Banyakkan pelan lindungi wanita – Shahrizat
Utusan Malaysia, 9 september 2006
KUALA LUMPUR 8 Sept. – Institusi insurans disaran mewujudkan lebih banyak pelan dan skim perlindungan untuk wanita, orang kurang upaya (OKU) serta warga emas bagi melindungi golongan itu dalam apa jua situasi.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, ini memandangkan elemen keselamatan dan perlindungan perlu diberi penekanan kepada golongan tersebut terutamanya wanita.
Katanya, mereka perlu dilindungi terutama semasa berlaku kemalangan yang tidak diduga dan memberi kesan jangka panjang seperti ragut, rogol serta keganasan rumah tangga.
“Saya juga menyeru kepada semua wanita agar menyertai pelan dan skim yang diwujudkan ini untuk kesenangan masa depan mereka,’’ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat (Mayang), Parlimen Lembah Pantai di sini hari ini.
Pada majlis itu juga, Shahrizat turut melancarkan Pelan Perlindungan Wanita oleh syarikat Commerce Assurance Bhd. yang menawarkan perlindungan sebanyak RM10,000 untuk kemalangan dan kematian seseorang individu termasuk mangsa ragut, rogol serta keganasan rumah tangga.
Mengulas mengenai Mayang, beliau berkata setiap kawasan Parlimen kini mempunyai badan itu yang bertindak sebagai jentera Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengesan dan menguruskan golongan yang kurang bernasib baik.
Katanya, satu data sosial mengenai golongan itu sedang dibangunkan oleh Mayang dalam usaha memudahkan JKM menjalankan tugasnya.
Sehingga kini menurut Shahrizat, lebih 2,000 warga emas dan OKU telah mendaftar dengan Mayang.
No comments:
Post a Comment