Tuesday, September 05, 2006

SMK Pendidikan Khas johan tarian

Berita Harian, 5 september 2006

SHAH ALAM: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendidikan Khas, Seksyen 17, baru-baru ini muncul johan pertandingan Tarian dan Nyanyian Tradisional sempena sambutan Kemerdekaan ke-49, semalam.

Sekalipun peserta adalah pelajar pekak dan bisu, namun mereka mampu menewaskan 12 sekolah lain sekitar bandar raya ini bagi meraih wang tunai RM3,000, trofi dan hamper.

Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9 pula muncul naib johan, manakala Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 16 (ketiga). Naib johan menerima wang tunai RM2,000, manakala tempat ketiga (RM1,000), selain trofi dan hamper.

Guru SMK Pendidikan Khas, Nadia Satihee, berkata kejayaan itu adalah di luar jangkaan tetapi membuktikan pelajar kurang upaya mampu mengecapi kejayaan setanding pelajar lain.

"Pada mulanya, agak susah mengajar tarian kerana ada kekangan komunikasi antara pelajar dengan tenaga pengajar tapi usaha kami berbaloi berkat kegigihan," katanya.

Semua hadiah disampaikan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin yang juga Ahli Parlimen Shah Alam di Laman Budaya di sini.

Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 16 pula muncul johan kategori Nyanyian Solo, Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 19 (naib johan) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 24 (ketiga)

Bagi kategori Nyanyian Duet, Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 16 mengungguli johan dan naib johan manakala Sekolah Menengah Seksyen 24, tempat ketiga.

Sekolah Kebangsaan Menengah TTDI Jaya pula menang kategori Sekolah Paling Sporting dan Busana Tercantik.

No comments: