Monday, September 11, 2006

Si kudung Terry berlari demi kanser

Utusan Malaysia, 11 september 2006

Oleh SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

Tiada siapa yang pernah melakukan sama seperti apa yang Terry buat - berlari 42 km sehari dalam hujan mahu pun panas menggunakan sebelah kaki. Iltizamnya patut dijadikan contoh semua.

ORANG ramai berbaris di tepi-tepi jalan sambil bertepuk tangan dan bersorak melaungkan kalimah semangat ini:
“Ayuh Terry, teruskan berlari. Jangan putus asa, anda mampu melakukannya. Kami akan sentiasa berada di belakangmu, memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepadamu Terry. Ayuh!’’

Itulah larian terakhir Terry Fox, 22, apabila kesukaran bernafas dan kesakitan dadanya memaksa beliau menghentikan derap langkah buat selama-lamanya. Penyakit kanser yang dideritainya sudah merebak ke paru-paru.

Terry menghembuskan nafasnya yang terakhir sembilan bulan kemudian selepas berlari selama 143 hari, 42 kilometer sehari, bersamaan 5,373 km.

Kepada jutaan rakyat di negara kelahirannya Kanada yang mengikuti rapat larian The Marathon of Hope itu, Terry membuat pengumuman ini:

“Saya minta maaf kerana terpaksa menangguhkan keseluruhan larian ini yang masih tinggal. Saya akan lakukan yang terbaik. Saya akan terus berjuang dan tidak akan berputus asa. Itu janji saya.’’

Harapannya larian itu dapat menjana sumber kewangan bagi membiayai penyelidikan kanser bagi mencari penawar penyakit membunuh itu.

Surat

Mujurlah sebelum dia memejamkan mata buat selama-lamanya, Terry menerima sepucuk surat daripada salah seorang peminatnya yang mendapat inspirasi daripada ketabahan Terry iaitu Isadore Sharp.

Presiden Four Seasons Hotel itu telah menyampaikan perkhabaran gembira kepada idola pujaannya itu bahawa impian Terry untuk menghabiskan lariannya itu akan diteruskan dengan acara larian tahunan.

Ia akan dinamakan sempena namanya – The Terry Fox Run.

Kini, setelah 25 tahun Terry bersemadi, warisan pemuda yang diangkat sebagai rakyat Kanada paling popular pada abad ke-20 itu, terus hidup.

Dan sekiranya Terry masih hidup, dia pastinya akan menangis gembira dengan sejumlah RM1.3 bilion yang berjaya dikumpulkan dari larian itu, di seluruh dunia.

Rakyat Malaysia sendiri telah bermurah hati menyumbang lebih RM500,000 sejak ia dianjurkan di negara ini pada tahun 2001.

Warisan Terry Fox

Terrance Stanley Terry Fox dilahirkan di Winnipeg, Manotoba, Kanada pada 28 Julai 1958.

Terry amat meminati bidang sukan walaupun dia merupakan pemain paling corot dalam pasukan bola keranjang semasa berada di Gred 8.

Gurunya menggalakkan beliau menyertai acara merentas desa, tetapi Terry kurang menggemarinya. Pun begitu, Terry berazam untuk berlatih dengan lebih gigih seterusnya dapat menggembirakan hati gurunya itu.

Berkat usaha gigihnya, Terry berkongsi anugerah Atlet Tahunan bersama-sama dengan rakan karibnya, Doug Alward semasa tahun akhir persekolahan menengah.

Terry kemudiannya melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan jasmani di Simon Fraser University.

Pada tahun 1977, Terry berjumpa doktor apabila mengalami sakit lutut yang teruk sehingga tidak membolehkannya berdiri. Doktor mengesahkan beliau menghidap kanser tulang, osteosarkoma.

Osteosarkoma merupakan suatu tumor tulang yang malignan (boleh merebak). Pada kanak-kanak, tapak biasa ketumbuhan ini adalah kaki, khususnya femur (tulang paha yang panjang antara pinggul dan lutut.)

Akibatnya, kaki kanannya dipotong enam inci dari atas lutut. Ya! Terry berlari dengan sebelah kakinya yang kudung. Ketika itu, Terry baru berusia 18 tahun.

Terry cukup tidak senang hati apabila mengetahui dia terpaksa menghabiskan masanya di hospital dengan sia-sia. Lalu, dia memaksa dirinya berjalan.

