Thursday, September 07, 2006

Penganggur diarah jalani pemeriksaan mental

Berita Harian, 7 september 2006


KOTA KINABALU: Seorang penganggur yang mengelar leher anak perempuannya berusia tiga tahun sehingga mati di Penampang bulan lalu, diperintah menjalani rawatan mental di Hospital Mesra Bukit Padang, selama sebulan.

Majistret Dayangku Marianah Pg Mahmuddin mengeluarkan arahan itu selepas menerima permohonan daripada Pegawai Pendakwa Ibu Pejabat Polis Penampang, Cif Inspektor Tan Hiap Wah, semalam.

Tan mengemukakan permohonan itu mengikut Seksyen 342 (5) Kanun Acara Jenayah. Dayangku Marianah kemudian menetapkan 4 Oktober ini untuk sebutan kes itu.

Penganggur berusia 27 tahun itu yang baru sembuh daripada kecederaan di leher akibat kelarannya sendiri menggunakan parang, dibawa masuk ke mahkamah kira-kira jam 9 pagi.

Dia yang memakai kemeja T berwarna putih dan seluar paras lutut berwarna merah kelihatan mengangguk selepas jurubahasa memberitahu beliau akan dihantar ke Hospital Mesra bagi rawatan mental.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam pada 17 Ogos lalu, mangsa, Diana Freddy, ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah di rumahnya di Kampung Pogunon, Penampang dipercayai akibat dikelar bapanya dengan parang.

Turut cedera dalam kejadian itu ibu mangsa, Rina Lidason dan adik lelaki mangsa, Donovan, berusia setahun.

Selepas itu, lelaki berkenaan bertindak mengelar lehernya sendiri dengan menggunakan senjata sama, sebelum adik lelakinya yang menyedari kejadian itu menahannya.

Ketiga-tiga yang cedera dibawa ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan. Polis kemudian menahan lelaki itu untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, ibu lelaki terbabit, Lasalim Sulingon, 44, memberitahu keluarganya masih terkejut dan sedih dengan kejadian itu.

Katanya, sepanjang menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth, anak lelakinya memberitahu dia tidak berniat untuk membunuh Diana selain turut sedih.

Beliau yang kelihatan muram sempat bertemu dan menyerahkan bungkusan makanan serta minuman kepada anak lelakinya itu sebelum dia dihantar ke Hospital Mesra Bukit Padang.

No comments: