Kedaifan nenek 112 tahun dapat perhatian
Berita Harian, 29 september 2006
KUALA NERANG: Kedaifan hidup seorang nenek dipercayai berusia 112 tahun dan terpaksa menjaga cucunya yang lumpuh yang disiarkan pada muka depan akhbar ini semalam, mendapat perhatian kerajaan negeri yang berjanji akan membaiki rumahnya.
Pengurus Yayasan Kemiskinan Kedah (Yaked), Zaharan Abdullah, berkata Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengarahkan pihaknya menghulurkan bantuan makanan bagi meringankan bebanan Chik Salleh dan cucunya, Md Saad Osman, 54.
“Menteri Besar mengarahkan rumah warga emas itu dibaiki segera dengan dibina lantai simen yang lebih rata bagi memudahkan pergerakan mereka, selain membekalkan makanan setiap bulan.
“Yaked juga akan menanggung bil bekalan air dan elektrik di rumah mereka supaya Chik dan cucunya itu tidak perlu bersusah payah memikirkan soal bil berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas melawat Chik dan cucunya di tanah rizab Felda Bukti Tembaga di sini, petang semalam.
Yayasan itu turut menghulurkan barang makanan kepada mereka berdua.
Semalam, Berita Harian menyiarkan ketabahan Chik yang bongkok dan tidak kuat itu menguruskan Md Saad yang lumpuh dari paras pinggang ke bawah serta tidak mampu bercakap dengan sempurna sejak kecil.
Mereka berdua hidup dengan bergantung kepada bantuan bulanan RM100 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain sumbangan penduduk berhampiran.
Chik berkata, beliau amat berterima kasih kepada kerajaan kerana menghulurkan pelbagai bantuan kepada beliau dan cucunya.
“Tok tidak sangka kehidupan yang serba susah ini mendapat simpati pemimpin negeri dan terima kasih juga kepada Berita Harian yang menyiarkan penderitaan kami berdua.
“Bagi Tok, puasa tahun ini cukup bermakna kerana belum lagi pernah merasai makanan yang banyak seperti ini," katanya sambil mengesat air mata.
Sementara itu, pejabat Berita Harian di sini, menerima banyak panggilan daripada orang ramai yang bersimpati dan ingin menghulurkan bantuan untuk meringankan beban Chik.
No comments:
Post a Comment