`Utamakan OKU sertai program’
Berita harian, 7 november 2006
KUANTAN: Semua agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) diminta tidak mengecualikan pembabitan golongan orang kurang upaya (OKU) dalam menganjurkan program kemasyarakatan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Perpaduan Pahang, Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail, berkata pembabitan golongan OKU dalam pelbagai program diyakini mampu mendekatkan dengan masyarakat sekeliling.
Justeru, katanya, golongan OKU tidak berasa mereka terpinggir seterusnya dapat bersama-sama menjayakan program yang dianjurkan yang bertujuan memupuk semangat kemasyarakatan.
"Kita sememangnya memberikan tumpuan dan prihatin dengan nasib yang dialami golongan OKU tetapi sebagai manusia yang normal, semua pihak tidak harus meminggirkan kehadiran mereka.
"Sebaliknya, golongan OKU harus bersama-sama untuk memeriahkan pelbagai program dianjurkan, termasuklah hal berkaitan kecergasan dan bersukan," katanya.
Dr Ahmad Shukri berkata demikian pada Program Tour De Majlis Kecergasan Kebangsaan (NPC) Kuala Lumpur 2006 dan promosi Kejohanan Sukan Orang Kurang Upaya bagi Timur Jauh dan Pasifik Selatan (Sukan Fespic) Kesembilan di Kuala Lumpur, 23 November hingga 1 Disember ini di padang Kompleks Belia dan Sukan Pahang, Kuantan, semalam.
Teks ucapannya dibacakan Ahli Dewan Undangan Negeri Panching, Datuk Abdul Manan Ismail.
Hadir sama Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Pahang, Nik Ismail Nik Wan Haron, Pengarah Majlis Sukan Pahang (MSP), Suhaimi Mohd Yunus dan Penolong Pengarah JBS Pahang, Khairul Shahril Shahbudin.
Dr Ahmad Shukri berkata, aktiviti sukan dan kecergasan bukan saja untuk golongan normal, tetapi pembabitan semua lapisan masyarakat.
No comments:
Post a Comment