Bipolar penyakit gangguan mental
Utusan Malaysia, 5 september 2006
Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
SIBUK dengan tugasan harian sama ada di rumah atau di tempat kerja sering membuatkan manusia mengalami perubahan mood atau perasaan.
Kadang kala mereka akan berasa terlalu gembira dan sebaliknya. Mereka mungkin tertekan dengan tanggungjawab yang dipikul sehingga menyebabkan rasa sedih.
Pengalaman tersebut pernah dilalui oleh Susan, seorang pesakit yang mendapat rawatan daripada Persatuan Psikiatrik Malaysia (PPM), sebelum dia mengetahui bahawa dia menghidap penyakit bipolar.
Tidak sedar dirinya mengalami gangguan mental, Susan menganggap perubahan mood yang dialaminya sebagai perkara yang normal.
“Saya sering menganggap perkara yang saya lakukan adalah betul dan pendapat orang lain adalah salah.
“Pada fikiran saya, perubahan sikap yang silih berganti tidak ada kaitannya dengan penyakit mental kerana saya berpendidikan tinggi dan mempunyai pekerjaan yang baik,” katanya pada majlis pelancaran kempen Kembalikan Keseimbangan Hidupku, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Atas dorongan sahabat baiknya, Susan berjumpa doktor dan menceritakan semua masalahnya.
“Pada mulanya, apabila saya disahkan menghidap penyakit bipolar, saya mendapati tiada siapa atau tempat untuk mengadu masalah dan membantu saya memahami perubahan ragam lampau yang mula mengawal kehidupan saya.
“Saya terpaksa mencari sendiri bahan-bahan atau maklumat tentang gangguan bipolar dan selalunya maklumat diperoleh daripada sumber antarabangsa,” ujarnya.
Sebagai pesakit bipolar, dia berkata, kefahaman yang lebih baik tentang penyakit tersebut telah membantunya menjalani kehidupan lebih sihat dan ceria.
Sementara itu, kempen Kembalikan Keseimbangan Hidupku ini telah dilancarkan oleh PPM sempena Kongres Psikiatrik Sedunia Ke-19 (WCP), yang dianjurkan sempena persidangan mengenai Perubatan Psikologi Malaysia Ke-12 (MCPM).
Kempen tersebut bertujuan mewujudkan tahap kesedaran lebih tinggi di kalangan orang ramai tentang penyakit mental bipolar yang sering tidak diberi diagnosis tepat.
Gangguan bipolar ialah penyakit mental yang menjejaskan ragam, tenaga dan keupayaan seseorang untuk berfungsi.
Seseorang yang mengalami gangguan ini mengalami perubahan ragam atau mood daripada perasaan terlalu ghairah (mania) kepada terlalu resah (kemurungan).
“Gangguan bipolar amat membebankan pesakit dan keluarga mereka dan boleh menyebabkan kehilangan pekerjaan, jangka hayat lebih pendek, pengasingan sosial dan kualiti hidup kurang baik,” kata Presiden PPM, Profesor Dr. Maniam Thambu.
Malah, di negara-negara maju sekalipun, pesakit bipolar sering diberikan diagnosis awal yang salah kerana doktor mereka kurang memahami gejala yang dialami.
Jika tidak dirawat, gangguan bipolar mendatangkan masalah besar kepada pesakit kerana menganggu fungsi kehidupan harian termasuk dalam pekerjaan. Ia juga mengundang pandangan serong masyarakat terhadap seseorang yang mengalami sebarang gangguan mental.
Namun, situasi ini boleh diubah dan berdasarkan laporan Majlis Penasihat Kesihatan Mental Amerika Syarikat, kadar kejayaan rawatan bagi gangguan bipolar agak cemerlang iaitu 80 peratus.
Malah, dengan rawatan yang sewajarnya, pesakit bipolar boleh mendapatkan kembali kira-kira tujuh tahun kehidupannya, menjalankan kegiatan utama dengan berkesan selama sepuluh tahun dan mengekalkan kesihatan normal selama sembilan tahun yang selalunya hilang akibat penyakit tersebut.
Mengulas mengenai situasi tersebut di Malaysia, pengerusi penganjur kempen, Dr. Abdul Kadir Abdul Bakar, berkata, dengan pendedahan dan pendidikan sempurna kadar kejayaan rawatan di negara ini mencapai tahap yang setanding negara asing.
Beliau menjelaskan, tahap kesedaran umum yang lebih tinggi akan mengurangkan tanggapan yang negatif tentang penyakit ini dan menggalakkan pesakit memainkan peranan proaktif untuk mendapatkan rawatan.
Menurut Dr. Abdul Kadir, rawatan bagi penyakit bipolar secara amnya terdiri daripada beberapa komponen termasuk ubat-ubatan, terapi elektrokonvulsif dan rawatan psikososial.
“Banyak perkara yang boleh anda lakukan untuk menangani penyakit anda dan mengekalkan kesejahteraan diri.
“Ini termasuklah memakan ubat, penuhi temu janji dengan doktor anda dan menghadiri sesi rawatan psikososial, serta tidur mengikut jadual yang tetap sekurang-kurangnya lapan jam setiap malam.
“Selain itu, jangan mengambil alkohol, kafein atau dadah kerana ia mungkin menganggu tindakan ubat, tidur atau mood anda. Anda juga perlu berhenti atau mengurangkan merokok dan perlu bijak mengurangkan tekanan kerja dan tekanan disebabkan konflik interpersonal,” katanya.
Orang ramai seharusnya lebih peka dalam menangani masalah kesihatan mereka termasuk sering membaca informasi berkaitan penyakit tersebut supaya langkah rawatan awal boleh dilakukan.
Usaha PPM untuk memperbaiki strategi pengurusan untuk pesakit bipolar dapat dilihat melalui maklumat dalam laman web rasmi kempen ini di http://www.psychiatry-malaysia.org
Jika penyakit tidak dapat dikawal sepenuhnya, kemungkinan pesakit mengalami kelakuan yang tidak dapat dikawal (contohnya, berbelanja berlebihan, memandu secara berbahaya) dan kelakuan agresif (contohnya, menyerang orang lain dan mencederakan diri sendiri) adalah lebih tinggi.
Jadi, sebelum suatu krisis berlaku, senaraikan tanda-tanda awal bagi membantu orang lain mengenalpasti apabila anda perlukan bantuan.
Selain itu kata Dr. Abdul Kadir, pesakit perlu menyediakan satu pelan krisis bersama keluarga dan doktor mengenai apa yang perlu dilakukan apabila satu krisis berlaku dan apabila sepatutnya anda perlu dihantar ke hospital.
“Pesakit juga perlu mendapatkan bantuan perubatan sebaik sahaja merasa mood atau paras tenaga berubah di samping sentiasa memastikan bahawa persekitaran sentiasa selamat,” katanya.
SIMPTOM-SIMPTOM PENYAKIT BIPOLAR
- Mood terlampau tinggi. Contohnya, terlampau gembira.
- Cuma memerlukan masa tidur yang pendek.
- Cepat marah.
- Lebih aktif daripada biasa.
- Bercakap dengan kuat dan cepat.
- Fikiran yang berserabut.
- Kesukaran memfokus.
- Lemah pertimbangan
- Kemurungan
- Murung dan sedih.
- Rendah harga diri.
- Hilang minat terhadap perkara yang biasanya digemari.
- Tidak dapat tidur.
- Hilang selera makan.
- Sentiasa letih.
- Tidak dapat menumpukan perhatian.
- Lemah pertimbangan.
- Berfikir tentang bunuh diri atau kematian.
1 comment:
Quite right! It seems to me it is very good idea. Completely with you I will agree.
Post a Comment