Dan berkat keazamannya yang kuat itu, dia tidak mengambil masa yang lama untuk bermain golf. Hanya enam minggu selepas pembedahan.

Tidak lama kemudian, beliau dijemput pula untuk bermain bola keranjang berkerusi roda bersama-sama dengan atlet kerusi roda terkenal, Rick Hansen.

Apapun, yang jauh lebih ‘dibencinya’, tatkala mendengar tangisan yang diiringi tangisan sayu kanak-kanak pesakit kanser sepertinya yang tidak tahan menanggung kesakitan itu. Dia tahu bagaimana rasanya kerana dia sendiri merasainya.

Baginya, tidak banyak yang dilakukan untuk membuat penyelidikan dan mencari penawar kanser. Begitu sedikit wang yang digunakan bagi tujuan itu.

Terry menjadikan kemarahannya yang membara itu sebagai pembakar satu misi. Misi untuk berlari merentas negaranya bagi meningkatkan kesedaran selain mengumpulkan dana menentang kanser.

Pada awal latihannya, dia merahsiakan misi itu dari pengetahuan sesiapapun. Dia cuma memberitahu keluarganya bahawa dia berlatih untuk Maraton Vancouver.

Permulaannya memang perit. Kebanyakan masanya dia hanya jatuh dan bangun bertatih dan jatuh dan bangun semula.

Begitulah yang berlaku dan sehinggalah lebih setahun dan setelah lebih 4,800 kilometer larian, barulah dia berterus-terang tentang hasratnya itu kepada keluarga.

Matlamatnya adalah untuk mengutip $1 seorang. Ketika itu, Kanada mempunyai 24 juta penduduk.

Ditemani Doug yang memandu van pengiring sumbangan Ford Motor Co., Terry mencecahkan kaki palsunya di dalam Lautan Atlantik pada tanggal 12 April 1980 sebagai tanda lariannya bermula.

Tidak kira cuaca, Terry berlari sejauh 42 kilometer sehari baik panas, hujan, angin kencang mahu pun salji, dia tetap teruskan jua.

Cakap-cakap belakang yang selama ini tidak yakin dengan kebolehannya itu terbukti silap apabila Terry muncul sebagai hero kebanggaan negaranya dan menjadi peneman menghiasi kaca televisyen di rumah mereka.

Apabila tidak berlari, Terry akan memberikan ceramah motivasi yang sungguh menyentuh hati.

Terry berlari merentasi Montreal, Ottawa, Toronto dan senarai panjang beberapa tempat lain di antara bandar yang dikunjunginya.

Orang ramai berbaris di tepi-tepi jalan sambil bertepuk tangan dan bersorak melaungkan kalimah semangat ini:

“Ayuh Terry, teruskan berlari. Jangan putus asa, anda mampu melakukannya. Kami akan sentiasa berada di belakangmu, memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepadamu Terry. Ayuh!’’

Itulah larian terakhir Terry...

Bila dan di mana?

Kini, jarang kanak-kanak yang disahkan menghidap osteosarkoma perlu menjalani amputasi (pembedahan memotong kaki) manakala jangka hayat mereka turut meningkat dengan ketara.

Sementara hayatnya masih ada, Terry turut sama menyediakan garis panduan bagi larian itu termasuklah yang masih kuat dipegang sehingga kini – acara ini tidak memerlukan pendaftaran dan tiada yuran dikenakan.

Ia lebih kepada acara kekeluargaan di mana para peserta boleh berlari, berjalan, joging, berbasikal, menggunakan kasut roda atau papan peluncur mahu pun apa-apa sahaja yang mereka sukai.

Penganjur, iaitu San Francisco Coffee menggalakkan orang ramai membeli baju-T bertulis ‘Saya akan berlari sekali pun terpaksa merangkak – Terry Fox’ yang berharga RM25 untuk dipakai semasa larian.

Hasil penjualan tersebut serta derma yang dihulurkan akan diserahkan kepada Yayasan Inisiatif Penyelidikan Kanser (CARIF).

Belum cukup bersemangat? Datanglah beramai-ramai ke Lake Gardens, Kuala Lumpur pada 17 September ini (Ahad). Larian akan bermula dan tamat di tempat yang sama. Larian dijadualkan bermula pukul 9 pagi.

Laluannya meliputi sejauh 6.5 km manakala bagi peserta kanak-kanak melalui jalan pintas, 3.2 km. Jamuan ringan dan acara menarik untuk kanak-kanak turut disediakan.

No comments: