Telekom kumpul RM18,000 bantu Muhammad Azuan
Utusan Malaysia, 7 november 2006
KUALA LUMPUR 6 NOV. – Kakitangan Telekom Malaysia Berhad (TM) hari ini mengumpulkan sebanyak RM18,000 untuk membantu Muhammad Azuan Harris Mohd. Alias, 15, yang menghidap ketumbuhan pada mukanya.
Naib Presiden Kanan Sumber Manusia Kumpulan TM, Datuk Abdul Aziz Abu Bakar berkata, ketumbuhan yang amat jarang ditemui itu telah dikesan semenjak umur Azuan dua tahun.
“Dia dikesan menghidap ketumbuhan yang dinamakan Sindrom Proteus sejak kecil dan telah menjalani beberapa pembedahan di dalam dan luar negara untuk membuang ketumbuhan tersebut tetapi tidak berjaya,” katanya dalam satu kenyataan yang diterima di sini hari ini.
Katanya, pembedahan seterusnya dijadualkan akan dilakukan di Women's and Children's Hospital di Australia bulan ini.
“Azuan berlepas ke Adelaide petang ini, semoga rakyat Malaysia sentiasa mendoakan keselamatan dan pembedahan itu berjaya.
“Bagi pihak TM, saya mengucapkan terima kasih kepada penderma yang telah sudi menyalurkan bantuan untuk meringankan beban yang ditanggung keluarga ini,” ujarnya.
Menurut Abdul Aziz, kos pembedahan itu telah disumbangkan oleh Badan Kebajikan Islam TM (BAKIT) dan ia banyak membantu meringankan beban yang ditanggung oleh ayahnya yang bekerja sebagai seorang juruteknik TM.
“BAKIT telah berjaya mengumpul sebanyak RM18,000 daripada sumbangan anggotanya.
“Azuan memerlukan RM16,000 sepanjang tiga bulan berada di Adelaide, jadi dana BAKIT akan menyumbang RM11,000 manakala TM menyumbangkan baki untuk kos pembedahan ini,” jelasnya.
Tambahnya, baki sebanyak RM7,000 yang diperoleh dari dana tersebut akan digunakan untuk rawatan susulan Azuan.
Kata beliau, Penerbangan Malaysia (MAS) juga telah berbesar hati untuk menaja tiket penerbangan Azuan dan kedua-dua ibu bapanya.
“Sumbangan kecil anggota kami kepada Azuan mengukuhkan lagi peranan TM dalam menyumbang kepada kebajikan masyarakat secara keseluruhannya,” katanya.
Oleh itu katanya, aktiviti kebajikan itu merupakan sebahagian kecil daripada amalan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) TM.
“Kami di TM, mengamalkan pendekatan tiga penjuru terhadap inisiatif CSR iaitu sokongan terhadap aktiviti pembangunan masyarakat dan negara, pendidikan dan sukan.
“TM sememangnya prihatin dan sentiasa menggalakkan anggotanya melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti kebajikan serta kerja-kerja sukarela,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment