Kanak-kanak mata tersembul rayu bantuan
Utusan Malaysia, 4 november 2006
Oleh DIYANA ROSE KAMALLUDEEN
POKOK SENA 3 Nov. – Ketika kanak-kanak seusianya lancar membaca dan menulis, Mohd. Yusuf Nasir, 9, yang dilahirkan cacat anggota badan dengan matanya tersembul masih lagi buta huruf.
Kecacatannya tidak membolehkan Mohd. Yusuf ke sekolah malah ibu bapanya, Siti Aisyah Sudin, 33, dan Mohd. Nasir Awang, 35, terpaksa bergilir-gilir menjaganya sepanjang masa kerana matanya mudah dijangkiti kuman.
Kanak-kanak malang itu kehilangan mata kanannya sejak berusia tiga tahun apabila ia terpaksa dibuang setelah disahkan rosak.
Kini mata kirinya yang kemerahan dan seakan-akan hampir terkeluar pula terpaksa dijaga rapi dan perlu dibersihkan serta dirawat di Hospital Alor Star (HAS) setiap empat bulan sekali.
Lebih menyedihkan, Mohd. Yusuf terpaksa mengharapkan bantuan untuk bergerak kerana kesemua jari tangan dan kakinya bercantum sehingga menyukarkannya menyuap makanan dan memakai baju sendiri.
Menurut Siti Aisyah, doktor pernah mencadangkan supaya anaknya menjalani pembedahan untuk merawat kecacatan itu namun risikonya terlalu tinggi.
‘‘Saya pun tidak pasti apa penyakitnya tetapi doktor beritahu tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan untuk memulihkan mata Mohd. Yusuf kecuali memberi ubat dan dirawat di HAS.
‘‘Doktor kata jika hendak menjalani pembedahan, peluang untuk pulih hanya 10 peratus,” kata Siti Aisyah ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mata Air di sini hari ini.
Sejak kecil, anak bongsunya itu sering sakit dan lebih banyak berada di dalam rumah dan ditemani bermain oleh abangnya, Mohd. Syawal, 14.
‘‘Setiap malam kami akan tidur secara bergilir-gilir untuk menjaga Mohd. Yusuf yang suka bermain-main dalam buaian kerana dia sukar tidur.
‘‘Namun sejak akhir-akhir ini dia kurang sihat dan kerap meragam, tambahan pula dia tidak mahu makanan lain selain roti dan susu,” katanya.
Kata Siti Aisyah, mereka juga terpaksa menjalani kehidupan dalam serba kekurangan kerana pendapatan suaminya sebagai penoreh getah hanya sekitar RM400 sebulan.
Orang ramai yang bersimpati dan ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Siti Aisyah dan Mohd. Nasir di talian 04-7824391 atau di alamat Kampung Mata Air, Mukim Gajah Mati, 06400 Alor Star.
No comments:
Post a Comment