Monday, November 06, 2006

Jatuh kasih bersama anak istimewa di Taska Perkim

Utusan Malaysia, 6 november 2006

Oleh ROSMAH DAIN

SABAN hari mereka tabah menghadapi kerenah para penghuni di pusat berkenaan kerana tuntutan kerja yang memerlukan mereka berbuat demikian, lebih-lebih lagi kerana yang dijaga kanak-kanak kurang upaya.

Pun begitu tidak pernah timbul perasaan jijik dan benci melihat kanak-kanak itu, malah hubungan di antara mereka tetap kukuh, malah seakan tidak dapat dipisahkan.

Rasanya tidak ramai yang sanggup bekerja seperti mereka, menyeka air liur, muntah, menyuapkan makanan dan memberikan perhatian yang sepatutnya kepada anak-anak berkenaan.

Hanya mereka yang benar-benar mempunyai perasaan yang ikhlas dan mempunyai semangat kebajikan yang luar biasa dapat berkhidmat untuk anak-anak istimewa.

Ini bukti mereka bekerja bukan mengharapkan upah, tetapi atas dasar tanggungjawab dan kemanusiaan.

Sewajarnya khidmat bakti para pengasuh di Tasputra Perkim yang memberikan penjagaan harian bagi kanak-kanak kurang upaya termasuk mereka yang mengalami kecacatan fizikal dan mental dihargai.

Kebanyakan daripada mereka telah berkhidmat di pusat berkenaan berbelas-belas tahun lamanya, hampir seusia dengan penubuhan pusat penjagaan berkenaan.

Selagi masih mempunyai kudrat, tidak pernah sehari mereka memungkiri janji untuk hadir bekerja di pusat berkenaan. Ia telah menjadi rutin seharian mereka menjaga 52 anak-anak kurang upaya yang berusia di antara dua hingga 22 tahun di pusat itu bersama 15 pengasuh lain.

Kesempatan mengunjungi Tasputra Perkim ketika mengiringi Program Prihatin Masyarakat Yayasan CNI, CNI WaterLife Utusan Malaysia Prihatin sempena sambutan ulang tahun syarikat CNI ke-17 baru-baru ini, memberi peluang kepada penulis berbual dengan beberapa petugasnya untuk menyelami hati mereka yang bekerja di situ.

Pada kunjungan itu, Yayasan CNI telah mendermakan sebuah unit CNI WaterLife berharga RM1,660, kepada pusat jagaan berkenaan.

Bagi Pengasuh, Azmah Ketchee, 48, biarpun telah 17 tahun berkhidmat di pusat penjagaan kanak-kanak itu, namun tidak pernah sekali terdetik di hatinya untuk melakukan sebarang pekerjaan lain.

“Tidak tergamak rasanya meninggalkan anak-anak ini yang telah saya anggap seperti anak-anak saya sendiri,” katanya yang berbangga diterima bekerja di Tasputra Perkim.

Katanya, menjaga anak-anak istimewa seperti ini merupakan satu cabaran yang memerlukan dirinya sentiasa bersabar, prihatin dan bertanggungjawab.

“Saya tidak boleh meninggalkan mereka biarpun pernah bercadang untuk berbuat demikian lama dahulu.

“Kemudian wajah anak-anak ini timbul satu persatu dalam benak saya menyebabkan saya mengambil keputusan untuk terus di sini, biarpun pada waktu itu gaji permulaan yang saya dapat hanya RM200,” katanya sebak.

Mengakui biarpun upah yang diterima agak kecil, namun atas dasar ingin berbuat kebajikan terhadap anak-anak berkenaan memberikan dia rasa benar-benar bahagia atas apa yang dilakukan.

Rakannya Zakiah Wandi, 43, telah 18 tahun mengabdikan diri bersama anak-anak istimewa di pusat jagaan berkenaan.

“Ketika masuk kerja di pusat ini dahulu, saya ingatkan setakat menjaga anak-anak kurang upaya, rupa-rupanya ia lebih daripada itu, tetapi saya bersyukur kerana ia sesuai dan sebati dengan jiwa saya,” katanya.

Mengakui terlalu menyayangi anak-anak di pusat itu, dia sanggup menghabiskan masa di pusat tersebut untuk bersama-sama anak-anak istimewa.

“Untuk menjadi seorang pengasuh di tempat seperti ini, kita memerlukan kesedaran yang amat tinggi dan tidak boleh mengalah dengan keadaan kerana anak-anak ini memerlukan kita untuk meneruskan kehidupan mereka,” katanya.

Dalam pada itu Pathmawathy Muniandy, 43, yang telah berkhidmat di situ hampir 15 tahun mengakui, pada minggu pertama beliau bekerja di pusat tersebut, beliau hilang selera makan apabila teringatkan anak-anak itu.

Namun setelah sebulan bekerja, dia merasakan sukar untuk melepaskan anak-anak yang dijaganya kerana telah ‘jatuh kasih’ dengan mereka.

Begitu juga dengan temannya, Muthammah Kuruppan, 64, yang baru enam tahun bertugas di pusat berkenaan.

“Biarpun saya sudah agak berusia apabila menawarkan diri menjadi pengasuh di pusat jagaan ini, namun saya merasakan ia adalah sesuatu yang perlu saya lakukan demi kebajikan anak-anak ini,” katanya.

Ramlah Ismail, 33, berkata, biarpun pernah menerima tawaran kerja di tempat lain, namun akhirnya dia kembali semula bertugas di pusat jagaan kanak-kanak tersebut.

“Saya datang menawarkan diri untuk bekerja di sini atas galakan ayah. Sebelum ini sudah banyak pekerjaan saya lakukan dan tidak pernah tetap, tetapi akhirnya saya memilih untuk berada di sini.

“Hajat di hati sebenarnya untuk membantu anak-anak istimewa ini dan saya berasa gembira dapat berada disisi mereka,” katanya yang telah berkhidmat di Tasputra Perkim sejak 17 tahun lalu.

Pandangan yang sama turut dikongsi oleh Penyelia kepada pengasuh-pengasuh di pusat jagaan berkenaan, Grace Johnson, 55, yang telah 18 tahun berkhidmat di pusat itu.

Nyatalah, kasih sayang yang tidak berbelah bahagi menjadi pengikat kuat kasih sayang antara para pengasuh di pusat jagaan itu dengan anak-anak istimewa ini.

Tiada tergambar di jiwa betapa murninya hati mereka yang sanggup bersusah payah, menahan segala cabaran dan rintangan demi mengasuh anak-anak istimewa yang paling memerlukan perhatian.

Pengerusi Tasputra Perkim, Elahe Norman berkata, beliau sentiasa bersyukur memperoleh para pengasuh yang bersedia membantu, memberikan sumbangan, mengumpulkan derma dan bekerja tanpa mengira masa untuk kepentingan pusat jagaan tersebut.

“Mereka semuanya mempunyai hati yang suci ikhlas, kerana sebenarnya hanya insan-insan yang mempunyai perasaan ini sahaja yang mampu melakukan kerja-kerja begini.

“Di sini bukan membuat kerja senang. Mereka terpaksa menghadapi banyak cabaran kerana anak-anak istimewa memerlukan pengawasan yang rapi dan penjagaan yang sempurna,” katanya.

Namun begitu apa yang dilahirkan daripada kerja-kerja seperti ini ialah semangat tulus dan ikhlas yang tergambar daripada setiap para pengasuh.

“Mereka sebenarnya sudah lama bekerja dan mempunyai kemahiran yang diperlukan dalam sesi terapi, psikologi dan pembangunan minda kerana mereka semua didedahkan dari semasa ke semasa terhadap pelbagai kursus dan seminar di dalam dan luar negara yang memberikan mereka peluang menimba ilmu yang diperlukan,” katanya.

Tasputra Perkim boleh dihubungi di talian 03-2094 6098.

No comments: