Fespic dapat sokongan
Utusan Malaysia, 9 november 2006
|
KUALA LUMPUR – Dalam usaha untuk mendapatkan sokongan bagi Sukan Timur Jauh dan Pasifik Selatan (FESPIC) KL’06, Majlis Paralimpik Malaysia (MPC) telah menubuhkan Program Kumpulan Sokongan Komuniti KL’06 untuk memastikan sukan itu mendapat sokongan meluas di semua 19 venue.
‘‘Kumpulan ini yang dianggotai sukarelawan sukan, akan bertindak sebagai kumpulan sorak dan akan memastikan semua 19 venue dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti dan program,’’ kata Pemangku Presiden MPC, Datuk Zainal Abu Zarin dalam kenyataan di sini, semalam.
Untuk mewujudkan suasana karnival di semua venue, Zainal berkata penganjur turut menyediakan pelbagai aktiviti di tapak termasuk pameran, pertunjukan mini oleh personaliti popular dan artis.
‘‘Kami mencuba pelbagai pendekatan untuk memeriahkan Sukan ini kerana ini merupakan satu-satunya cara untuk menarik orang ramai dan penonton untuk sama-sama memeriahkan Sukan ini. Kami berharap syarikat dan penaja akan tampil untuk memberi sokongan dan membiayai aktiviti sampingan.
‘‘Kami mengadakan siri ujian di semua venue bagi memastikan semua sistem terutamanya sistem keputusan dan aspek teknikal lain berjalan lancar,’’ katanya.
Memandangkan lebih 100 wakil media dari negara-negara dijangka membuat liputan acara itu, MPC turut melantik Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) untuk mengendalikan Pusat Media Utama di Stadium Putra di Bukit Jalil dan pusat media kecil yang lain.
‘‘Bagi saya, selain daripada kekurangan dana daripada penaja, kami telah melakukan semua yang kami mampu buat untuk memastikan ia akan menjadi Sukan FESPIC yang paling diingati,’’ kata Zainal.
Katanya lebih 1,000 sukarelawan akan terlibat dalam Sukan itu dengan memikul pelbagai tanggungjawab termasuk berurusan dengan atlet, pegawai, Sekretariat Sukan, venue, logistik, teknikal dan jabatan-jabatan.
Sukan Fespic KL’06 di Kuala Lumpur ialah edisi terakhir Sukan Fespic dalam kalendar sukan golongan kurang upaya sebelum Sukan berprestij itu ditukar nama kepada Sukan Paralimpik Asia.
– Bernama
No comments:
Post a Comment