Bapa pelajar saman kementerian
Berita Harian, 3 november 2006
KUALA LUMPUR: Bapa pelajar perempuan yang menderita kerosakan otak dan lumpuh selepas hampir lemas ketika menyertai rombongan sekolahnya dua tahun lalu, memfailkan saman kecuaian terhadap Kementerian Pelajaran dan lima pihak lain, semalam.
Rosly Mohd Yusof, 53, yang memfailkan saman itu bagi pihak anaknya, Siti Zanatul Nabilah, 19, mendakwa guru Sekolah Menengah Teknik Gombak di sini, gagal menjaga keselamatan anaknya ketika dia dan rakan mandi di kawasan air terjun Sungai Pandan, Panching, Kuantan, Pahang.
Disebabkan kemalangan itu, Siti Zanatul yang ketika itu berusia 17 tahun tidak sempat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan cita-citanya untuk menjadi jurutera Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga tidak kesampaian.
Rosly ditemani isterinya, Siti Zuriah Omar ketika memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, semalam, melalui peguamnya Mohd Fadzil Maamor dan Suhaila Mohd Daud.
Rosly dan Siti Zanatul yang bertindak sebagai plaintif, turut menamakan tiga guru yang mengikuti rombongan itu, Zamri Hassan, Jamiyah Ismail dan Khaidir Nawi, pengetua serta sekolah itu sebagai defendan.
Dalam penyataan tuntutan, plaintif mendakwa pada 9 Januari 2004, Siti Zanatul bersama rakan kelas Tingkatan Lima sekolah itu menyertai rombongan ke Tasik Chini, Kuantan, bagi program Amali Kejuruteraan Awam, anjuran sekolah dan diselia tiga guru.
Bagaimanapun, Rosly mendakwa, pihak sekolah dan guru yang menyertai rombongan itu tidak memberikan sebarang surat kebenaran kepadanya bagi membolehkan anaknya menyertai aktiviti berkenaan.
Pada 12 Januari 2004, ketika dalam perjalanan pulang dari Tasik Chini, rombongan itu berhenti di kawasan air terjun Sungai Pandan dan pelajar dibenarkan mandi oleh guru mereka.
Ketika mandi di situ, Siti Zanatul bersama empat empat rakan lain tenggelam dan mengalami kesukaran bernafas.
Selepas diselamatkan, mereka dibawa ke hospital oleh seorang guru pengiring.
Berikutan kejadian itu, Siti Zanatul kini hanya terlantar di atas katil kerana mengalami kerosakan otak akibat kekurangan oksigen ketika lemas dan lumpuh serta terpaksa meninggalkan rutin hariannya.
No comments:
Post a Comment