Saturday, September 23, 2006

Gadis kurang upaya rentung

Utusan Malaysia, 23 september 2006

Oleh: AZMAN MD NOOR

BALING 22 Sept. – Seorang gadis kurang upaya dan cacat rentung dalam kebakaran di Kampung Paya Menora, Teloi Kanan, Kuala Ketil dekat sini, awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, Zarina Abd. Rahman, 22, yang sedang tidur di biliknya gagal diselamatkan kerana api marak.

Mayatnya ditemui di atas katil oleh anggota Bomba dan Penyelamat Baling.

Pegawai Operasinya, Abdul Muin Ayob berkata, pihaknya gagal menyelamatkan apa-apa kerana sebaik tiba di tempat kejadian, rumah itu telah hangus sama sekali.

‘‘Kami hanya memadamkan sisa-sisa api supaya tidak merebak ke tempat lain tetapi terjumpa mayat mangsa dikatil nya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Abdul Muin berkata, pihaknya masih menyiasat punca dan jumlah kerugian akibat kejadian itu.

Timbalan Ketua Polis Baling, Deputi Supritendan Khamis Hamzah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Baling untuk bedah siasat.

‘‘Kita mengklasifikasikan kes ini sebagai kematian biasa berpunca daripada kebakaran,” katanya.

Sementara itu adik mangsa, Siti Salmiah Abd. Rahman, 20, masih terbayang-bayang kakaknya menjerit-jerit meminta tolong dan meronta-ronta dalam api marak itu.

Dia ternampak kakaknya menggamit- gamit minta dibantu tetapi dia dan suaminya, Hasbunizam Abu Hassan, 29, ketika itu sudah cuba untuk menyelamatkan mangsa sehingga tubuh mangsa hilang dari pandangan kerana asap tebal.

Menurut Siti Salmiah, sebaik sahaja mendengar jeritan ibunya, Siah Junus, 48, dia terus berlari menuju ke bilik kakaknya itu.

‘‘Saya terdengar ibu menjerit minta tolong dan cuba selamatkan kakak yang terperangkap tetapi api marak dengan tiba-tiba. Saya tidak mampu berbuat apa-apa,” katanya sayu mengenangkan kejadian yang menimpa keluarganya itu.

Beliau memberitahu kakaknya yang kurang upaya dan cacat mental sejak kecil, tidak boleh bercakap dan hanya mampu bergerak dengan bantuan keluarga.

Siti Salmiah berkata, dia cuba masuk melalui pintu belakang untuk menyelamatkan kakaknya tetapi gagal kerana api marak begitu pantas.

Menurut ibu kepada seorang anak ini, dia amat terkilan kerana usahanya untuk menyelamatkan kakaknya dari terbakar tidak kesampaian.

Pada masa yang sama ibu mangsa, Siah memberitahu dia yang terlebih dahulu ternampak api membakar rumahnya hanya mampu menjerit dan meminta tolong daripada jiran serta Siti Salmiah yang tinggal kira-kira 150 meter dari rumahnya.

Selepas kejadian itu, Siah pengsan beberapa jam apabila mengetahui anaknya itu rentung dalam kebakaran tersebut.

Jenazah Allahyarham Zarina dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tembak, petang ini

No comments: