Keluar otak ditukul abang
Oleh D J Dolasoh dan Mohd Rashidi Yusuf
GRIK: “Ya Allah...kenapa anakku jadi macam ni? Mak datang sini nak tengok sihat ke tidak. Siapa yang buat sampai pecah kepala macam ni. Mengucaplah nak,” kata Siti Rahmat Kechik sebaik masuk ke rumah anaknya yang dalam pembinaan di Jalan Air Tok Nam, Kampung Pahat di sini, kelmarin.
Dalam kejadian itu, seorang lelaki berusia 24 tahun disyaki membunuh Mohd Najmi yang juga adiknya, di rumah itu.
Siti Rahmah, 51, kemudian terus memeluk dan meriba Mohd Najmi Abdul Rahman, 22, yang ketika itu dalam keadaan nyawa-nyawa ikan sambil mengajar anaknya mengucap tetapi keadaannya sudah terlalu lemah.
“Patutlah mak cik ingin sangat melihat Mohd Najmi sehingga sanggup datang sejauh 26 kilometer dari rumah di Felda Lawin Selatan, Grik ke Kampung Pahat.
“Selepas mendapati anak mak cik sudah tiada, mak cik beritahu penduduk kampung supaya hubungi polis selepas mengetahui anak mak cik dibunuh,” katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Kampung Pahat, di sini, semalam.
Siti Rahmah berkata, hatinya tergerak untuk melihat Mohd Najmi walaupun tidak pasti sama ada anaknya itu berada di rumah kerana mangsa pekerja balak di hutan Banding.
“Bagaimanapun, sebaik tiba, mak cik terkejut apabila melihat beberapa orang sedang mengerumuni Najmi di ruang tengah rumah yang separuh siap dengan otaknya sedikit terkeluar dari luka di kepala.
“Saya kemudian diberitahu pembunuh Mohd Najmi ialah abangnya sendiri tanpa mengetahui sebab. Abangnya menumpang di rumah Mohd Najmi sejak setahun lalu dan kos membina rumah lebih RM10,000 dikeluarkan Najmi.
“Selain itu, Najmi memberi wang perbelanjaan setiap bulan kepada abangnya kira-kira RM300, “ katanya yang menganggap mangsa anak ketiga dari lima beradik sangat rapat dengan abangnya dan mereka tidak pernah bermusuhan.
Kali terakhir dia bertemu mangsa ialah pada Aidilfitri lalu di rumah mereka di Felda Lawin Selatan,
Sementara itu, nenek mereka, Selamah Ahmad, 86, yang tinggal kira-kira 100 meter dari tempat kejadian, berkata kedua-dua cucunya sebelum itu pergi ke rumahnya untuk makan.
“Tiada tanda-tanda mereka bermusuhan tapi si abang (suspek) agak pendiam dan sering memendam rasa sejak kecil hingga saya sendiri rasa takut menegurnya dengan kasar.
“Bagaimanapun, kami menganggap kejadian ini sebagai takdir Allah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Perak, Superintendan Mahad Nor Abdullah, berkata kejadian berlaku pada jam 4.10 petang kelmarin dan mangsa dipercayai dibunuh menggunakan tukul.
“Sebaik dimaklumkan orang awam, sepasukan polis memberkas suspek selepas dikepung iaitu abang mangsa sendiri yang sedang melarikan diri menggunakan sebuah motosikal di kampung itu.
“Dalam soal siasat, suspek mengakui memukul mangsa sehingga mati dan mendakwa dia melakukannya dalam keadaan tidak sedar,” katanya.
Mahad Nor berkata, lelaki terbabit mengakui marah kepada adiknya apabila ditegur kerana tidak mengemas dapur rumah yang berselerak.
“Suspek yang dipercayai mengalami gangguan mental kini ditahan reman mengikut Seksyen 117, Kanun Acara Jenayah,” katanya.
Mangsa dibedah siasat di Hospital Grik (HG) sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Pahat, di sini petang semalam.
No comments:
Post a Comment