Guru rayu bantuan tampung kos pembedahan mata
Utusan Malaysia, 7 november 2006
PULAU PINANG 6 Nov. – Seorang guru yang mengalami ketumbuhan di kepala hampir 10 tahun lalu sehingga mengakibatkan mata kanannya tersombol merayu sumbangan orang ramai untuk menampung kos pembedahan penyakitnya yang dianggarkan sekitar RM30,000.
Basharuddin @ Idris Ishak, 40, yang menderita penyakit itu sejak 1997 dinasihatkan oleh doktor pakar agar melakukan segera pembedahan tersebut.
Menurutnya, ketumbuhan itu mula membesar dan menjadi kritikal pada 2003 hingga menyebabkan biji mata kanannya tersombol daripada kedudukan asal.
“Memang sebelum ini ada doktor menasihati saya agar melakukan pembedahan, tetapi saya belum bersedia kerana ia masih kecil dan terkawal.
“Namun pada 2003 keadaan menjadi parah kerana ketumbuhan itu kian membesar hingga menyebabkan pandangan mata kanan saya kini menjadi semakin kabur,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau yang bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Teknik Nibong Tebal berkata, pembedahan tersebut akan dilakukan pada Disember depan di Hospital Swasta Loh Guan Lye di sini.
“Walaupun saya sakit, saya mahu pelajar-pelajar saya mendapat ilmu secukupnya sebelum mereka menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi,” ujarnya
Basharuddin yang tetap tabah dan bersemangat ke sekolah dan mengajar seperti biasa.
Menurutnya, bantuan orang ramai amat diperlukan kerana wang simpanannya tidak mencukupi bagi membiayai kos pembedahan tersebut.
“Saya harap ada yang sudi membantu saya,” katanya.
Mereka yang ingin berbuat demikian boleh menghubungi Basharuddin menerusi talian 019-477 5657 atau menerusi akaun Maybank 102036321811.
No comments:
Post a Comment