Tuesday, November 07, 2006

72 murid diperiksa psikologi

Berita Harian, 7 november 2006

Oleh Ismail Mat

TANAH MERAH: Seramai 72 murid sekitar Jeli dan Tanah Merah menjalani pemeriksaan perubatan dan psikologi yang pertama kali diadakan di negara ini semalam, bagi mengenal pasti punca mereka gagal membaca dan menulis.

Kumpulan murid daripada 25 sekolah itu dikenal pasti gagal membaca dan menulis berdasarkan ujian pelepasan tahap membaca dan menulis menerusi Program Kelas Intervensi Awal 2M (KIA2M).

Selain 56 murid Tahun Satu, turut menjalani pemeriksaan ialah 16 murid Tahun Dua hingga Lima dari lapan sekolah menghadapi masalah sama.

Pemeriksaan dikendalikan pakar Perubatan, Audiologi, Patologis Pertuturan, Oftalmologi, Psikologi Kanak-Kanak daripada Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) sebelum dirujuk kepada Pegawai Kebajikan Masyarakat.

Ketua Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pelajaran Kelantan, Zahari Daud, berkata pemeriksaan itu bertujuan mengesan dan mengasingkan murid yang layak mengikuti Kelas Pemulihan Khas daripada Berkeperluan Khas.

"KIA2M dijalankan terhadap semua murid Tahun Satu ialah usaha untuk membantu murid yang menghadapi masalah menguasai kemahiran asas membaca dan menulis,” katanya selepas program pengesanan dan pengasingan murid KIA2M Yang Berkeperluan Khas di Sekolah Kebangsaan Sri Suria 3 di sini, semalam.

"Penguasaan asas 2M pada peringkat awal terutama pada Tahun 1 amat penting untuk mengatasi ‘Defisit Akademik’ di kalangan murid sekolah rendah daripada berterusan ke sekolah menengah.

"Untuk memastikan hanya murid yang menghadapi kesukaran belajar akibat masalah persekitaran saja memasuki Program Pemulihan Khas, usaha mengesan dan mengasingkan murid lepasan KIA2M perlu dilakukan," katanya.

Beliau memberitahu demikian kepada pemberita selepas program pengesanan dan pengasingan murid KIA2M Yang Berkeperluan Khas di Sekolah Kebangsaan Sri Suria 3 di sini, semalam.

Zahari berkata, hanya murid tahun satu yang menghadapi kesukaran belajar akibat faktor persekitaran saja layak mengikuti Program Pemulihan Khas apabila memasuki tahun dua.

Katanya, murid Berkeperluan Khas akan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan didaftarkan sebagai kanak-kanak istimewa, seterusnya mengikuti pendidikan yang sesuai dengan keupayaan mereka.

Pegawai Audiologi HUSM, Rozazipah Ahmad, yang terbabit dalam program itu, berkata pihaknya hanya menjalankan saringan dan pemeriksaan awal terhadap keupayaan pendengaran semua murid terbabit.

No comments: