Ibu tunggal tidak diberi bantuan
Berita Harian, 3 november 2006
SYAWAL sedang kita lalui. Ada gembira ada berduka. Ada memberi ada menerima. Kakak saya kematian suami pada September tahun lalu. Kakak saya tidak bekerja kerana ada sedikit kecacatan di mata.
Tempat tinggalnya bersebelahan surau Blok B, Apartmen Idaman, Damansara Damai. Allahyarham suaminya meninggalkan empat orang anak. Anak pertama sedang menuntut tahun akhir di Universiti Teknologi Mara (UiTM), anak kedua menuntut di Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan, anak ketiga belajar di Sekolah Menengah Damansara Damai I dan anak bongsu di Sekolah Kebangsaan Damansara Damai I.
Ketika hayatnya, arwah adalah pesara dan pernah berkhidmat sebagai pemandu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Dengan pencen arwah kira-kira RM500 inilah kakak saya menyara perbelanjaan persekolahan empat anak yang masih menuntut, membayar bil elektrik dan air.
Apa yang menjadi persoalan saya ialah kakak saya pernah menerima bantuan kewangan daripada Pusat Zakat Selangor untuk beberapa bulan saja tetapi ditamatkan. Kategori bagaimana yang benar-benar layak dibantu olah pusat zakat?
Sepanjang Ramadan hingga Syawal, sebagai ibu tunggal, kakak saya tidak menerima sebarang bantuan.
Adakah memang tiada peruntukan langsung untuk diberikan kepada ibu tunggal sempena bulan Syawal?
Sepanjang Ramadan hingga Syawal, anak saudara saya juga tidak menerima sebarang bantuan kewangan.
Saya memohon pihak yang bertanggungjawab supaya turut membantu ibu tunggal dan anak yatim jika mereka layak menerima bantuan.
ADIK IBU TUNGGAL,
Kampung Seri Gombak Indah,
Batu Caves, Selangor.
No comments:
Post a Comment