Thursday, November 30, 2006

Ekspresi jemari penghargaan kepada pelajar OKU

Utusan Malaysia, 30 november 2006


Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH

ASMAHAN GHAFARUDIN (tengah) menunjukkan piala dan sijil yang dimenangi bersama ibu bapanya, Wan Sham Wahidin dan Ghafarudin Osman.

Kesedaran untuk menimba ilmu pengetahuan tidak terbatas kepada golongan normal sahaja, bahkan insan istimewa seperti golongan orang kurang upaya (OKU) jugal memerlukan ilmu untuk kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Alam persekolahan adalah waktu yang paling penting bagi proses pembentukan kesedaran, membuat perancangan serta membuat keputusan berhubung dengan pendidikan, kehidupan sosial serta kerjaya pada masa hadapan.

Mungkin ramai yang sudah mengetahui tentang kewujudan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV), Shah Alam, Selangor, yang merupakan satu daripada empat buah Sekolah Menengah Pendidikan Khas di bawah Pentadbiran Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia.

Ditubuhkan pada Januari 1987, ia memberi peluang kepada pelajar istimewa yang kurang daya pendengaran untuk bersaing dan seiring dengan insan normal lain.

Dalam proses perkembangan kerjaya, tidak dinafikan bahawa wujud tekanan dan halangan yang mungkin dihadapi oleh mereka, tetapi wujud juga pelbagai peluang pekerjaan dan kemudahan khas untuk golongan istimewa ini.

Secara umumnya, pelajar juga perlu peka dan mengetahui tentang bidang latihan dan pekerjaan yang ada di persekitaran mereka. Mereka juga perlu memusatkan diri dengan bidang kerjaya yang sesuai dengan minat, keupayaan dan pencapaian.

Begitu juga impian yang ingin dilaksanakan oleh pengetua, tenaga pengajar dan seluruh kakitangan SMPKV, Shah Alam.

Pada awal penubuhannya, SMPKV hanya mempunyai 27 pelajar dan 13 guru. Pada tahun ini, enrolmen pelajarnya ialah seramai 247 orang iaitu 152 lelaki dan 95 perempuan serta 58 orang guru.

Peningkatan bilangan murid setiap tahun menunjukkan ibu bapa kini semakin peka terhadap keperluan pendidikan anak-anak yang istimewa.

Kecemerlangan

Penulis berkesempatan bertemu guru, pelajar-pelajar istimewa yang cemerlang bersama ibu bapa mereka pada majlis penyampaian hadiah, Ekspresi Jemari 2006.

Seunik namanya, Ekspresi Jemari 2006 bertujuan memberi penghargaan kepada pelajar-pelajar yang telah menunjukkan kecemerlangan, mengasah bakat dan potensi mereka dalam bidang yang diceburi, di samping mendorong kreativiti dan inovasi pelajar dalam mereka cipta sesuatu rekaan yang baru.

Program tahunan ini telah dirasmikan oleh Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pelajaran Negeri Selangor, Mokhtar Jaafar. Hadir sama, Pengetua SMPKV, Samsudin Md. Noor.

Kehadiran ibu bapa pelajar yang datang dari seluruh negara turut memeriahkan program, sekaligusa dijadikan pembakar semangat ke arah mencapai kecemerlangan pada masa akan datang.

Bagi Mohd Shairi Mahasan, 19, sokongan ibu bapa, keluarga dan guru-guru telah memberi kekuatan untuk dia meneruskan kehidupan dan berjaya dalam pelajaran walaupun mengalami masalah pendengaran.

Mohd Shairi mendapat tempat pertama dalam Kejohanan Tangan Emas untuk kategori memasak.

“Saya memang minat memasak sejak di rumah lagi. Tentunya saya gembira kerana mendapat hadiah ini dan ia menjadi pendorong saya untuk belajar lagi.

“Selepas ini, saya akan mengambil borang politeknik untuk melanjutkan pelajaran,” katanya yang dialih bahasakan menggunakan bahasa isyarat oleh gurunya, Norehan Ali.

Menurut Norehan, Mohd. Shairi mempunyai motivasi sendiri yang tinggi dan minat dalam bidang masakan.

“Walaupun dalam akademik dia kurang sedikit tetapi kemahiran memasak yang dimilikinya tidak menyukarkannya dia menyiapkan tugasan memasak yang diberi.

“Dia seorang pelajar yang mudah belajar dan saya doakan cita-citanya untuk membuka kedai roti satu hari nanti tercapai,” jelas Norehan.

Sementara itu, ibu bapa Mohd Shairi, Marina Abdullah, 40, dan Mahasan Saud, 46, cukup berbangga dengan kejayaan yang diperoleh oleh anaknya.

“Tiada apa yang kami malukan, malah kami bersyukur atas kemahiran yang ada padanya.

“Walaupun dia tidak dapat mendengar, tetapi dia mempunyai kelebihan dari segi kemahiran memasak.

“Di rumah, kami sekeluarga tidak menghadapi masalah komunikasi dengannya. Semua ahli keluarga mahir menggunakan bahasa isyarat kerana kakaknya juga mempunyai masalah pendengaran.

“Selepas ini, kami akan sentiasa memberi galakan dan motivasi terhadap apa yang dicita-citanya,” jelas Mahasan yang datang dari Kelantan untuk menyaksikan anaknya menerima hadiah.

Seorang lagi pelajar istimewa yang kurang daya pendengaran, Asmahan Ghafarudin, 19, turut berkongsi kegembiraan dengan ibu bapanya, Wan Sham Wahidin, 53, dan Ghafarudin Osman, 56.

Asmahan yang mendapat tempat pertama untuk Tangan Emas Pendandan Rambut Muda memberitahu, dia ingin bekerja setelah tamat dari SMPKV nanti.

Menurut guru kelas Asmahan, Nawati Daud, 30, walaupun pada mulanya Asmahan mempunyai masalah dalam pembelajaran, tetapi atas sokongan keluarga dan usahanya sendiri, Asmahan sikit demi sedikit boleh menerima pelajaran dan kemahiran yang dididik.

“Asmahan mempunyai potensi yang baik sebagai pendandan rambut.

“Walaupun lambat, Asmahan tetap berusaha untuk melakukan sesuatu dengan baik. Sikap gigihnya ini boleh dijadikan modal untuk dia berjaya kelak,” katanya.

Bagi Wan Sham, dia memberi kebebasan kepada satu-satunya anak perempuan yang bongsu ini untuk membuat keputusan sendiri dan menentukan masa depannya nanti.

“Kami juga berterima kasih kepada guru-guru SMPKV yang tidak jemu melayan karenah anak kami mahupun pelajar yang lain.

“Tanpa bantuan mereka, sudah pasti anak kami tidak mampu melakukannya,” katanya.

Sebagai bapa, Ghafarudin turut menyokong keputusan Asmahan dan yakin anak perempuannya itu boleh berdikari.

“Sebenarnya anak-anak yang kurang deria pendengaran ini sama seperti kanak-kanak yang sempurna.

“Walaupun kurang satu deria, Allah telah memberi mereka ini kelebihan empat deria yang lain.

“Kami bersyukur, abang- abang Asmahan turut memberi sokongan dan bersikap positif. Buat Asmahan, kami doakan dia agar terus berjaya,” jelasnya.

No comments: