Edisi Selatan : OKU tak layak
Harian Metro, 5 september 2006
Oleh Mary Victoria Dass
JOHOR BAHRU: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) negeri terpaksa menolak permohonan tuntutan pencen ilat seorang warga kurang upaya kerana dia didapati bukan pekerja syarikat tempatan dan tidak didaftar sebagai pencarum.
Sebaliknya, lelaki berkenaan, A Sivakumar, 32, didapati pekerja syarikat Singapura serta tidak layak untuk membuat permohonan tuntutan terbabit.
Timbalan Pengarah Perkeso Negeri Johor, Roslan Ramlan, berkata penduduk Taman Rinting itu pernah membuat permohonan bagi mendapatkan Pencen Ilat pada Februari lalu selepas mendakwa dirinya hilang upaya sejak terbabit dalam kemalangan.
Beliau berkata, Sivakumar turut mengemukakan laporan perubatan daripada hospital dan beberapa dokumen sokongan lain ketika membuat permohonan berkenaan hampir tujuh bulan lalu.
Menurutnya, walaupun laporan perubatan Sivakumar dari pakar ortopedik menjelaskan lelaki berkenaan hilang upaya kekal, akhirnya Perkeso terpaksa menolak permohonan tuntutan berkenaan.
“Bagi memproses sesuatu permohonan, kami biasanya akan mendapatkan maklumat daripada majikan seseorang pemohon bagi memastikan dokumen mahupun keterangan yang diberikannya adalah sahih.
“Hasil siasatan kami mendapati dia bukan seorang pekerja di syarikat tempatan, sebaliknya bekerja di sebuah syarikat Singapura. Secara tidak langsung, status pemohon berkenaan didapati tidak layak membuat permohonan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.
“Kita sudah memaklumkan kepada Sivakumar dan keluarganya mengenai keputusan Perkeso menolak permohonannya Julai lalu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau mengulas dakwaan seorang lelaki yang kecewa tuntutannya untuk mendapatkan Pencen Ilat ditolak Perkeso kerana maklumat palsu daripada majikan. Pemohon berkenaan juga mendakwa pelik dengan sikap lepas tangan majikannya yang didakwa menafikannya sebagai bekas pekerja mereka sedangkan dia mempunyai surat pengesahan bekerja dengan syarikat berkenaan.
Roslan berkata, selepas permohonan berkenaan ditolak, Sivakumar masih belum membuat sebarang rayuan mahupun mengemukakan bukti yang menyokong dia pernah bekerja di syarikat berdaftar tempatan.
“Kami bukan sengaja menolak permohonannya, tetapi mengikut prosedur dia perlu layak.
“Bagaimanapun, sekiranya Sivakumar ingin membuat rayuan pada masa depan, dia perlu tampil dengan bukti yang menunjukkan dia pernah bekerja dengan syarikat berkenaan bagi membolehkan kami memproses semula permohonannya.
“Kami berharap majikan dan pekerja memberi kerjasama terutamanya maklumat benar kerana ia membabitkan kehidupan warga kurang upaya,” katanya.
No comments:
Post a Comment