Thursday, September 28, 2006

Sumbangan ringankan beban orang kurang upaya

Utusan Malaysia, 28 September 2006

Oleh ROSMAH DAIN


SEBAHAGIAN ahli-ahli Kelab Kecacatan Fizikal Klang sedang menunggu giliran untuk menerima sumbangan pada satu majlis baru-baru ini.

MUNGKIN tidak ramai yang mengetahui mengenai kewujudan Kelab Kecacatan Fizikal yang berpusat di Klang, Selangor. Ditubuhkan pada tahun 1996, ia merupakan satu-satunya kelab orang kurang upaya (OKU) cacat fizikal yang diwujudkan di negara ini.

Pada tahun 2003, sebuah bangunan didirikan di atas tanah yang diwakafkan oleh seorang penduduk yang prihatin, Shamsuddin Sudar, 67, untuk keperluan kebajikan golongan ini.

Kelab ini berfungsi sebagai tempat menghimpunkan golongan OKU di samping menganjurkan pelbagai aktiviti kelab itu.

Objektif terpenting penubuhan kelab berkenaan adalah untuk mengumpul dana dan sumbangan daripada masyarakat setempat untuk diagih-agihkan kepada ahli-ahlinya.

Penubuhan kelab ini dicetuskan oleh OKU sendiri iaitu Mohd. Yusof Ahmad, 62, yang merupakan Presiden kelab ini dengan bantuan beberapa ahli jawatankuasa lain.

Perkhidmatan mereka dalam kelab ini adalah secara sukarela demi membantu rakan-rakan senasib yang berjuang untuk meneruskan kehidupan.

Penulis berkesempatan bertemu ahli-ahli kelab ini pada Majlis Penyampaian Bantuan Sempena Persediaan Menyambut Bulan Ramadan di Klang baru-baru ini.

Tersentuh hati penulis melihat kegigihan mereka menempuh kehidupan yang sukar.

Biarpun lokasi majlis itu agak jauh, tetapi demi mendapatkan sumbangan makanan untuk keperluan harian, warga OKU ini sanggup bersusah payah asalkan mereka sampai ke destinasi berkenaan tepat pada masanya.

Mohd. Yusof yang cacat di bahagian kaki telah berumah tangga serta mempunyai seorang anak.

Katanya, setakat ini ahli-ahli kelab ini berjumlah 118 orang yang berumur 18 tahun ke atas. Mereka berasal dari sekitar Lembah Klang.

Pada mula-mula diwujudkan dulu kelab ini hanya dianggotai oleh 15 orang ahli.

Ditanya bagaimana tergerak hatinya untuk menubuhkan sebuah kelab seperti ini, Mohd. Yusof memberitahu, dirinya merupakan bekas ahli Persatuan Orang Cacat Malaysia yang terpanggil untuk menubuhkan kelab ini bagi menghulurkan bantuan kepada rakan-rakan senasib.

“Kelab ini bergantung sepenuhnya kepada sumbangan orang ramai yang prihatin. Kami menerima apa sahaja bentuk bantuan dan sumbangan untuk diagih-agihkan kepada ahli-ahli.

“Di samping itu kami turut menjalankan apa sahaja aktiviti yang diperlukan,” katanya.

Mohd. Yusof berharap Kelab Kecacatan Fizikal Klang akan terus berkembang maju dan mewujudkan cawangan-cawangannya di seluruh negara.

Ahli Jawatankuasa Pengelola Kelab, Hassan Abd. Karim, 47, memberitahu, dalam tempoh setahun kelab ini telah mengadakan majlis sumbangan seperti itu sebanyak lima kali.

Katanya, kelab ini mengharapkan sumbangan daripada orang ramai untuk diagih-agihkan kepada ahli-ahli yang terdiri daripada orang Melayu.

“Kebanyakan ahli kelab ini mengalami kecacatan fizikal yang serius dan mempunyai keluarga.

“Separuh daripada mereka tidak mempunyai kerja tetap dan hanya berniaga kecil-kecilan di pasar malam atau mencari barangan terpakai sebagai punca pendapatan,” katanya.

Para pembaca yang ingin menghulurkan sumbangan kepada ahli-ahli Kelab Kecacatan Fizikal boleh menghubungi talian 016-2719617 atau 016-3934929.

“Kami memohon agar lebih banyak kemudahan disediakan untuk orang kurang upaya,” begitulah antara ungkapan ahli-ahli Kelab Kecacatan Fizikal ketika ditemu bual.

Rizal Rahim, 37, yang menggunakan kerusi roda untuk bergerak sanggup datang dari Putrajaya bersama anak-anaknya ke Klang untuk menerima sumbangan yang diagihkan pada majlis berkenaan.

Bagi menambah pendapatan, bapa kepada empat anak ini mengutip kotak-kotak untuk dijual ke kedai-kedai menjual barangan lusuh.

“Masyarakat normal tidak menyelami masalah sebenar kami. Sehinggakan hendak pergi ke masjid untuk sembahyang berjemaah pun agak sukar kerana laluan untuk OKU amat kurang.

“Kami sukar untuk bergerak sendiri kerana kekurangan kemudahan yang disediakan untuk kami, biarpun sebenarnya kami boleh berdikari,” katanya yang mengharapkan lebih banyak kemudahan disediakan untuk OKU.

Sementara itu, pasangan suami isteri Khairudin Che Mat, 45 dan Khudilah Abdullah, 42, baru dua tahun menyertai kelab ini.

Pasangan ini mengalami kecacatan fizikal pada bahagian kaki.

“Setiap kali ada majlis seperti ini kami akan hadir untuk menerima sumbangan yang ada, tidak kiralah besar atau kecil.

“Setidak-tidaknya dengan sumbangan ini dapat juga kami menggerakkan kehidupan kami,” katanya yang berniaga nasi lemak bagi menampung hidup.

Dalam pada itu pasangan suami isteri dari Gombak, Selangor, Azman Tain, 45 dan isterinya Marican Bee Abd. Samad, 34, memberitahu, apabila insan-insan OKU ingin mendapatkan bantuan kewangan atau pinjaman, tidak ramai yang ingin membantu.

Ada pihak yang tidak percaya dengan kebolehan yang mereka ada.

“Sekiranya kami hendak lakukan sesuatu, kami terpaksa ‘mencari’ kerana tiada yang sanggup ‘memberi’,” kata Marican.

Katanya lagi, insan-insan OKU bukan mahu dilayan sebagai peminta. Mereka sekadar menuntut layanan yang sama rata sebagaimana insan-insan normal.

Pasangan suami isteri yang kerdil ini mempunyai seorang anak berusia tujuh tahun dan mengusahakan sebuah kedai menjahit pakaian.





No comments: