Elaun OKU belum disalur kepada PPDK
Utusan Malaysia, 18 september 2006
ADALAH dengan penuh hormat sebagai Pengerusi Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sri Toh Johan Trong, ingin menarik perhatian mengenai surat bertajuk Belum Terima Elaun OKU pada 13 September 2006 ditulis oleh Mohd Razak Ahmad.
Terlebih dahulu dimaklumkan bahawa PPDK Sri Toh Johan Trong adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang diurus tadbir oleh sebuah ahli jawatankuasa (AJK) secara sukarela di bawah selian Jabatan Kebajikan Masyarakat, bagi mengurus, menyelia, menjalankan aktiviti pemulihan, pengajaran, pembelajaran dan lain-lain aktiviti yang boleh membantu meningkatkan tahap kehidupan golongan orang kurang upaya (OKU) di kawasan Trong.
PPDK ini dibekalkan geran tahunan bagi membayar elaun para pekerja dan sedikit daripadanya bagi menampung perbelanjaan aktiviti, lain-lain perbelanjaan adalah di atas daya usaha AJK mendapatkannya.
Berhubung dengan elaun OKU seperti yang ditimbulkan, PPDK hanya dipertanggungjawab membuat bayaran melalui bank tertentu apabila wang berkenan diterima, tetapi sehingga kini wang tersebut belum lagi diterima oleh PPDK.
Kami yang diberi amanah mengurus di peringkat akar umbi sangat-sangat memahami dan bersimpati dengan masalah yang ditanggung oleh pihak keluarga dan juga OKU sendiri, tetapi apakan daya. AJK tidak dapat berbuat apa-apa selagi wang berkenan tidak disalurkan kepada PPDK ini.
Saya tidak bertujuan untuk menyalahkan mana-mana pihak, tetapi sekadar memaklum keadaan sebenar supaya tidak timbul salah anggapan terhadap PPDK ini.
– BASHARUDIN MAT DESA,
Pengerusi PPDK, Trong, Perak.
No comments:
Post a Comment