2 beradik warga emas daif
Berita Harian, 8 September 2006
SUNGAI PETANI: Dua beradik warga emas, seorang daripadanya terencat akal di Kampung Bendang Dalam, Merbok, dekat sini, hidup dalam kedaifan kerana tiada tempat bergantung.
Sejak 40 tahun lalu, Sapiah Ishak, 76, menjaga adiknya, Radziah, 62, yang terencat akal selepas diserang demam panas.
Sapiah pernah memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) empat tahun lalu tetapi belum menerima sebarang jawapan setakat ini.
“Setiap hari saya perlu memastikan ada makanan untuk Radziah, jika tidak dia akan menjerit kelaparan.
"Tok perlu sediakan makanan untuknya walaupun setakat nasi dan ikan masin," katanya ketika ditemui di rumah, semalam.
Sapiah berkata mereka berdua juga terpaksa berlapar jika hari hujan kerana tidak ada peniaga datang menjual bahan mentah untuk dimasak manakala beliau tidak terdaya untuk berjalan kaki ke kedai kerana sakit lutut.
Dua beradik itu kini bergantung hidup kepada wang yang disedekahkan oleh jiran tetangga untuk membeli bahan makanan.
Selepas kematian ibu mereka kira-kira 50 tahun lalu, dua beradik itu bergantung kepada abang mereka, Abdullah, tetapi saudara mereka itu juga sudah meninggal dunia empat tahun lalu.
Sapiah yang tidak pernah berkahwin mengakui sering menghadapi masalah kewangan untuk mengharungi kehidupan bersama adiknya itu.
"Tok pernah memohon bantuan dari JKM empat tahun lalu tetapi sampai sekarang belum ada sebarang jawapan dan tidak mampu untuk memohon lagi," katanya.
|
No comments:
Post a Comment