Thursday, November 09, 2006

Warga emas maut disembelih anak sendiri

Utusan Malaysia, 9 November 2006

KUALA LUMPUR 8 Nov. – Seorang warga emas mati disembelih anaknya sendiri yang mengalami masalah mental dalam satu kejadian di rumah bernombor 115, Jalan Ikhlas, Bandar Tun Razak di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi ini, mangsa Ismail Talib, 77, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di leher selepas disembelih oleh anak lelakinya ketika mangsa sedang nyenyak tidur di biliknya.

Jurucakap polis memberitahu, Ismail yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Kompleks Renang Cheras di sini mati dikelar dengan sebilah pisau oleh suspek yang merupakan anak ketiga daripada empat adik-beradik.

‘‘Kita telah menemui pisau berlumuran darah di sebelah mangsa yang dipercayai digunakan suspek untuk menyembelih bapanya,’’ kata jurucakap itu ketika ditemui di tempat kejadian.

Polis menerima maklumat mengenai pembunuhan tersebut melalui suspek sendiri apabila dia datang ke Balai Polis Cheras di sini untuk membuat laporan mengenai kejadian tersebut.

‘‘Suspek datang ke balai polis awal pagi ini untuk membuat laporan mengenai kejadian itu dan dia memberitahu anggota polis yang bertugas bahawa dia telah membunuh bapanya,’’ ujarnya.

Beliau memberitahu, suspek itu ditahan sejurus selepas dia membuat laporan tersebut.

Beberapa pegawai serta anggota polis yang bergegas ke rumah Ismail menemui mangsa dalam keadaan berlumuran darah di dalam bilik tidurnya.

Jurucakap itu memberitahu, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia di sini untuk dibedah siasat.

Sementara itu, seorang menantu Ismail yang enggan dikenali memberitahu, pihaknya menerima panggilan telefon daripada polis kira-kira pukul 7.30 pagi ini yang memaklumkan mengenai kejadian itu.

‘‘Saya dan isteri yang merupakan anak kedua mangsa bergegas ke rumah ayah sebaik sahaja diberitahu mengenai kejadian ini.

‘‘Saya terkejut dan tidak sangka kejadian ini berlaku kerana baru dua hari lepas kami makan bersama di sebuah restoran.

‘‘Ketika itu bapa mertua dan adik ipar saya ada bersama kami, tetapi kami tidak melihat sebarang perubahan pada kedua-duanya,’’ katanya.



No comments: