Saturday, September 02, 2006

Layanan istimewa untuk wanita

Berita Harian, 2 September 2006


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menambah jumlah bantuan khas tahunan untuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melaksanakan program wanita, keluarga dan masyarakat kepada RM30 juta berbanding RM20 juta pada masa ini, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Di samping itu, kata Perdana Menteri, pemberian geran pelancaran one-off yang kini diberikan kepada kementerian untuk mewujudkan pusat jagaan kanak-kanak, diperluaskan lagi kepada semua jabatan kerajaan.

“Jumlah ditambah daripada RM50,000 kepada RM80,000 bagi setiap kementerian dan jabatan dalam usaha kerajaan untuk terus membantu kakitangan wanita di sektor awam.

“Saya menggesa pihak swasta untuk memberi kemudahan yang sama kepada kakitangan wanita mereka,” katanya.

Abdullah juga berkata, untuk meningkatkan lagi kesedaran mengesan kanser lebih awal, lebih ramai wanita digalakkan menjalani ujian saringan mamogram.

“Kerajaan akan memberi RM50 subsidi bagi setiap ujian saringan yang dilakukan di klinik dan hospital swasta berdaftar dengan LPPKN. Jumlah subsidi ini dapat menampung separuh daripada kos saringan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, beberapa program juga akan diadakan, termasuk Anugerah CSR Perdana Menteri, Anugerah Mayang dan Program Rangkaian Rakyat bagi menghargai sukarelawan yang melaksanakan aktiviti kemasyarakatan, termasuk sektor korporat.

Abdullah berkata, wanita adalah sumber penting ekonomi negara dan aksesibiliti golongan itu kepada pendidikan dan latihan meningkatkan mobiliti mereka untuk mendapatkan pekerjaan lebih baik.

“Negara kini mempunyai calon angkasawan wanita, seorang wanita merentasi kutub selatan dan seorang ratu skuasy dunia,” katanya.

Dalam pada itu, Abdullah berkata, kerajaan memperuntukkan RM302 juta untuk membantu meringankan beban orang kurang upaya (OKU), mangsa bencana, golongan termiskin dan warga tua.

Katanya, kerajaan juga akan menubuhkan Unit Khidmat Penyayang (Mayang) berfungsi sebagai unit bergerak untuk mengenal pasti dan menghubungi terus kumpulan sasar dengan menyediakan perkhidmatan bantuan kebajikan serta bantuan bencana.

Elaun bulanan bagi kanak-kanak OKU daripada golongan berpendapatan rendah yang menjalani pemulihan dalam program Pemulihan Dalam Komuniti akan dinaikkan daripada RM25 kepada RM50 sebulan, katanya.

Abdullah juga berkata satu program khusus diadakan bagi melatih lebih ramai jurubahasa isyarat di sekolah pendidikan khas Kementerian Pelajaran dan mengadakan program latihan kepada guru pendidikan khas untuk mengenal pasti dan membimbing kanak-kanak autistik.

Sementara itu, kerajaan memperuntukkan hampir RM10 bilion untuk menyediakan kemudahan dan peralatan kesihatan, kepakaran dan latihan supaya rakyat lebih mudah mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan.



Abdullah berkata kerajaan bercadang membina tiga hospital baru dengan peruntukan RM125 juta di Shah Alam, Selangor, Pendang, Kedah dan Permai, Johor, tahun depan.



Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan menaik taraf perkhidmatan klinik bergerak untuk memberi kesedaran kepada rakyat di luar bandar dan kawasan terpencil mengenai penjagaan kesihatan, pemakanan dan memberi pemeriksaan kesihatan secara percuma, terutama bagi pengesanan awal penyakit kronik seperti kanser, sakit jantung, darah tinggi dan diabetis.

Beliau berkata, bagi menggalakkan gaya hidup sihat pula, kerajaan bercadang menaikkan duti eksais spesifik bagi rokok sebanyak satu sen setiap batang rokok.

Bagi minuman keras, minuman yang mengandungi kandungan alkohol lebih dari 40 peratus, duti eksais dinaikkan RM5 seliter.

No comments: