Retinopati diabetik boleh sebabkan buta
Berita Harian, 2 September 2006
Oleh Hafizah Iszahanid
WALAUPUN ada lebih sejuta penghidap diabetes di Malaysia, kesedaran kepada masalah penglihatan yang dinamakan retinopati diabetek masih kurang.
Apa yang membimbangkan, penyakit ini tiada simptom dan kebanyakan pesakit hanya menyedari mereka berhadapan dengan retinopati diabetek pada peringkat kronik.
Retinopati diabetik mampu menyebabkan kebutaan. Jika dapat dirawat sekalipun, ia tidak berupaya mengembalikan semula penglihatan pesakit pada sifat asalnya.
Pakar Perunding Ophtalmologist Hospital Pakar Ampang Puteri, Dr Rozita Ahmad, berkata retinopati diabetik berlaku kerana kerosakan pada lapisan retina. Diabetes akan merosakkan salur darah di retina dengan dua cara; menyumbat atau melemahkan dinding saluran darah dan menyebabkan kebocoran pada dinding saluran darah.
“Ada tiga peringkat retinopati diabetik. Pada peringkat akhir, retinopati diabetik proliferatif, kemunculan salur darah baru tidak normal terjadi pada permukaan retina yang menyebabkan pendarahan dan pembentukan membran yang akhirnya menyebabkan retina lekang. Saluran darah boleh juga berlaku pada permukaan iris. Selain pendarahan ia turut menyebabkan glaukoma yang teruk, sakit dan lama kelamaan pesakit boleh menjadi buta,” katanya.
Retinopati diabetik tiada simptom dan tidak berasa sakit kerana itu kebanyakan pesakit yang menyedari mereka berhadapan dengan diabetik retinopati pada peringkat yang sudah kronik.
Jika bernasib baik dan jika pesakit peka, pesakit akan mendapati penglihatannya terjejas dan walaupun cuba membuat cermin mata, ia tidak mampu memberi penglihatan yang jelas.
“Ketika itu penglihatan yang kabur menyebabkan mereka susah untuk membaca dan memandu. Mereka boleh mengalami kehilangan penglihatan secara keseluruhan atau sebahagian. Mungkin dia boleh melihat dengan baik di bahagian tepi berbanding di bahagian tengah ruang pandang misalnya. Jadi dia susah untuk melihat bahagian tengah muka seseorang,” katanya.
Penglihatan yang terjejas itu terjadi disebabkan pembentukan saluran darah baru yang tidak normal dan menyebabkan pendarahan dalam mata. Peringkat awalnya, pendarahan itu mungkin tidak begitu teruk tetapi ia akan menjadi semakin buruk dalam tempoh beberapa hari atau minggu saja.
Ketika itu pesakit akan melihat titik-titik hitam atau bayangan yang lebih besar terapung dan mengganggu penglihatan mereka. Lebih banyak pendarahan berlaku lebih teruk penglihatan terjejas. Bagi kes yang lebih teruk, pesakit hanya boleh melihat cahaya dalam keadaan gelap saja.
Pendarahan di dalam gelamaca mengambil masa beberapa bulan atau tahun untuk hilang, Dalam sesetengah kes, pendarahan berlaku berulang kali dan darah tidak akan hilang sepenuhnya. Senario ini akan terjadi biasanya kepada pesakit yang menjalani haemodialisis dan pendarahan biasanya berlaku ketika tidur.
Pada ketika itu pesakit mungkin merujuk doktor dan dari situlah imbasan dibuat. Kerana itu sangat penting untuk pesakit diabetes membuat pemeriksaan mata setahun sekali.
“Pesakit diabetes tidak mengira had umur. Jika mereka mendapat diabetes dalam usia muda, kebarangkalian menjadi buta disebabkan retinopati diabetik sangat tinggi,” katanya.
Setiap pesakit diabetes sama ada diabetes jenis satu dan diabetes jenis dua termasuk diabetes ketika kehamilan berisiko terhadap retinopati diabetik. Semakin lama tempoh pesakit ‘menyimpan’ penyakit ini, semakin tinggi risiko berhadapan dengan retinopati diabetik. Malah ia boleh berlaku lebih awal pada lebih kronik kepada mereka yang berhadapan dengan diabetes ketika hamil.
Untuk itu, pemeriksaan mata yang disarankan untuk pesakit diabetes berusia 0-30 tahun, lima tahun sekali selepas didiagnos dan setahun sekali untuk pemeriksaan susulan, 31 tahun dan ke atas pula sebaik saja didiagnos dan rawatan susulan setahun sekali. Untuk wanita hamil yang berhadapan dengan diates pemeriksaan mata harus dibuat pada fasa awal kehamilan dan rawatan susulan setiap tiga bulan.
Selain pemeriksaan mata setahun sekali, pesakit diabetes boleh memantau kesihatan mata mereka dengan mengawal diabetes.
Pengawalan paras gula dalam badan anda akan melambatkan kemunculan retinopati diabetik. Sebagai penyakit yang dikenali sebagai ‘ibu segala penyakit’ pengawalan paras gula membantu anda bukan saja untuk kurang mendapat komplikasi mata tetapi juga komplikasi lain yang membabitkan buah pinggang dan sistem saraf. Pengawalan paras gula membabitkan disiplin yang tinggi tetapi tidak mustahil.
Tiga jenis retinopati diabetik
1) Retinopati diabetik tanpa proliferatif - Peringkat awal retinopati diabetik. Begitupun, pendarahan, pengumpulan lemak dan pembengkakan retina boleh berlaku. Penglihatan tidak terjejas dan rawatan tidak diperlukan kecuali jika ia membabitkan bahagian makula (bahagian retina yang paling sensitif dan bertanggungjawab memberikan penglihatan yang halus dan berwarna)
2) Makulapoti diabetik - Apabila makula terjejas disebabkan pembengkakan retina, pendarahan atau pengumpulan lemak, penglihatan akan terjejas. Makulapoti diabetik adalah penyebab utama kebutaan pada pesakit diabetes. Rawatan laser perlu pada tahap ini dan jika rawatan diberikan pada waktu yang tepat boleh menstabilkan penglihatan yang terjejas dan memulihkannya.
3) Retinopati diabetik proliferatif - Peringkat akhir retinopati diabetik. Ketika ini terdapat pembentukan saluran darah yang baru dan tidak normal serta tisu serat yang boleh menarik permukaan retina. Pendarahan dalam gelamaca (vitreous) kerap berlaku mengakibatkan kehilangan penglihatan. Rawatan laser perlu diberi secepat mungkin jika tidak retina mungkin lekang dan penglihatan menjadi teruk walaupun selepas pembedahan. Jika rawatan tidak diberikan langsung, kerosakan di lapisan retina akan kekal dan tidak akan dapat dipulihkan.
INFO
a) Apa yang dimaksudkan dengan penyumbatan saluran darah? Saluran darah yang tersumbat menyebabkan kekurangan bekalan oksigen ke lapisan retina. Ini menyebabkan terbentuknya saluran-saluran darah baru tetapi tidak normal (retinopati diabetik proliferati). Saluran darah yang tidak normal ini amat rapuh, mudah mengalami kebocoran dan pendarahan ke dalam gelamaca boleh berlaku. Apabila proliferati menjadi lebih teruk, tisu serat dan parut terbentuk. Tisu parut ini boleh menarik permukaan retina yang menyebabkan ia lekang.
b) Kebocoran saluran darah - Dinding saluran darah menjadi lemah disebabkan diabetes. Akibatnya dinding saluran darah mengembang dan menyebabkan kebocoran. Cecair akan berkumpul di lapisan retina menyebabkan pembengkakan retina. Pendarahan dan pengumpulan lemak juga boleh berlaku di situ dan menyebabkan ia gagal berfungsi dan menjejaskan penglihatan.
No comments:
Post a Comment