Thursday, November 16, 2006

MPM batalkan kutipan SMS

Utusan Malaysia, 16 november 2006

Oleh BAZLI ABDUL RAHMAN

KUALA LUMPUR – Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) membatalkan kutipan derma menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi Sukan Paralimpik Pasifik dan Timur Jauh 2006 (FESPIC KL ‘06) yang dianggap membebankan penderma.

Pemangku Presiden MPM, Datuk Zainal Abu Zarin berkata, antara perkara yang membebankan penderma ialah caj atau bayaran bagi setiap SMS.

Contohnya, kata beliau, apabila bakal penderma menghantar SMS ke talian yang disediakan, SMS itu sudah bersifat berbayar.

‘‘Pengendali sistem itu kemudian membalas SMS tersebut untuk membolehkan bakal penderma memilih jumlah derma yang ingin disumbangkan.

‘‘Setelah nilai derma dipilih individu terlibat sekali lagi menghantar SMS ke talian berkaitan. Jadi, mereka terpaksa membayar dua kali.

‘‘Setelah kami mendapati langkah yang disediakan oleh syarikat pengendali itu membebankan penderma, kita memberhentikan kutipan menerusi sistem tersebut,’’ katanya pada sidang akhbar di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, semalam.

Berikutan itu, kata Zainal, pihaknya akan menggunakan pendekatan lain untuk mengutip dana tambahan sebagai menampung peruntukan RM25 juta yang telah disediakan oleh kerajaan bagi tujuan tersebut.

Zainal yang juga Ketua Pegawai Eksekutif FESPIC KL ‘06 menyatakan, pihaknya masih memerlukan kira-kira RM10 juta lagi untuk menampung perbelanjaan sukan itu.

‘‘Salah satu cara untuk mendapatkan dana tambahan ialah dengan mengadakan Festival Mengumpul Dana Sukan FESPIC KL ‘06 yang dijayakan dengan kerjasama Teamworks International Sdn. Bhd.

‘‘Antara usaha kami ialah mengadakan acara lasak termasuk ‘rapid descent’ yang merupakan acara ‘abseiling’ di Berjaya Times Square mulai 25 hingga 26 Disember ini.

‘‘Acara itu dijangka dapat menarik lebih 100 peserta untuk mengambil bahagian,’’ ujarnya.

Sepanjang FESPIC KL ‘06, lebih 5,000 atlet dari 62 negara Asia dan Oceania akan bertanding dalam temasya tersebut.

Sebanyak 19 jenis sukan dipertandingkan termasuk memanah, olahraga, boccia, badminton, lumba basikal, lawan pedang, goalball, judo, boling padang, power lifting, kapal layar, menembak, renang, pingpong, tenpin boling, bola tampar kerusi roda, bola keranjang kerusi roda dan tenis berkerusi roda.

Pada temasya di Busan, Korea Selatan 2002, Malaysia menduduki tangga ke-18 daripada 42 negara yang bertanding setelah meraih dua pingat emas, 28 perak dan 37 pingat gangsa.

No comments: