Edisi Utara: YSB, Puspanita beri bantuan Ramadan, Aidilfitri
Harian Metro, 20 september 2006
BALING: Seramai 44 orang yang dikategorikan sebagai golongan miskin di daerah ini terdiri daripada warga emas, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) menerima bantuan sempena Ramadan dan Aidilfitri tahun ini.
Mereka menerima wang tunai RM300 setiap seorang sumbangan Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikannya, Tunku Nafisah Tunku Sultan Badlishah di Pejabat Daerah Baling, semalam.
Selain itu, golongan berkenaan juga menerima bantuan barang makanan disumbangkan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) daerah Baling.
Pegawai Daerah Baling, Zakaria Hashim, berkata sumbangan berkenaan yang pertama diberikan bagi membantu meringankan bebanan golongan terbabit.
Beliau berkata, pihaknya prihatin terhadap nasib golonan berkenaan dan akan memantau dari semasa ke semasa supaya nasib mereka terbela sejajar dengan hasrat kerajaan untuk membasmi kemiskinan di negara ini.
“Seramai 235 keluarga miskin, 289 warga emas dan 241 orang kurang upaya masih terdapat di daerah ini dan mereka perlu diberi bantuan,” katanya.
Beliau berkata, menjelang 2010, sasaran kerajaan akan tercapai apabila golongan miskin di daerah ini dapat kurangkan.
Katanya, ketika ini, seramai 1,290 orang masih menerima bantuan bulanan daripada pejabat kebajikan masyarakat yang membabitkan jumlah peruntukkan sebanyak RM234,850 sebulan.
Sementara itu, seorang penerima, Siti Rakna Jusuh, 89, berkata keprihatinan pihak berkenaan memberi sumbangan dapat meringankan bebanan yang ditanggung ketika menjelangnya awal Ramadan dan Aidilfitri.
“Saya bersyukur kerana masih ada insan yang sudi membantu gologan seperti kami,” katanya.
Ishak Che Endut, 44, yang menghidap penyakit kulit pula gembira kerana sumbangan itu dapat meringankan bebanan perbelanjaan hariannya.
Dia yang tinggal di Kampung Telok Sira, Pulai berkata, sumbangan yang disampaikan YSB dapat meringankan bebanan golongan miskin yang sangat memerlukan bantuan.
“Syukur pada Tuhan kerana keprihatinan semua pihak membantu golongan seperti kami yang ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” katanya.
No comments:
Post a Comment