Friday, September 01, 2006

Merdeka Di Mataku keluhan Dib

Berita Harian, 1 september 2006


"Kasih... Hanya bulan dan bintang, yang menyinari hidupku, kerdipan cahaya bermain di mata. Kembalikan nur yang luput dari pandangan. Kasih di manakah dikau?" Demikian luahan keresahan, keperitan, kepayahan dan kekecewaan.

Semua gumpalan perasaan yang menghuni sudut hatinya diterjemahkan menerusi gerak geri tari di lantai dalam persembahan 90 minit, Merdeka Di Mataku yang di Pusat Persembahan Seni Kuala Lumpur (KLPac), baru-baru ini.

Merdeka Di Mataku adalah interpretasi nama yang tidak asing lagi dalam dunia penyiaran itu dalam mengejar keadilan, kesamarataan, kemerdekaan dan ketenangan sejak tergolong dalam kelompok Orang Kurang Upaya (OKU).

Bukan simpati yang ingin dicari, tidak juga dia berniat untuk mencuit perasaan dengan kekurangan yang ada pada dirinya sebaliknya, Ras Adiba atau Dib mahu OKU sepertinya mendapat keadilan sama seperti mereka yang sempurna. Sejak berkerusi roda, kesan kemalangan pada 1999 dan kemudian pada 2002, dia terjatuh ketika cuba mengambil barang menyebabkan tulangnya patah serta urat saraf putus, Dib turut berdepan peristiwa menjeruk rasa.

Dalam persembahan itu, Dib juga membawa penonton menyelami dunia sebenar hidup OKU yang ada kalanya dalam diskriminasi dan dianaktirikan.

“Pernah saya menahan teksi tetapi pemandunya menolak untuk mengambil kerana saya berkerusi roda. Bagaimanapun, akhirnya dia bersetuju tetapi menghempaskan pintu selepas memasukkan kerusi roda saya ke dalam but. Ketika itu saya sedar, ramai lagi manusia lain yang kurang upaya dan bukan saya,” katanya.

Sepanjang 90 minit itu, Dib meluahkan rasa, berkongsi pengalaman pahit getir, namun hatinya tewas tatkala dia mendeklamasikan puisi berjudul, Mungkinkah. Air mata berguguran saat berkongsi pengalaman.

“Hampir 80 peratus teman menjauhkan diri apabila saya disahkan berdepan dengan paraplegik atau lumpuh separuh badan. Mereka terus menjauh dan tiada seorang pun yang datang kembali. Tidak mengapa kerana hari ini saya ditemani kawan baru yang lebih memahami,” katanya dalam sebak lalu air mata mengalir lagi.

Bicara Dib malam itu sarat dengan bunga harapan lewat lagu dan puisi pilihannya seperti Kekasih, Sesekali, Kasih, Bayangkan, Kalau Takku Bawa Namamu serta puisi Jerman, Red Roses.

“Bunga mawar merah akan sentiasa menghujani diriku, segala keajaiban akan menyelubungi diriku, keseronokan akan berubah dengan indah dan aku akan ditakdirkan dengan cinta sejati”. - Antara petikan catatan lewat puisi disampaikan dengan bantuan teman Dib.

Merdeka Di Mataku membuka minda dan penglihatan tetamu akan keupayaan seorang yang dikenali sebagai OKU dan Dib membuktikannya.

No comments: