan kesihatan secara percuma.

Mohamad berkata, bantuan berkenaan dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu untuk orang tua, kanak-kanak dan am.

Orang tua akan menerima RM200 sebulan, kanak-kanak antara RM140 dan RM450, manakala bantuan am antara RM80 dan RM350 sebulan. Bantuan orang tua dan kanak-kanak disalurkan Kerajaan Pusat, manakala bantuan am dari kerajaan negeri.

"Sehingga kini terdapat seramai 1,845 orang penerima bantuan bagi daerah Kuala Muda dengan peruntukan sebanyak RM310,135 setiap bulan.

"Daripada jumlah itu Parlimen Sungai Petani mencatat 1,112 penerima dengan jumlah bantuan sebanyak RM203,150, manakala di Parlimen Merbok 733 penerima dengan peruntukan RM106,985," katanya.

Sementara itu, Pengerusi JKKK Kampung Paya, Suib Ahmad, 52, berkata, tindakan pegawai JKM yang turun padang dalam program itu dapat mempercepatkan proses pemberian bantuan untuk golongan yang memerlukan itu.

"Kita berharap JKM mengadakan program seumpama ini dari semasa ke semasa bagi membolehkan seluruh masyarakat yang tidak berkemampuan mendapat bantuan sewajarnya daripada kerajaan," katanya.

Fakta nombor: Bantuan JKM Daerah Kuala Muda
  • 1,845 - Penerima
  • RM310,135 - Peruntukan setiap bulan
  • 1,112 - Penerima di Parlimen Sungai Petani
  • 733 - Penerima di Parlimen Merbok

  • No comments: