Atlet OKU harap sokongan tempatan
Utusan Malaysia, 7 november 2006
KUALA LUMPUR – Atlet orang kurang upaya (OKU) dalam kontinjen Wira Negara mengharapkan sokongan padu peminat tempatan sepanjang Sukan Kurang Upaya Timur Jauh dan Pasifik Selatan (Fespic) kesembilan di sini (KL ‘06) mulai 25 November hingga 1 Disember ini.
Pemangku Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Zainal Abu Zarin berkata, sokongan itu mampu menjadi sumber inspirasi kontinjen seramai 288 atlet itu dalam memburu sasaran 10 pingat emas daripada 19 acara yang mereka sertai.
Katanya, “skuad Wira Negara tidak minta banyak, cuma mereka mengharapkan orang ramai supaya datang memberi sokongan padu di setiap gelanggang pertandingan.
“Tiada yang lebih berharga buat atlet OKU daripada mengetahui rakyat menghargai dan memberi sokongan padu terhadap perjuangan mereka,’’ katanya menerusi kenyataan akhbar di sini semalam.
Zainal berkata, 10 emas yang disasarkan itu ialah dalam acara olahraga, memanah, badminton, renang, angkat berat, boling padang, boling dan menembak.
Pada Fespic kelapan di Busan, Korea Selatan, empat tahun lalu, Malaysia pulang dengan 65 pingat daripada 12 acara yang disertainya dan menduduki tempat ke-18 keseluruhan.
Turut dipertandingkan dalam KL ’06 ialah boccia, lumba basikal, lawan pedang, goalball, judo, pelayaran, bola sepak, ping pong, bola tampar duduk, bola keranjang duduk dan tenis kerusi roda.
Katanya, antara atlet berpengalaman yang berpotensi besar meraih pingat emas ialah Mohd. Salam Sidek (memanah), Lee Seng Chow (lontar peluru), Koh Lee Peng (renang 100 meter dan 50 meter), Ras Adiba Radzi (menembak) dan P. Mariappan (angkat berat).
“Malaysia juga menyertai acara memanah (10 atlet), olahraga (61 atlet), badminton (24 atlet), boling padang (28 atlie), angkat berat (12 atlet), renang 41 atlet) dan tenpin boling (19 atlet),’’ katanya.
Menurut Zainal, saingan pada kali ini datang dari negara seperti China, Korea Selatan, Thailand, Australia, Taiwan dan Hong Kong.
“Kita yakin mampu memenuhi sasaran itu kerana kita sudah bersedia dan atlet Wira Negara amat bersemangat untuk memberi sesuatu kepada negara pada temasya di tempat sendiri ini,” katanya.
Malah jelasnya, ketua kontinjen yang juga seorang tokoh akademik dan ekonomi, Prof. Datuk Dr. Ismail Salleh turut yakin sasaran itu mampu dicapai sekiranya atlet Wira Negara mempamerkan disiplin yang tinggi dan menampilkan persembahan terbaik.
No comments:
Post a Comment