Thursday, November 30, 2006

Ekspresi jemari penghargaan kepada pelajar OKU

Utusan Malaysia, 30 november 2006


Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH

ASMAHAN GHAFARUDIN (tengah) menunjukkan piala dan sijil yang dimenangi bersama ibu bapanya, Wan Sham Wahidin dan Ghafarudin Osman.

Kesedaran untuk menimba ilmu pengetahuan tidak terbatas kepada golongan normal sahaja, bahkan insan istimewa seperti golongan orang kurang upaya (OKU) jugal memerlukan ilmu untuk kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Alam persekolahan adalah waktu yang paling penting bagi proses pembentukan kesedaran, membuat perancangan serta membuat keputusan berhubung dengan pendidikan, kehidupan sosial serta kerjaya pada masa hadapan.

Mungkin ramai yang sudah mengetahui tentang kewujudan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV), Shah Alam, Selangor, yang merupakan satu daripada empat buah Sekolah Menengah Pendidikan Khas di bawah Pentadbiran Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia.

Ditubuhkan pada Januari 1987, ia memberi peluang kepada pelajar istimewa yang kurang daya pendengaran untuk bersaing dan seiring dengan insan normal lain.

Dalam proses perkembangan kerjaya, tidak dinafikan bahawa wujud tekanan dan halangan yang mungkin dihadapi oleh mereka, tetapi wujud juga pelbagai peluang pekerjaan dan kemudahan khas untuk golongan istimewa ini.

Secara umumnya, pelajar juga perlu peka dan mengetahui tentang bidang latihan dan pekerjaan yang ada di persekitaran mereka. Mereka juga perlu memusatkan diri dengan bidang kerjaya yang sesuai dengan minat, keupayaan dan pencapaian.

Begitu juga impian yang ingin dilaksanakan oleh pengetua, tenaga pengajar dan seluruh kakitangan SMPKV, Shah Alam.

Pada awal penubuhannya, SMPKV hanya mempunyai 27 pelajar dan 13 guru. Pada tahun ini, enrolmen pelajarnya ialah seramai 247 orang iaitu 152 lelaki dan 95 perempuan serta 58 orang guru.

Peningkatan bilangan murid setiap tahun menunjukkan ibu bapa kini semakin peka terhadap keperluan pendidikan anak-anak yang istimewa.

Kecemerlangan

Penulis berkesempatan bertemu guru, pelajar-pelajar istimewa yang cemerlang bersama ibu bapa mereka pada majlis penyampaian hadiah, Ekspresi Jemari 2006.

Seunik namanya, Ekspresi Jemari 2006 bertujuan memberi penghargaan kepada pelajar-pelajar yang telah menunjukkan kecemerlangan, mengasah bakat dan potensi mereka dalam bidang yang diceburi, di samping mendorong kreativiti dan inovasi pelajar dalam mereka cipta sesuatu rekaan yang baru.

Program tahunan ini telah dirasmikan oleh Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pelajaran Negeri Selangor, Mokhtar Jaafar. Hadir sama, Pengetua SMPKV, Samsudin Md. Noor.

Kehadiran ibu bapa pelajar yang datang dari seluruh negara turut memeriahkan program, sekaligusa dijadikan pembakar semangat ke arah mencapai kecemerlangan pada masa akan datang.

Bagi Mohd Shairi Mahasan, 19, sokongan ibu bapa, keluarga dan guru-guru telah memberi kekuatan untuk dia meneruskan kehidupan dan berjaya dalam pelajaran walaupun mengalami masalah pendengaran.

Mohd Shairi mendapat tempat pertama dalam Kejohanan Tangan Emas untuk kategori memasak.

“Saya memang minat memasak sejak di rumah lagi. Tentunya saya gembira kerana mendapat hadiah ini dan ia menjadi pendorong saya untuk belajar lagi.

“Selepas ini, saya akan mengambil borang politeknik untuk melanjutkan pelajaran,” katanya yang dialih bahasakan menggunakan bahasa isyarat oleh gurunya, Norehan Ali.

Menurut Norehan, Mohd. Shairi mempunyai motivasi sendiri yang tinggi dan minat dalam bidang masakan.

“Walaupun dalam akademik dia kurang sedikit tetapi kemahiran memasak yang dimilikinya tidak menyukarkannya dia menyiapkan tugasan memasak yang diberi.

“Dia seorang pelajar yang mudah belajar dan saya doakan cita-citanya untuk membuka kedai roti satu hari nanti tercapai,” jelas Norehan.

Sementara itu, ibu bapa Mohd Shairi, Marina Abdullah, 40, dan Mahasan Saud, 46, cukup berbangga dengan kejayaan yang diperoleh oleh anaknya.

“Tiada apa yang kami malukan, malah kami bersyukur atas kemahiran yang ada padanya.

“Walaupun dia tidak dapat mendengar, tetapi dia mempunyai kelebihan dari segi kemahiran memasak.

“Di rumah, kami sekeluarga tidak menghadapi masalah komunikasi dengannya. Semua ahli keluarga mahir menggunakan bahasa isyarat kerana kakaknya juga mempunyai masalah pendengaran.

“Selepas ini, kami akan sentiasa memberi galakan dan motivasi terhadap apa yang dicita-citanya,” jelas Mahasan yang datang dari Kelantan untuk menyaksikan anaknya menerima hadiah.

Seorang lagi pelajar istimewa yang kurang daya pendengaran, Asmahan Ghafarudin, 19, turut berkongsi kegembiraan dengan ibu bapanya, Wan Sham Wahidin, 53, dan Ghafarudin Osman, 56.

Asmahan yang mendapat tempat pertama untuk Tangan Emas Pendandan Rambut Muda memberitahu, dia ingin bekerja setelah tamat dari SMPKV nanti.

Menurut guru kelas Asmahan, Nawati Daud, 30, walaupun pada mulanya Asmahan mempunyai masalah dalam pembelajaran, tetapi atas sokongan keluarga dan usahanya sendiri, Asmahan sikit demi sedikit boleh menerima pelajaran dan kemahiran yang dididik.

“Asmahan mempunyai potensi yang baik sebagai pendandan rambut.

“Walaupun lambat, Asmahan tetap berusaha untuk melakukan sesuatu dengan baik. Sikap gigihnya ini boleh dijadikan modal untuk dia berjaya kelak,” katanya.

Bagi Wan Sham, dia memberi kebebasan kepada satu-satunya anak perempuan yang bongsu ini untuk membuat keputusan sendiri dan menentukan masa depannya nanti.

“Kami juga berterima kasih kepada guru-guru SMPKV yang tidak jemu melayan karenah anak kami mahupun pelajar yang lain.

“Tanpa bantuan mereka, sudah pasti anak kami tidak mampu melakukannya,” katanya.

Sebagai bapa, Ghafarudin turut menyokong keputusan Asmahan dan yakin anak perempuannya itu boleh berdikari.

“Sebenarnya anak-anak yang kurang deria pendengaran ini sama seperti kanak-kanak yang sempurna.

“Walaupun kurang satu deria, Allah telah memberi mereka ini kelebihan empat deria yang lain.

“Kami bersyukur, abang- abang Asmahan turut memberi sokongan dan bersikap positif. Buat Asmahan, kami doakan dia agar terus berjaya,” jelasnya.

Ning Baizura rai sukan insan kurang upaya

Utusan Malaysia, 30 november 2006

Beberapa penyanyi terkenal termasuk Ning Baizura dan Kelvin Lau akan tampil di pentas persembahan majlis penutup Kejohanan Persekutuan Sukan Kurang Upaya Timur Jauh dan Pasifik Selatan (Fespic) 2006 di Stadium Bolasepak Cheras, Kuala Lumpur, esok.

Majlis anjuran Kementerian Belia dan Sukan Malaysia itu bermula pukul 6 petang hingga 12 malam.

Acara sukan untuk para insan kurang upaya ini telah bermula sejak Sabtu lalu. Majlis perasmiannya telah berlangsung dengan jayanya di Stadium Bolasepak Cheras, Kuala Lumpur.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah merasmikan majlis tersebut yang dihadiri lebih 20,000 orang kurang upaya.

Seramai 410 atlet negara terdiri daripada orang-orang kurang upaya telah tampil menjayakan acara sukan istimewa sepanjang minggu ini termasuk selebriti, Ras Adiba Radzi.

Selain Malaysia, antara negara-negara lain yang turut mewakilkan atlet masing-masing ialah China, Hong Kong, Indonesia, Thailand, Jepun, Korea, Australia, dan Pakistan.

Menariknya pada majlis perasmian tersebut, D`Media & Event Entertainment telah membawa seramai 60 pelajar-pelajar kurang upaya dari Sekolah Menengah Datuk Patinggi Haji Abdul Gapor, Stamping, Kuching, Sarawak untuk tampil mengadakan persembahan tarian kebudayaan.

Sebelum itu, khalayak telah dihiburkan dengan nyanyian lagu tema oleh Liza Hanim. Sementara Too Phat dan Khatijah Ibrahim menghiburkan khalayak menerusi lagu-lagu popular mereka antaranya One Moment In Time, Doa Buat Kekasih, Alhamdulillah dan Malaysia Truly Asia.

Wednesday, November 29, 2006

Ibu tunggal lumpuh rayu bantuan

Berita Harian, 29 november 2006

KUANTAN: Seorang ibu tunggal yang lumpuh dan cacat pendengaran, Mek Long Abdullah, 65, dari Kampung Batu Hitam, dekat sini, merayu bantuan bulanan dari pihak bertanggungjawab untuk menyara hidupnya kerana dia mendakwa belum menerima bantuan kebajikan ketika ini.

Dia yang tinggal bersama anaknya Mohd Khairy Ali, 26, di sebuah rumah setinggan di kampung itu, hanya bergantung hidup dari pendapatan Khairy RM300 sebulan, sebagai buruh kilang tepung di Pelabuhan Kuantan, sejak suaminya meninggal dunia 15 tahun lalu.

Khairy berkata, ibunya tidak pernah mendapat bantuan tetap secara bulanan seperti yang dinikmati kebanyakan Orang Kurang Upaya (OKU) lain di negeri ini sedangkan ibunya sangat uzur dan hanya berbaring saja setiap hari.

"Ibu juga perlu menjalani rawatan susulan setiap bulan di pusat kesihatan di Beserah untuk merawat kakinya yang pernah terjatuh tahun lalu.

"Jika saya keluar bekerja, ibu akan tinggal bersendirian di rumah, manakala saya akan meminta bantuan jiran berhampiran menjenguknya sepanjang saya tiada di rumah," katanya di sini, semalam.

Khairy berkata, selain masalah kemiskinan menyara hidup, mereka juga mengharapkan bantuan rumah kerana rumah yang didiami ketika ini dibina di atas tanah milik jiran.

"Sudah lebih 50 tahun keluarga kami menumpang di tanah ini atas ihsan jiran kerana arwah ayah gagal mendapatkan bantuan tanah menyebabkan kami terus tinggal menumpang di tanah jiran," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beserah, Datuk Faisal Abdullah, berkata permohonan bantuan bulanan RM450 untuk Mek Long akan dikemukakan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Mereka juga akan dipertimbangkan untuk wang zakat dari Majlis Agama Islam Pahang (Maip) memandangkan keluarga itu hidup daif di samping bantuan lain untuk ibu tunggal.

"Berhubung masalah tanah, perkara itu akan dikemukakan kepada Menteri Besar Pahang, bagi mempertimbangkan tapak rumah manakala rumah akan dibina secara gotong-royong.

"Mek Long tidak layak ditempatkan di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) kerana dia masih mempunyai anak," katanya.

Penuntut UKM tangguh pengajian untuk sara keluarga

Berita harian, 29 november 2006


GUA MUSANG: Seorang penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terpaksa berkorban, menangguhkan pengajian semata-mata untuk bekerja menyara keluarga serta mengubati bapa dan adik perempuannya yang sakit.

Anak sulung kepada lapan beradik, Zaini Mat Zain, 25, berkata dia tiada pilihan kerana tidak mahu menyusahkan ibunya, Siti Hawa Yusof, 43, apabila keluarga mereka ditimpa nasib malang itu.

Beliau berkata, bapanya, Mat Zain Mamat, 49, pula mengalami masalah penglihatan kabur sehingga sukar melakukan sebarang pekerjaan kerana tahap kelihatan yang terhad.

"Adik saya, Noruhidayat, 17, yang sepatutnya menduduki peperiksaan SPM tahun ini, diserang penyakit misteri sejak Mei lalu apabila hilang kemampuan mengurus diri secara tiba-tiba.

"Sejak Mei lalu, secara tiba-tiba dia tidak boleh bercakap dan berjalan, makan pun terpaksa disuap. Dia sudah dirujuk ke hospital, tetapi doktor kata dia tiada sebarang penyakit. Itu yang membuatkan kami lebih risau.

"Sedih melihat keadaan dirinya ketika ini, sedangkan selama ini dia juga anak harapan keluarga kerana pencapaian baik dalam persekolahan sejak sekolah rendah," katanya

Beliau memberitahu demikian ketika ditemui di rumah keluarganya dekat Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Paloh Satu di sini, baru-baru ini.

Zaini berkata, enam lagi adiknya masih lagi di bangku sekolah menyebabkan ibu mereka terpaksa bekerja sendirian di ladang bagi menyara keluarga.

"Keadaan itu menyebabkan, saya tiada pilihan selain menangguh pengajian di UKM, memang sayang peluang melanjutkan pelajaran yang menjadi cita-cita selama ini, tetapi kesihatan keluarga penting.

"Memanglah berat untuk saya menangguhkan pengajian, tetapi saya tidak rela melihat adik dan bapa sakit terlantar sakit tanpa sebarang usaha membantu mereka," katanya.

Beliau berkata, ketika ini dia bekerja sebagai operator pengeluaran kilang di Selangor dengan pendapatan kira-kira RM600 sebulan, membolehkan dia meringankan sedikit beban ibunya menyara keluarga sambil mengubati adik dan ayahnya.

Katanya, dia kini merayu kepada mana-mana pihak yang bersimpati untuk tampil membantu meringankan keluarganya dalam usaha menyembuhkan masa kesihatan adik serta penglihatan bapanya.

Kesal sambutan Fespic hambar

Berita harian, 29 november 2006

SAYA dapati sambutan orang ramai terhadap Sukan Orang Kurang Upaya Timur Jauh dan Pasifik Selatan (Fespic) 2006 begitu hambar. Sambutan dan sokongan masyarakat Malaysia yang kononnya terkenal dengan sifat prihatin terhadap Orang Kurang Upaya (OKU) ternyata meleset berdasarkan sambutan dingin dalam setiap acara yang dipertandingkan terutama acara olahraga yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Berdasarkan publisiti yang diberikan oleh media sebelum kejohanan bermula, saya jangka Sukan Fespic kesembilan kali ini sudah tentu akan menerima sambutan hebat penonton tempatan.

Tetapi apa yang berlaku selepas hari keempat, hampir kesemua acara mendapat sambutan amat dingin dan memalukan.

Saya berpendapat rekod kejohanan atau bintang sukan terkenal tidak harus menjadi taruhan, sebaliknya semangat waja, kegigihan dan keupayaan mengatasi rintangan fizikal diri sepatutnya menjadi contoh dan teladan buat kita warga yang sempurna tubuh badan.

Saya juga tertanya-tanya ke manakah menghilangnya sokongan pelajar sekolah yang sedang bercuti. Adakah kesemuanya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)? Ke manakah beribu-ribu bekas pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dikatakan semakin patriotik?

Mengapakah Putera Umno tidak mengerahkan beratus-ratus ribu ahlinya menyaksikan acara sukan ini? Adakah semua terbabit dalam usaha menjinakkan mat rempit?



MAT DERIH,

Kampung Gajah, Perak.

Renang sumbang dua emas

Utusan Malaysia, 29 november 2006

KUALA LUMPUR – Kolam renang terus menjadi antara penyumbang emas Malaysia pada Sukan Fespic ke-9 apabila dua lagi pingat diraih di Pusat Akuatik, Kompleks Sukan Negara, semalam.

Dua pingat emas itu diperoleh menerusi Stanley Jepit dan Julius Jaranding, masing-masing dalam acara 100m kategori SB13 dan 100m kategori SB6.

Bagi Stanley, kemenangan itu dirasakan begitu manis baginya kerana sebelum itu dia mengalami kecederaan otot ketika bertanding dalam acara 50m.

Berbekalkan semangat ‘Malaysia Boleh’, Stanley melupakan kesakitan dan akhirnya berjaya memenangi acara itu dengan mencatat masa 1:50:81s.

‘‘Ia merupakan kegemaran saya. Namun, kecederaan yang dialami sedikit sebanyak menganggu tumpuan.

‘‘Saya juga berpuas hati kerana catatan masa saya hari ini (semalam) turut memperbaharui catatan peribadi iaitu 1:59:00s,’’ jelasnya.

Katanya, latihan intensif selama dua bulan di Kuala Lumpur banyak membantu dari segi kepantasan berenang.

Sementara itu, Julius Jaranding turut gembira kerana selain meraih emas, dia turut berjaya memperbaharui catatan peribadinya.

Semalam, dia telah mencatat masa 1:26:73s, berbanding catatan masa sebelumnya, 1:29:00s.

Zainal dipilih presiden Jawatankuasa Paralimpik Asia

Utusan Malaysia, 29 november 2006

ZAINAL ABU ZARIN.

KUALA LUMPUR – Pemangku Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Datuk Zainal Abu Zarin telah dipilih sebagai presiden Jawatankuasa Paralimpik Asia (APC), yang baru dibentuk, pada perhimpunan agung pertama APC itu di sini semalam.

Zainal, yang mendapat 21 undi, menewaskan Dr. Chang-il Park dari Korea Selatan yang mendapat 15 undi pada perhimpunan agung itu.

APC ditubuhkan bagi menggantikan Persekutuan Fespic dan Majlis Paralimpik Asia, yang dibubarkan secara rasmi semalam.

Hanya Zainal, 65, dan Dr. Chang yang bertanding jawatan presiden.

Zainal berkata kemenangan dalam pemilihan itu merupakan satu penghormatan kepadanya dan juga Malaysia

Ujarnya, beliau gembira kerana keseluruhan komuniti Asia kini telah bergabung sebagai satu entiti.

“Saya gembira dipilih. Saya rasa ia satu lagi koleksi kejayaan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, bahawa jawatankuasa yang baru dibentuk itu akan digerakkan dengan moto mudah iaitu “Kekuatan Di Sebalik Kepercayaan”.

Sambil menjanjikan untuk membawa sukan paralimpik di Asia ke tahap yang lebih tinggi, Zainal berkata, keutamaan beliau sekarang adalah untuk mengubah persepsi dan sikap orang ramai terhadap orang kurang upaya.

Zainal berkata, beliau juga akan mengetengahkan Malaysia sebagai contoh pusat kecemerlangan program paralimpik kepada Asia sebagai sebahagian usaha terbaru APC untuk terus meningkatkan tahap sukan itu di benua Asia.

Turut hadir pada sidang akhbar itu, Presiden Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) Sir Phillip Craven mengucapkan tahniah kepada Zainal berikutan pemilihannya untuk memimpin APC dan melahirkan rasa yakin terhadap kepimpinan beliau.

Dua lagi calon Malaysia pada pemilihan APC itu ialah S. Radhakrishnan dan Lee Sheng Chow tetapi gagal dalam usaha mereka.

Radhakrishnan, Pengurus Besar Majlis Paralimpik Malaysia, bertanding merebut jawatan pengerusi jawatankuasa sukan dan pembangunan manakala Lee bertanding bagi jawatan Wakil Atlet dalam APC.

Tuesday, November 28, 2006

Pertunjukan fesyen wanita buta

Berita Harian, 28 november 2006


AHMEDABAD: Sekumpulan model buta mengadakan pertunjukan fesyen yang disifatkan penganjur sebagai yang pertama kali seumpamanya diadakan di India bertujuan mengikis tanggapan stereotaip masyarakat terhadap golongan cacat.

Dengan berpakaian India lebih 30 wanita muda berjalan tanpa bantuan pada satu pertunjukan di Ahmedabad, ibu negeri Gujerat.

“Saya tidak nampak bagaimana diri saya dengan berpakaian baru ini tetapi saya gembira,” kata seorang peserta, Ekta, 23.

“Saya pernah mendengar mengenai pertunjukan fesyen dan pakaian pereka melalui televisyen tetapi tidak pernah mengimpikan berjalan seperti yang dilakukan model,” katanya yang mengenakan sari hijau yang dihiasi labuci.

Penganjur berkata, pertunjukan fesyen berkenaan yang menarik kira-kira 200 penonton adalah yang pertama kali pernah diadakan di India, negara yang mempunyai 22 juta penduduk cacat yang berhadapan dengan diskriminasi dan tidak mendapat hak yang saksama.

“Orang buta tidak dikira sebahagian daripada masyarakat menyebabkan mereka bosan dan terasing daripada kehidupan glamour dan dunia yang menarik,” kata Mukta Dagli dari Pragya Chaksu Sanstha, badan kebajikan bagi mereka yang hilang penglihatan.

“Kami ingin membawa masyarakat buta keluar daripada kehidupan gelap mereka. Sekarang dunia melihat mereka.”

Wanita muda berkenaan mengenakan sendiri pakaian dan solekan mereka dan diberikan latihan selama seminggu bagaimana cara untuk catwalk dan bergaya dengan bantuan koreografer.

“Kami muda, cantik dan harap akan melakukan lebih banyak pertunjukan untuk mendapat keyakinan melawan kehidupan gelap kami,” kata Shweta Kothari, 25. – Reuters


Ganjaran RM80,000 pemenang emas Fespic

Utusan Malaysia, 28 november 2006

KUALA LUMPUR – Pemenang pingat emas Malaysia pada Sukan Fespic KL’06 berpeluang menerima ganjaran RM80,000 di bawah skim insentif kerajaan, demikian janji Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman Said di sini semalam.

Azalina yang ditemui di Stadium Nasional di Bukit Jalil bagi menyaksikan acara olahraga Sukan Fespic berkata, atlet kurang upaya akan menerima ganjaran yang sama seperti pemenang emas sukan orang normal.

“Tiada diskriminasi kerana kerajaan telah memutuskan bahawa Sukan Fespic mempunyai taraf yang sama seperti Sukan Asia dan kerana itu semua insentif di bawah Sukan Asia akan digunapakai.

“Tiada kekeliruan tentang insentif, melainkan perlu ada sekurang-kurangnya empat peserta bagi acara individu dan empat negara bagi acara berpasukan untuk layak menerima insentif itu.

“Ini kerana atlet kurang upaya telah membanggakan negara. Mereka layak menerima ganjaran itu,” kata Azalina.

Beliau turut menyampaikan pingat kepada atlet yang berasal dari Kedah Nursyafawati Arshukri, yang menang acara 400m wanita kategori T12 (Cacat Penglihatan).

Pingat semalam merupakan yang kedua bagi Nursyafawati pada temasya sukan ini setelah memenangi acara lompat jauh dalam kategori yang sama semalam.

Di bawah skim Insentif Majlis Sukan Negara (MSN) bagi Sukan Asia, bagi acara individu, pingat emas bernilai RM80,000, perak RM40,000 dan gangsa RM20,000.

Bagi acara berpasukan pula, pasukan yang lebih lima anggota, pemenang emas akan menerima RM120,000, perak (RM40,000) dan gangsa RM20,000 manakala bagi pasukan kurang daripada lima anggota, emas bernilai RM15,000 bagi setiap anggota pasukan, RM8,000 bagi perak dan RM4,000 gangsa.

Azalina juga memuji kontinjen Malaysia kerana telah memenangi 15 pingat emas sehingga kini mengatasi sasaran awal 10 emas.

“Ia membuktikan (emas yang dimenangi) bahawa usaha MSN menerapkan sains sukan bagi membantu atlet kurang upaya dalam latihan dan persediaan mereka, membuahkan hasil.

“MSN telah melabur RM6 juta untuk menyediakan atlet bagi sukan ini dan ia juga antara rancangan jangka panjang kementerian untuk membantu meningkatkan standard atlet kurang upaya Malaysia,” katanya.

– Bernama

Malaysia lepasi sasaran 10 emas

Utusan Malaysia, 28 november 2006

PERENANG Malaysia, Julius Jaranding dan Fraidden Dawan (kanan) menayangkan pingat emas dan perak mereka dalam acara 400m gaya bebas Fespic KL ‘06 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, semalam. – Bernama.

KUALA LUMPUR – Malaysia mempamerkan aksi di luar dugaan apabila berjaya melepasi sasaran awal 10 pingat emas dengan mengutip 17 emas ketika temasya Sukan Fespic KL’06 masuk hari ketiga, semalam.

Pingat-pingat emas yang disumbangkan oleh atlet Malaysia adalah menerusi acara olahraga, boling padang, angkat berat dan renang.

Boling padang menyumbang dua pingat emas dalam acara berpasangan bagi kategori B6 wanita dan lelaki menerusi Rattna Aizah Mohd Idris/Suraya Hamzani dan Shahidon Hanafiah/Murat Man.

Setakat ini, boling padang menyumbang enam pingat emas apabila satu pingat emas diperoleh pada hari pembukaan manakala tiga lagi pada hari kelmarin.

Bagi Malaysia, ia hari yang boleh dikatakan amat baik kerana berjaya melepasi sasaran 10 pingat emas, menamatkan saingan hari ini dengan 17 emas dengan masih ada empat hari lagi untuk menambah pungutan pingat.

Pencapaian Malaysia bagaimanapun tidak mampu menyaingi kehebatan China yang terus unggul mendominasi temasya ini untuk muncul juara buat kali keenam berturut-turut.

Namun begitu pencapaian atlet Malaysia berjaya melepasi sasaran awal 10 pingat emas yang disasarkan sebelum temasya berlangsung apabila meraih 17 pingat emas untuk berada di tempat keempat di belakang China, Thailand dan Iran.

Penguasaan China berterusan untuk dinobatkan selaku juara kali ini apabila mereka meraih 84 emas, 29 perak dan 13 gangsa meninggalkan saingan terdekat Thailand di tempat kedua dengan perbezaan 63 emas.

Thailand kekal di tangga kedua dengan mengumpul 21 emas, 16 perak dan 28 pingat gangsa.

Iran di tempat ketiga dengan 19 emas, 19 perak dan lapan gangsa manakala tuan rumah Malaysia keempat dengan 17 emas, 19 perak dan 25 gangsa.

Sementara itu, di sebalik kecemerlangan atlet China, pentas saingan menyaksikan dua rekod dunia dicipta dan satu catatan menyamai rekod ketika China muncul sebagai pendahulu yang sukar digugat kedudukannya oleh 46 negara lain.

Atlet China Zeng Baozhu memecahkan rekod dunia yang dipegangnya dalam acara melempar cakera kategori F42 Ambulant dengan jarak 31.60m bagi memperbaiki jarak 31.19m yang dilakukan di Sukan Paralimpik Athens 2004.

Ketika beliau menguasai acara itu di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, rakan senegara Li Rui Fang menyamai rekod dunia dalam acara powerlifting dengan melakukan angkatan seberat 160kg di Stadium Badminton Kuala Lumpur di Cheras di sini.

Selain itu, atlet negara jiran Krunggget Pichet dari Thailand pula melakar nama dalam buku rekod dunia dengan catatan sensasi 14.76s dalam larian pecut 100m kerusi roda.

Monday, November 27, 2006

Olahraga sudah penuhi lebih separuh sasaran emas

Berita harian, 27 november 2006

MOHD Hisham Yusoff membuktikan penyertaannya ke Sukan Fespic bukannya sekadar memenuhi kuota malah berjaya meraih sebutir emas menerusi acara 100 meter di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Dia yang mengalami kecacatan di bahagian kaki, mencatatkan masa 15.80 saat untuk menewaskan atlit Australia, Buttimore Edward yang mencatat 21.21s dan seorang lagi peserta negara, Mazlan S Pubalan yang melakukan 31.85s untuk gangsa.

Kecemerlangan wira negara dalam acara olahraga menyaksikan mereka sudah memenuhi lebih separuh daripada sasaran emas yang ditetapkan Majlis Paralimpik Malaysia dengan meraih lima pingat emas pada hari Kedua Sukan OKU Timur Jauh dan Selatan (Fespic) 2006, semalam.

Turut menyumbang emas adalah Nursyafawati Arshukri yang beraksi dalam acara lompat jauh bagi kategori rabun dengan catatan 3.91 meter, diikuti Noorhidayah Ibrahim yang juga menyertai acara sama tetapi dalam kategori buta yang melakukan 3.39m.

Jayapriya Raj yang mengalami kecatatan spastik juga menyumbang emas dengan catatan 1 minit 37.69 saat dalam acara 400m dan satu lagi disumbang Zainab Ashari bagi acara 100m kategori kecacatan intelek dengan masa 13.74s.

Selain olahraga, kontinjen negara turut meraih satu emas daripada acara angkat berat yang diraih Chan Siow Lee yang beraksi dalam kategori bawah 56 kilogram.

Stadium Nasional turut menyaksikan satu rekod dunia dicipta peserta Iran, Saleh Farajzadeh dalam acara lempar cakera yang melakukan catatan 39.73m, mengatasi rekod lamanya sendiri 39.12m yang dilakukan di Athens, Greece.

Catatan 15.80s oleh Mohd Hisham juga adalah satu peningkatan buatnya dan pelajar dari Pusat Kemahiran Pemulihan Marang Terengganu yang mengambil kursus kimpalan itu berkata, dia hanya meletakkan sasaran emas selepas melihat lawan yang akan menentangnya.

Sementara itu, Nursyafawati yang mengalami masalah rabun pada mulanya mensasarkan pingat emas dalam acara 100m tetapi gagal melaksanakan misinya apabila mendapat tempat keempat dan tidak meletakkan sasaran emas dalam acara acara lompat jauh berdasarkan rekod lalu yang sering tidak memihak buatnya.

Remaja berusia 17 tahun itu yang sepatutnya mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia mengambil keputusan menangguhkan dahulu peperiksaan itu kerana mahu membantu negara di temasya itu.

"Lain yang saya sasar lain pula yang menang. Saya tidak menyandarkan harapan dalam acara lompat jauh kerana berdasarkan rekod lalu di kejohanan Fespic remaja di Hong Kong pada 2003 saya sekadar mendapat perak,” kata pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Tun Abdul Malik, Kedah itu.

China buktikan terlalu hebat

Utusan Malaysia, 27 november 2006

Saleh Farajzadeh gembira meraikan kejayaannya memenangi pingat emas dengan memperbaharui rekod dunia Sukan Fespic KL’06 bagi Orang Kurang Upaya (OKU) di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam. – Gambar MOHD. NAZUDEEN MAHMUD.

KUALA LUMPUR - China menguasai kutipan pingat emas apabila menguasai acara olahraga, renang dan judo pada hari kedua Sukan Timur Jauh dan Pasifik Selatan (Fespic) ke-9 di sini, semalam.

Dengan memenangi 17 pingat emas bagi acara olahraga, sembilan emas di kolam renang dan tiga lagi menerusi acara judo, pasukan gergasi Asia itu dijangka meneruskan penguasaan mereka pada temasya ini.

Korea Selatan pula sempat ‘mencuri’ tiga pingat emas menerusi acara menembak dengan Hong Kong meraih dua pingat emas acara lawan pedang.

Iran pula meraih satu pingat emas dalam setiap acara lumba basikal, powerlifting dengan satu pingat emas bersama rekod dunia acara melempar cakera menerusi Saleh Farajzadeh dengan catatan 39.73 meter.

Malaysia selaku tuan rumah, turut menyerlah apabila meraih empat pingat emas acara olahraga di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Dua pingat emas awal diperoleh menerusi Noor Hidayah Ibrahim dan Nursyawati Ashukri bagi acara lompat jauh kategori F11 dan F13.

Noorhidayah memenangi kategorinya dengan lompatan sejauh 3.39m sementara Nusyawati dengan jarak 3.91m.

Bagaimanapun pingat yang dimenangi oleh Noor Hidayah tidak dimasukkan dalam pungutan pingat keseluruhan Malaysia selepas dua atlet, Senikula Ruci dari Fiji dan Uyen Phoung dari Vietnam menarik diri.

Noor Hidayah turut memenangi gangsa dalam acara 100m wanita kategori T11.

Dua lagi pingat emas Malaysia diperoleh menerusi Jayapriya Raj Indiran dan Mohd. Hisyam menerusi acara 400m wanita kategori T37 dan 100m lelaki kategori T43.

Jayapriya memenangi acaranya dengan mencatat masa 1:37.69s sementara Mohd. Hisyam dengan masa 15.80s.

Selain empat pingat ema, Malaysia turut merangkul lapan perak dan enam gangsa di gelanggang olahraga.

Sementara itu, Mohd Hisyam berkata dia memang yakin akan memenangi acara 100m itu berdasarkan prestasi semasanya.

Atlet berusia 18 tahun berkata, kemenangan yang dicatatnya pada kali ini memberikannya lebih semangat untuk mengharumkan nama negara pada kejohanan akan datang.

Bagi Jayapriya, kemenangannya dalam acara 400m adalah diluar dugaan kerana dia hanya meletakkan sasaran untuk memenangi pingat emas acara 100m.

‘‘Saya hanya menang gangsa acara 100m tetapi pingat emas 400m ini sekali gus menebus kekecewaan itu,’’ katanya.

Sunday, November 26, 2006

Malaysia bangga jadi tuan rumah

Berita Harian, 26 november 2006


KERAJAAN tidak hanya memberi tumpuan mempromosikan sukan kurang upaya (OKU) di dalam negara sahaja sebaliknya peranan itu dimainkan sehingga ke peringkat serantau.

Sambil melahirkan rasa bangga menjadi tuan rumah kepada Sukan OKU Timur Jauh dan Pasifik Selatan (Fespic) 2006, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman berkata kementeriannya melihat kepada pelan jangka panjang dalam membangunkan sukan itu.

Malaysia dipilih sebagai tuan rumah terakhir bagi penganjuran Sukan Fespic sebelum ia bertukar kepada Sukan Para Asia yang akan berlangsung di Guangzhou, China pada 2010.

“Pembangunan sukan OKU adalah satu daripada keutamaan yang diberi kementerian dan memberi tumpuan sama rata sebagaimana atlit normal dalam menyalurkan kemudahan dan pendidikan,” katanya dalam ucapan pada majlis perasmian Fespic KL06 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, semalam.

Sukan Fespic dibuka secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada majlis yang penuh bersejarah dengan dihadiri lebih 20,000 orang membabitkan tetamu, peserta dan pegawai.

Pada hari pertama temasya itu, Malaysia berjaya memungut pingat emas pertama menerusi lawn bowl apabila Abdul Rais Mohd Mokhtar dan Azmi Talib memenangi acara berpasangan lelaki kategori B8 di Pusat Lawn Bowls, Bukit Kiara.

Sukan Fespic kali kesembilan itu mempertandingkan 19 acara bermula semalam dengan disertai 2,455 peserta dari 47 negara. Malaysia sebagai tuan rumah menghantar 288 atlit yang akan beraksi dalam kesemua 19 acara sukan yang dipertandingkan.

Pada majlis perasmian itu hampir 5,000 atlit dan pegawai melafazkan ikrar dengan diikuti upacara menyalakan obor dan seterusnya penyerahan bendera kejohanan kepada Azalina yang kemudiannya diserahkan kepada Presiden Fespic, Dr Kazuo Hatada.

Dr Hatada turut menyerahkan bendera baru Majlis Paralimpik Asia (APC) kepada Presidennya, Datuk Zainal Abu Zarin untuk diserahkan kepada Datuk Bandar Guangzhou yang akan menjadi tuan rumah pada 2010.

Friday, November 24, 2006

Butik pengantin Norhalim buktikan kreativiti OKU


Utusan Malaysia, 24 november 2006

Oleh: RAHANA MD

HALIM tekun menjahit labuci yang menghiasi pakaian pelanggannya di butik Bridal Mate di Plaza Shah Alam, Selangor.

Sebagai butik perunding perkahwinan, perkhidmatan yang ditawarkan oleh Bridal Mate mungkin tidak ada bezanya dengan butik perkahwinan lain. Segalanya ada, daripada hiasan pelamin, gubahan hantaran, persalinan pengantin, hiasan bilik tidur hingga kepada bunga telur.

Namun, apa yang membezakan ialah tuan punya butik pengantin ini merupakan dari golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Melihat kreativiti dan kehalusan kerja-kerja gubahan serta jahitan manis yang dihasilkan, sukar mempercayai dilakukan oleh seorang OKU seperti Norhalim Talib atau lebih mesra dengan panggilan Halim.

Lebih 10 dekad berkecimpung dalam dunia perniagaan yang melibatkan perkahwinan, kekurangan diri bukan satu alasan bagi Halim sentiasa menadah tangan mohon simpati.

Kurang selesa dengan panggilan cacat walaupun hanya mempunyai sebelah tangan kanan, Halim, 40, lebih gemar bercerita tentang kemahirannya dalam bidang gubahan dan jahitan.

"Lazimnya apabila cuti sekolah hujung tahun seperti sekarang, adalah masa yang paling sibuk di Bridal Mate," katanya.

Walaupun menerima banyak permintaan, dia cuba mengehadkan kepada lima tempahan perkahwinan dalam satu hari bagi mengekalkan kualiti.

Di butiknya yang terletak di tingkat tiga, Plaza Shah Alam, Selangor, Halim dibantu oleh empat pekerja tetap dan lebih 20 pekerja sambilan yang biasanya diambil pada musim perkahwinan.

"Kerja-kerja memasang pelamin atau menghias dewan majlis memerlukan tenaga yang kuat. Saya beruntung kerana mempunyai pekerja yang mudah menerima teguran dan sentiasa belajar untuk meningkatkan kemahiran diri.

"Lebih menggembirakan ada beberapa pekerja yang telah berjaya dan membuka perniagaan sendiri pula,'' ujarnya.

Walaupun dibantu oleh pekerja, kerja-kerja gubahan, hiasan bilik tidur dan pelamin tetap mendapat sentuhan Halim.

"Kepercayaan pelanggan sebenarnya yang meningkatkan keyakinan saya dalam bidang ini. Saya ikhlas memberi yang terbaik kerana saya yakin pelanggan yang berpuas hati akan menyampaikan pula dari mulut ke mulut kepada sanak-saudara atau rakan taulan,'' ujarnya.

Selain sering dipanggil bagi kerja-kerja pemasangan pelamin dan hiasan dewan di hotel-hotel serta dewan-dewan terkemuka, Halim juga berasa bangga kerana kerap mendapat kepercayaan golongan artis dan VIP.

"Setakat ini saya telah menyediakan pelamin untuk Ziana Zain, Awie dan akan datang pelakon Diana Rafar. Begitu juga beberapa anak golongan VIP di sekitar Lembah Klang.

"Walaupun mendapat kepercayaan golongan tersebut, namun saya masih menganggap semua pelanggan sama.

"Saya mengenakan bayaran berdasarkan bajet dan kemampuan mereka. Setakat ini, saya telah menjelajah hampir ke seluruh negara berdasarkan kepada permintaan pelanggan,'' katanya.

Halim turut menawarkan perkhidmatan sewaan pakaian yang cantik berhias labuci dan sekuin sedondon dengan seledang panjang dan kasut.

Anak muda ini juga mahir dalam solekan dan sering mendapat pujian banyak pihak.

Bercerita mengenai dirinya, menurut anak ke enam ini, sejak lahir dia dilahirkan cacat dan hanya mempunyai sebelah tangan sahaja.

"Sejak lahir lagi saya hanya mempunyai sebelah tangan, namun saya amat berterima kasih kasih emak yang tidak mengasingkan saya daripada 10 adik beradik yang lain.

"Emak juga menghantar saya ke sekolah biasa dan sejak kecil saya tidak merasakan apa-apa kekurangan kerana boleh melakukan apa yang kanak-kanak lain buat.

"Bagaimanapun selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia saya banyak berfikir tentang masa hadapan dan peluang yang terhad diperoleh oleh OKU seperti saya.

"Kebetulan minat dalam bidang jahitan telah lama bersemi, lantas saya teruskan ikhtiar dengan mendalami bidang jahitan dan menerima kepercayaan pelanggan,'' katanya.

Kini, Halim bukan sahaja bijak berdikari tetapi menjadi kebanggaan OKU dan juga pelanggan yang sentiasa memberinya sokongan moral untuk terus berjaya pada masa hadapan.

Kepada sesiapa yang ingin membuat tempahan, Halim boleh dihubungi di talian 019- 3085058.

Baitulmal perkenal sembilan lagi skim penerima zakat

Utusan Malaysia, 24 november 2006

Oleh: W. RAHIMAH DRAMAN

MUSTAFA Abdul Rahman (kanan) bersama Che Mat Che Ali (kiri) menyerahkan cek bernilai RM70,000 kepada wakil penerima sumbangan Mat Ali Omar pada majlis Sambutan Hari Raya Penerima Bantuan Baitulmal MAIWP, baru-baru ini.

HIDUP ini tidak semuanya indah. Adakalanya kita dikurniakan rezeki yang melimpah ruah dan hidup senang lenang. Bagaimanapun, jangan kita lupa kepada mereka yang kurang bernasib baik terutama sewaktu menyambut Aidilfitri yang baru lalu.

Salah satu organisasi yang ditubuhkan khusus untuk membantu golongan ini ialah Baitulmal yang diletakkan di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Baru-baru ini, seramai 350 daripada golongan itu diraikan oleh MAIWP pada majlis sambutan Aidilfitri di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur. Pada majlis itu, MAIWP menyampaikan sumbangan hari raya berupa beras, wang zakat dan satu persalinan pakaian untuk setiap keluarga.

Pengarah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan merangkap Setiausaha Baitulmal, Datuk Che Mat Che Ali berkata, mulai tahun ini MAIWP memperkenalkan sembilan lagi skim bantuan baru dari Baitulmal, di samping 17 skim sedia ada.

“Skim-skim baru ini diperkenalkan bagi menambah lagi bilangan penerima bantuan zakat dan meluaskan skop penerima bantuan untuk golongan sasaran,” katanya.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Mustafa Abdul Rahman.

Tujuh skim baru itu ialah bantuan biasiswa belajar cemerlang, bantuan peralatan dan kecemasan persekolahan, bantuan tuisyen, bantuan galakkan hafaz al-Quran, bantuan pertanian, deposit van dan bas sekolah.

Bantuan lain ialah membeli motosikal roda tiga untuk orang kurang upaya, bantuan pelajaran kolej kejururawatan Pusrawi dan bantuan guaman syarie.

Menurut Che Mat, skim-skim bantuan Baitulmal itu hanya ditawarkan kepada golongan penerima yang melalui tapisan rapi oleh MAIWP dan beberapa agensi berkaitan yang lain.

Setiap permohonan yang diterima akan melalui proses tapisan yang agak lama bagi memastikan hanya warga negara sejati Malaysia dan yang benar-benar layak sahaja disenarai.

Rata-rata penerima sumbangan dari institusi berkenaan menyifatkan Baitulmal sebagai penyelamat untuk meringankan bebanan berikutan taraf hidup yang terus meningkat sekarang.

“Saya terpaksa memohon bantuan Baitulmal kerana tanggungan keluarga yang besar,” kata Mohd Zailani Abu Bakar, 32.

Bapa kepada kepada tujuh anak yang berusia antara satu setengah tahun hingga 11 tahun ini bagaimanapun baru sebulan lalu menerima bantuan Batiulmal.

“Saya tidak ada pilihan, gaji RM750 sebulan untuk menampung isteri dengan empat anak bersekolah terlalu berat bagi saya,” katanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Menurutnya, dengan bantuan RM200 sebulan dari Baitulmal yang mula diterima sejak Oktober lalu di samping kerja lebih masa empat jam setiap hari dapat meringankan sedikit beban kewangannya.

Bagi Md. Nazri Nathan, 53, yang cacat penglihatan dan hanya mengharapkan upah dari kerja-kerja mengurut, hidup beliau sekeluarga kini memang bergantung kepada kerajaan.

“Selain bantuan Baitulmal, saya juga dapat bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Menurutnya, dengan bantuan bulanan kerajaan itu dia dapat menyekolahkan kedua-dua anaknya.

“Saya suami isteri sama-sama buta. Kalau nak harapkan upah mengurut, alamat anak-anak saya tidak sekolahlah,” katanya.

Sementara itu, pasangan Zubaidah Husain, 42, dan suaminya Husain Deen Abdul Rahman, 42, pula berkata, mereka disenarai sebagai penerima bantuan Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana pendapatan kecil.

“Saya tidak kerja kerana menjaga anak yang cacat dan suami hanya bekerja sebagai pembantu restoran,” cerita Zubaidah yang menerima bantuan Baitulmal sejak dua tahun lalu.

Thursday, November 23, 2006

Peluang Ruang Niaga untuk OKU

Ni dapat dari Surat POCAM.

Para ahli sekalian,

PELUANG RUANG NIAGA UNTUK OKU MENJALANKAN PERNIAGAAN BERKONSEPKAN KIOSK DI MINES SHOPPING CENTER

Dengan segala hormatnya, merujuk kepada perkara di atas.

2. Selaras dengan matlamat MINES Shopping Center untuk membantu golongan oku berdikari melalui kemahiran usahawan, Mines telah
menawarkan peluang ruang niaga kepada golongan OKU menjalankan perniagaan berkonsepkan KIOSK di MINES Shopping Fair, Seri Kembnagan.

3. Bagi yang berminat, anda hanya dikenakan bayaran bulanan RM250 bagi menampung kos utiliti.

4. Untuk butiran lanjut sila hubungi

Ezani Yap Koon Hin (Yap Abdullah)
8 jalan Shahbandar 7/5
Section 5
Bandar Mahkota Cheras,
Cheras,
43200 Selangor.
(Tel: 014-6312005, 016-6231556)

APC penentu hala tuju atlet OKU

Utusan Malaysia, 23 november 2006

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Paralimpik Asia (APC) yang bakal dibentuk perlu memikul tanggungjawab yang lebih besar bagi memastikan perpaduan semua negara anggota dan bergerak maju.

Presiden Majlis Paralimpik Asia (MPA), Datuk Zainal Abu Zarin berkata, APC yang bakal dibentuk berikutan pembubaran Persekutuan Fespic dan MPA perlu menjana idea baru dan melakukan pembaharuan bagi kepentingan bersama semua anggota.

‘‘Sebagai pemimpin sukan di negara masing-masing, anda (perwakilan) perlu memikul tanggungjawab besar bagi melihat pergerakan ini dan sukan orang kurang upaya berada di landasan yang betul,’’ katanya pada perasmian Kongres Sukan Fespic-APC di Seri Kembangan dekat sini, semalam.

“APC dibentuk untuk mewujudkan kesedaran dan menonjolkan kepentingan menggalakkan sukan orang kurang upaya di negara masing-masing.

‘‘Kita perlu mengikuti perkembangan semasa dan oleh itu perlu menjana idea-idea baru,’’ katanya.

Persekutuan Fespic dan MPA akan dibubarkan Isnin ini, sekaligus membuka jalan ke arah pembentukan APC yang akan mengadakan perhimpunan agung pertama pada Selasa ini.

Selepas pembubaran itu, struktur baru APC akan hanya disertai oleh wakil dari semua negara Asia.

Sementara itu, kongres dua hari itu sempena Sukan Orang Kurang Upaya Timur Jauh dan Pasifik Selatan (Fespic) Kesembilan (KL’06) dihadiri oleh 150 peserta dari 27 negara.

Sukan Fespic selama tujuh hari mulai Sabtu ini, bertema “Mengatasi Cabaran, Membangkitkan Semangat Yang Lain,” merupakan temasya sukan terakhir yang dianjur oleh Persekutuan Fespic dan MPA.

Kongres itu menghimpunkan pakar daripada pelbagai bidang dalam sukan seperti pihak berkuasa, saintis dan pengurus sukan bagi membincangkan isu-isu dan peluang berkaitan dengan sukan orang kurang upaya dan masa depan pergerakan paralimpik serantau.

– Bernama

BAYI DUYUNG...

Utusan Malaysia, 23 november 2006

DOKTOR memeriksa kesihatan bayi yang dilahirkan dengan kaki bercantum di Hospital Kanak-Kanak di wilayah Hunan, selatan China, kelmarin. – AP.

Kecacatan sejak lahir seperti ini hanya berlaku dalam satu antara 100,000 kelahiran dan biasanya bayi yang lahir dalam keadaan sedemikian hanya mampu hidup selama satu atau dua hari sahaja.

Bagaimanapun, bayi perempuan yang dilahirkan dengan ‘sindrom duyung’ atau ‘Sirenomelia’ ini telah pun berusia kira-kira 13 hari setelah dihantar ke Hospital Kanak-Kanak di wilayah Hunan, selatan China, tiga hari selepas dilahirkan.

Setakat ini, hanya dua pembedahan memisahkan kaki yang bercantum itu berjaya dilakukan iaitu seorang bayi di Amerika Syarikat dan Peru.

Wednesday, November 22, 2006

Tiong Lai tiup semangat atlet OKU

Utusan Malaysia, 22 november 2006

MALAYSIA BOLEH... Liow Tiong Lai (tengah) bersama para pegawai dan atlet paralimpik pada majlis penyerahan Jalur Gemilang di Bukit Jalil, semalam. – Bernama.

KUALA LUMPUR – Atlet Orang Kurang Upaya (OKU) perlu menganggap diri mereka sebagai juara bagi memastikan sasaran menduduki tempat ke-10 dan mengutip 100 pingat akan tercapai pada Kejohanan Sukan Paralimpik Pasifik dan Timur Jauh (Fespic) dari 25 November hingga 1 Disember ini

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Liow Tiong Lai berkata, para atlet OKU yang diberi jolokan ‘Wira Negara’ juga perlu menjadikan kejohanan ini sebagai satu lagi cabaran yang perlu ditempuhi dalam kehidupan bagi memastikan kejayaan gilang-gemilang dicapai.

‘‘Kita janganlah gentar kerana inilah masanya untuk tunjukkan kebolehan sebenar dengan memberikan persembahan pada tahap tertinggi ketika berada di dalam gelanggang.

‘‘Sukan ini adalah kebanggaan negara dan segala bantuan akan diberikan bagi memastikan semangat atlet terus berkobar-kobar.

‘‘Sokongan padu yang diterima nanti mampu menjadi inspirasi kepada mereka untuk merealisasikan sasaran pingat tersebut,’’ katanya pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada Chef de Misson skuad Wira Negara, Prof. Datuk Dr. Ismail Salleh di sini, semalam.

Pada temasya kelapan di Busan, Korea Selatan empat tahun lalu, Malaysia pulang dengan 65 pingat daripada 12 acara yang disertai dan menduduki tempat ke-18 keseluruhan.

Turut berlangsung ialah majlis penajaan antara Majlis Paralimpik Malaysia dan Materskill College of Nursing yang akan membekalkan 500 orang pakar fisioterapi, jururawat dan pembantu perubatan sepanjang kejohanan berlangsung.

Masterskill juga akan menghantar 1000 tukang sorak bagi menaikkan semangat atlet OKU yang akan bertanding.

Sementara itu, Chef de Misson skuad Wira Negara, Prof. Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, tiada yang lebih berharga dan mengharukan bagi atlet OKU apabila mengetahui rakyat menghargai dan memberi sokongan padu terhadap perjuangan mereka.

Katanya, semua atlet sudah bersiap sedia untuk bertanding dan mempunyai semangat yang tinggi bagi mengharumkan nama negara.

‘‘Dari segi persediaan, semua sudah bersedia. Cuma, kami mengharapkan sokongan rakyat kerana dengan sokongan kelak, kontijen ini mampu memberikan keputusan yang lebih baik,’’ katanya.

Ketua kontijen atlet OKU, Bajury Ladis turut mengharapkan sokongan rakyat mampu merealisasikan hasratnya untuk memenangi pingat.

Dia yang akan bertanding dalam acara 100 dan 200m menjangkakan saingan datangnya dari pelari negara China.

‘‘Saya tidak janji akan membawa pulang pingat emas kerana pelari China merupakan yang kedua terbaik dunia.

‘‘Tetapi, jika melihatkan catatan peribadi iaitu 16.70s (100m) dan 36.56s (200 m), saya yakin mampu membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat, tidak kira apa pun warnanya’’ katanya.

Tuesday, November 21, 2006

Banyak tandas awam tak terjaga

Berita Harian, 21 november 2006


SUKAN Orang Kurang Upaya Timur Jauh dan Selatan (Fespic) KL ’06 akan berlangsung dari 25 November hingga 1 Disember ini dan seperti yang sedia maklum, Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Bandar Tun Razak Cheras Kuala Lumpur akan menjadi sebuah stadium yang akan digunakan.

Walaupun sudah terlalu hampir, masih belum kelihatan ‘banner’ pada tiang lampu atau papan tanda yang lebih banyak untuk menyemarakkan suasana kemeriahan sukan berkenaan kecuali Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dilihat giat menjalankan tugas mencantikkan kawasan berkenaan.

Barangkali kekurangan penaja menyebabkan ketiadaan promosi besar-besaran yang secara tidak langsung menyebabkan orang ramai tidak tahu apa yang berlaku, apa acara yang akan dilangsungkan dan di mana gelanggangnya.

Baru-baru ini, ketika singgah makan tengah hari di gerai terkemuka Medan Selera DBKL berhampiran Velodrom Bandar Tun Razak, saya mendapati terlalu banyak lalat sehingga mengganggu pelanggan yang makan.

Sekiranya ada di antara atlit, pegawai penonton atau wartawan dari luar negara datang makan di situ, pasti mereka akan mendapat gambaran buruk mengenai tahap kebersihan di negara ini.

Itu belum lagi melihat keadaan tandas dan surau yang berhampiran. Tempat pengumpulan sampah pula berbau busuk dan bahagian belakang gerai tidak begitu kemas.

Pasti ada cara perkara itu dapat diatasi sekiranya kebersihan menjadi keutamaan. Perlu disedari bahawa tahap kebersihan yang rendah sebenarnya menjatuhkan maruah negara kita yang bertungkus lumus cuba menarik kedatangan pelancong tahun depan sempena Tahun Melawat Malaysia.

Sebenarnya ini hanyalah satu contoh keadaan tahap kebersihan di negara ini kerana kita sebenarnya tidak bersungguh-sungguh untuk memperbaiki keadaan. Banyak masjid yang tersergam indah dengan tandasnya yang dilengkapi jubin yang mahal tetapi keadaan kebersihannya sangat menyedihkan.

Saya rasa pekerja yang ditugaskan membersih tandas patut diberikan kursus bagaimana cara menjaga kebersihan dengan betul. Kebanyakan mereka hanya mengelap lantai tanpa membersihkan kekotoran pada sinki, cermin dan membiarkan tempat duduk tandas basah dan kotor.

Saya pernah melihat pekerja di negara lain membersihkan tandas setiap masa, malah akan merungut jika kita tidak menjaga kebersihan. Di sini kebanyakan pekerja pencuci hanya mencuci ala kadar saja kecuali di tempat eksklusif seperti hotel, restoran atau kompleks beli-belah lima bintang.

Jika keadaan sebegitu dibiarkan, Malaysia akan kekal dalam ingatan pelancong yang datang melawat tahun depan sebagai negara rendah tahap kebersihan dengan tandas yang basah, busuk dan kotor.

SRI WARGA KOTA,

Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

Syor kelas khas murid ‘hyper aktif’

Berita Harian, 21 november 2006

SAYA mempunyai anak lelaki berusia 10 tahun, iaitu kanak-kanak istimewa yang dikategorikan sebagai kanak-kanak ‘hyper aktif’. Apa yang hendak saya luahkan, apakah ada sebarang program Kementerian Pelajaran khusus bagi kanak-kanak ini memandangkan di Malaysia terdapat ramai kanak-kanak seperti ini.

Anak saya kini bersekolah di sekolah kerajaan tetapi diletakkan di kelas khas. Adalah menjadi harapan agar Kementerian Pelajaran dapat berbuat sesuatu untuk kanak-kanak seperti ini kerana mereka dikatakan mempunyai tahap daya pemikiran tinggi jika mereka pulih nanti.

Mengikut kajian doktor pakar, mereka akan pulih seperti kanak-kanak normal apabila umur mereka meningkat. Pendidikan yang ada sekarang mungkin tidak sesuai untuk kanak-kanak ‘hyper aktif’ dan ini merugikan kerajaan dan negara pada masa depan.



Diharap Kementerian Pelajaran dapat mengadakan program khas atau mata pelajaran khas untuk golongan kanak-kanak ‘hyper aktif’ demi masa depan mereka kelak.

KELUARGA PRIHATIN,

Seremban.

Monday, November 20, 2006

Pegawai Banting lewat keluar kad OKU

Berita Harian, 20 november 2006

TIDAK lama dulu, Orang Kurang Upaya (OKU) digalakkan mendaftar di pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendapatkan kad ahli OKU bagi menikmati pelbagai kemudahan.

Saya yang lumpuh dari paras pinggang ke bawah bersusah payah mengambil borang dan membawanya kepada doktor untuk pengesahan kemudiannya mengembalikan borang itu ke pejabat JKM Banting.

Selepas hampir setahun saya pun ke pejabat berkenaan di Banting untuk bertanyakan mengenai kad ahli yang dipohon itu dan diberitahu bahawa ia masih dalam proses.

Saya kecewa dengan jawapan yang diberikan pegawai JKM itu kerana dalam setahun, sudah lima kali saya bertanya sedangkan orang lain yang senasib dengan saya di daerah lain mendapat kad mereka dalam seminggu.

Saya berharap pejabat JKM Banting membantu saya mendapatkan kad berkenaan secepat mungkin.



OKU TELOK PANGLIMA GARANG,

Sijangkang, Selangor.

Razak, Zul, Zamrie galas cabaran renang

Berita Harian, 20 november 2006

PERENANG negara, Razak Thambi, Zul Amirul Sidi Abdullah dan Mohd Zamrie Sapie menjadi pertaruhan terbaik negara untuk meraih sekurang-kurangnya tiga pingat emas pada saingan acara renang Sukan Fespic KL’06 yang bermula minggu ini.

Menurut pengurus pasukan negara, Dr Tengku Fadillah Tengku Kamalden, harapan menggunung kini tersandar ke atas bahu ketiga-tiga perenang berpengalaman negara itu biarpun perenang China dijangka mendominasi kolam renang di Pusat Aquatik Bukit Jalil.

“Amirul, Zamri dan Razak adalah pertaruhan terbaik dan sejak Julai lalu, perenang negara menunjukkan prestasi memberangsangkan termasuk memperbaiki catatan masa terbaik. Mereka bersedia memberi yang terbaik,” kata Dr Tengku Fadillah.

Selain trio negara itu, Malaysia yang akan diwakili skuad 40 perenang, juga mengharapkan persembahan mantap dari Wong Chee Kin (Cerebral Palsy) dan perenang berusia 35 tahun Matia Baun Seling dari Sarawak yang berpengalaman beraksi di peringkat tertinggi sebelum ini termasuk di Sukan Paralimpik Athens dan Sukan Komanwel di Manchester.

Di sebalik cabaran hebat yang bakal dihadapi terutama dari skuad China, perenang negara mungkin boleh tersenyum apabila diberitakan bahawa China mungkin hadir tanpa skuad terbaik mereka ke Sukan Fespic kali ini. Ini kerana kebanyakan perenang handalan mereka menyertai Kejohanan Renang Paralimpik Dunia yang berlangsung di Durban, Afrika Selatan dari 27 November sehingga 9 Disember ini.

“Tetapi kita tidak boleh memperkecilkan cabaran mereka sekalipun tanpa perenang utama, ini kerana China mempunyai banyak perenang handalan yang bersedia memikul tanggungjawab untuk negara mereka pada bila-bila masa,” kata Dr Tengku FAdillah.

Menurutnya, Malaysia boleh mengharapkan sesuatu dari Sukan Fespic kali ini tetapi segalanya bergantung kepada prestasi semasa hari pertandingan. “Setakat ini, semangat dan keyakinan mereka tinggi, semuanya bebas dari kecederaan dan tidak ada sebarang masalah utama.”

Dr Tengku Fadhillah berkata bahawa skuad perenang negara juga bertuah kerana mendapat perhatian khusus dari Majlis Sukan Negaara (MSN) yang bergitu mengambil berat aspek latihan dan kebajikan sepanjang mempersiapkan diri untuk Sukan Fespic kali ini.

“Mereka bukan sekadar berlatih untuk meraih kecemerlangan di KL06, tetapi juga kini sedang dalam rangka latihan menghadapi beberapa kejohanan besar akan datang termasuk Sukan Paralimpik di Beijing,” kata beliau.

Dianjurkan oleh Majlis Paralimpik Malaysia (MPC) dan Kementerian Belia dan Sukan, Sukan Fespic KL’06 adalah yang terakhir dalam kalendar Sukan FEspic sebelum digantikan dengan Sukan Para Asia pada 2010.

KL’06 yang akan dirasmikan Sabtu ini dan berlangsung sehingga 1 Disember ini akan menyaksikan penyertaan 4,000 atlit dan pegawai selain mempertandingkan 19 jenis sukan.

Thursday, November 16, 2006

Dunia Buku: Nasib gadis lumpuh

Berita Harian, 16 november 2006


SALAM Buat Laila karya Hana Shahab memaparkan keresahan remaja perempuan, Laila, yang hampir berputus asa dalam hidupnya selepas lumpuh kedua-dua belah kakinya akibat kemalangan jalan raya.


Laila berasa rendah diri apabila teman sekolahnya, Fikri, mula menjauhkan diri daripadanya dan akhirnya bertindak memutuskan persahabatan mereka hanya kerana fizikalnya yang sudah berubah.

Sementara menunggu keputusan peperiksaan PMR, kedua-dua ibu bapanya menghantar Laila ke rumah Opahnya di kampung bagi membolehkannya mendapat persekitaran baru dan memulihkan semangatnya.

Kebetulan sepupunya, Shira, turut pulang ke kampung dan kehadiran ibu saudara mereka, Mak Milah, yang rajin melayan kerenah mereka berdua, menjadikan suasana di rumah Opah bertambah ceria.

Suatu malam, ketika Mak Milah membawa Laila, Shira dan Opah makan malam di luar, mereka terserempak dengan cucu Haji Tarmizi, Fendi bersama sepupunya, Hilman Mansor yang nyata bersimpati dengan nasib Laila.

Hilman yang bersekolah asrama penuh di Melaka sejak di Tingkatan Satu sentiasa menghabiskan masa cuti sekolahnya di rumah datuknya kerana kedua-dua ibu bapanya melanjutkan pelajaran di New Zealand.

Selepas pertemuan pertama itu, Hilman menghulurkan salam persahabatannya dengan menghantar SMS kepada Laila tanpa memperkenalkan dirinya terlebih sehingga menimbulkan kemarahan gadis itu.

Bagaimanapun, kebijaksanaan Hilman memenangi hati Laila menyebabkan hubungan baik terjalin sehingga mereka tetap berhubung meskipun selepas Laila pulang ke Bandar Baru Bangi dengan janji akan kembali bercuti lagi ke kampung Opah.

Hilman bukan saja berjaya mengembalikan keceriaan Laila sebagai remaja tetapi memulihkan juga semangatnya untuk hidup selepas lama terkongkong dalam perasaan rendah diri selepas kemalangan jalan raya yang menimpa dirinya.

Sebaik Laila sampai di Bandar Baru Bangi, kedua ibu bapanya menerima panggilan bahawa Opah ditahan di Unit Rawatan Rapi dan memaksa ayahnya pulang ke Perak bersama Suhail.

Laila bersama ibunya menyusul kepada keesokan harinya untuk melihat keadaan Opah dan hati gadis itu berbunga pada tengah harinya sebaik Hilman sampai bersama Fendi dan Haji Tarmizi.

Hilman dan Laila berjanji akan bertemu semula sebaik Laila kembali ke kampung Opah tetapi kegembiraannya ibarat panas tidak sampai ke petang apabila gadis itu dikejutkan dengan berita rakannya itu terpaksa ke New Zealand tanpa menemuinya terlebih dulu.

Mengapakah Hilman menyepi diri selepas berlepas ke New Zealand dan apakah yang terjadi kepada Opah mahupun Mak Mulah akan diketahui dengan membaca novel setebal 141 halaman terbitan KarnaDya Solutions Sdn Bhd berharga RM10.90 senaskhah ini.


Fespic mahu kumpul dana RM1 juta

Berita Harian, 16 november 2006


SEBANYAK RM1 juta menjadi sasaran pada Festival Mengumpul Dana Sukan Orang Kurang Upaya Timur Jauh dan Selatan (Fespic) KL’06 yang membabitkan pelbagai aktviti lasak yang akan bermula pada 25 November ini.

Festival anjuran bersama Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan Teamwork International Sdn Bhd itu akan diadakan di Berjaya Times Square untuk acara Rapid Descent yang membabitkan aktiviti abseilling yang diadakan dari 25 hingga 26 November.

Acara Defy Newtons Law yang memerlukan pesertanya melakukan terjunan bungee akan diadakan di satu daripada lokasi mercu tanda Malaysia pada 1 Disember dan adalah pertama kali diadakan di negara ini.

Menerusi program itu, pihak korporat atau individu boleh menaja sebanyak RM5,000 membabitkan satu peserta dan RM15 untuk berkumpulan dengan disertai empat peserta.

Hasil kutipan itu akan disalurkan kepada tabung Fespic dan menambah dana sedia ada sebanyak RM25 juta yang diberikan kerajaan bagi penganjuran temasya itu.

Ketua Pegawai Eksekutif MPM, Datuk Zainal Abu Zarin berkata, festival itu dilakukan bagi mempromosikan temasya Fespic dan mengumpul dana dengan acara sukan lasak itu memandangkan ia mempunyai ramai peminat.

“Kami berharap dapat mengumpul dana sebagai tambahan kepada bajet awal RM25 juta yang diperuntukkan kerajaan.

“Dana tambahan itu bertujuan menampung perbelanjaan dalam menguruskan temasya ini dan ia akan disalurkan kepada jawatankuasa yang terbabit dalam penganjuran kejohanan ini,” katanya.

MPM batalkan kutipan SMS

Utusan Malaysia, 16 november 2006

Oleh BAZLI ABDUL RAHMAN

KUALA LUMPUR – Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) membatalkan kutipan derma menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi Sukan Paralimpik Pasifik dan Timur Jauh 2006 (FESPIC KL ‘06) yang dianggap membebankan penderma.

Pemangku Presiden MPM, Datuk Zainal Abu Zarin berkata, antara perkara yang membebankan penderma ialah caj atau bayaran bagi setiap SMS.

Contohnya, kata beliau, apabila bakal penderma menghantar SMS ke talian yang disediakan, SMS itu sudah bersifat berbayar.

‘‘Pengendali sistem itu kemudian membalas SMS tersebut untuk membolehkan bakal penderma memilih jumlah derma yang ingin disumbangkan.

‘‘Setelah nilai derma dipilih individu terlibat sekali lagi menghantar SMS ke talian berkaitan. Jadi, mereka terpaksa membayar dua kali.

‘‘Setelah kami mendapati langkah yang disediakan oleh syarikat pengendali itu membebankan penderma, kita memberhentikan kutipan menerusi sistem tersebut,’’ katanya pada sidang akhbar di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, semalam.

Berikutan itu, kata Zainal, pihaknya akan menggunakan pendekatan lain untuk mengutip dana tambahan sebagai menampung peruntukan RM25 juta yang telah disediakan oleh kerajaan bagi tujuan tersebut.

Zainal yang juga Ketua Pegawai Eksekutif FESPIC KL ‘06 menyatakan, pihaknya masih memerlukan kira-kira RM10 juta lagi untuk menampung perbelanjaan sukan itu.

‘‘Salah satu cara untuk mendapatkan dana tambahan ialah dengan mengadakan Festival Mengumpul Dana Sukan FESPIC KL ‘06 yang dijayakan dengan kerjasama Teamworks International Sdn. Bhd.

‘‘Antara usaha kami ialah mengadakan acara lasak termasuk ‘rapid descent’ yang merupakan acara ‘abseiling’ di Berjaya Times Square mulai 25 hingga 26 Disember ini.

‘‘Acara itu dijangka dapat menarik lebih 100 peserta untuk mengambil bahagian,’’ ujarnya.

Sepanjang FESPIC KL ‘06, lebih 5,000 atlet dari 62 negara Asia dan Oceania akan bertanding dalam temasya tersebut.

Sebanyak 19 jenis sukan dipertandingkan termasuk memanah, olahraga, boccia, badminton, lumba basikal, lawan pedang, goalball, judo, boling padang, power lifting, kapal layar, menembak, renang, pingpong, tenpin boling, bola tampar kerusi roda, bola keranjang kerusi roda dan tenis berkerusi roda.

Pada temasya di Busan, Korea Selatan 2002, Malaysia menduduki tangga ke-18 daripada 42 negara yang bertanding setelah meraih dua pingat emas, 28 perak dan 37 pingat gangsa.

Wednesday, November 15, 2006

Badminton risau tanpa Nabila

Utusan Malaysia, 15 november 2006

KUALA LUMPUR – Skuad badminton Malaysia ke Sukan Orang Kurang Upaya Timur Jauh dan Pasifik Selatan (Fespic) KL ’06 mungkin kehilangan pemain wanita tunggalnya, Nabila Ahmat Sharif yang tidak mendapat pelepasan majikan.

Nabila, yang merupakan satu-satunya wanita dalam barisan 29 pemain negara itu masih belum diberi pelepasan untuk menyertai kem nasional oleh majikannya di Kuching, sedangkan temasya akan bermula pada 25 November ini.

Perkembangan terbaru itu nyata meresahkan jurulatih kebangsaan, Abdul Rani Jaafar.

‘‘Saya sudahpun mengemukakan perkara ini kepada pihak tertentu dan harap masalah Nabila dapat diatasi segera kerana kita telah berada pada tahap terakhir latihan pusat,’’ kata Abdul Rani.

Persiapan

Bagaimanapun, katanya, selain masalah yang dihadapi Nabila, persiapan keseluruhan pasukan badminton negara berada pada landasan terbaik dengan fokus sekarang memantapkan stamina serta ketahanan pemain.

Sandaran emas terbaik Malaysia dalam acara lelaki digalas oleh Cheah Liek Hou, Jasmi Tegol dan Suhaili Laiman.

Namun begitu, pemain-pemain negara dijangka menerima cabaran hebat daripada Indonesia, Taiwan dan Hong Kong.

Dalam pada itu, Abdul Rani juga berharap Jasmi akan segera sembuh daripada demam campak yang dialami sejak beberapa hari lalu.

‘‘Jasmi belum sihat sepenuhnya tetapi saya yakin dia akan bersedia apabila saingan bermula pada 23 November ini,’’ kata Abdul Rani.

Tuesday, November 14, 2006

Larian Obor Fespic masuk fasa terakhir

Utusan Malaysia, 14 november 2006

ATLET orang kurang upaya negara ke Fespic KL ‘06, diketuai oleh M. Mariapan membawa obor temasya itu sempena Larian Misi Obor di Lebuh Raya Persekutuan, Kuala Lumpur, semalam. – Gambar AZMAN GHANI.

KUALA LUMPUR – Larian Obor Sukan Kurang Upaya Pasifik Selatan dan Timur Jauh (Fespic) Kuala Lumpur (KL ‘06) memasuki fasa terakhirnya apabila melintasi sempadan Selangor, semalam untuk diteruskan ke kawasan ibu kota pula.

Larian yang bermula di Petaling Jaya dan berakhir di Kota Darul Ehsan itu, bakal menjelajahi 11 kawasan Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebelum berakhir di Dataran Merdeka pada 23 November.

Seramai 200 peserta membawa obor Fespic itu ke Parlimen Seputeh dengan diketuai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Selangor, Datuk Ahmad Kuris Mohd Nor serta 300 pelari termasuk orang kurang upaya (OKU) yang juga peserta negara.

Pengarah Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Aziz Hamid yang mewakili Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ruslin Hassan, menyambut obor yang turut disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Fespic KL’ 06, Datuk Zainal Abu Zarin.

Larian Obor ini telah menjelajahi seluruh negara sejak 7 Mei lalu di Labuan manakala larian peringkat antarabangsa bermula di China pada 20 Oktober lalu yang membabitkan laluan sejauh 6,000 kilometer.

Kata Zainal yang juga Pemangku Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, “kami berjaya mencapai matlamat untuk mempromosikan KL ‘06 di seluruh Malaysia dan berharap masyarakat akan turut memberi sokongan.

“Larian ini juga bertujuan menyedarkan masyarakat tentang inspirasi, kesungguhan dan keazaman OKU untuk bersaing dalam acara sukan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Fespic yang merangkumi 16 jenis sukan akan bermula pada 25 November hingga 1 Disember dengan 47 negara telah mengesahkan penyertaan mereka.

Laman web cari jodoh

Berita Harian, 14 november 2006


JEDDAH: Satu laman web baru dilancarkan bertujuan membantu penduduk kurang upaya Arab Saudi mencari pasangan hidup secara online dan membuka peluang kepada golongan itu untuk menjalani kehidupan normal.


Laman web itu, www.afrah-khgh.com, berjaya menarik 731 ahli - 550 lelaki dan 181 wanita. Pengguna berdaftar berpeluang menggunakan enjin carian itu untuk mencari pasangan bersesuaian dengan umur, kerakyatan dan status sosial serta fizikal.

Pengurus laman web yang juga pegawai perkahwinan, Abdullah Al-Zahrani, berkata: “Apabila seseorang lelaki menyukai karektor seorang ahli wanita, dia boleh menghantar mesej kepada wanita berkenaan untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya.

“Jika bersesuaian, lelaki tadi boleh menghubungi saya untuk mendapatkan nombor penjaga sah wanita itu untuk melamarnya secara rasmi.”

Laman web itu sudah berjaya mengatur lebih 30 perkahwinan. – Agensi



termasuk menguruskan perkahwinan seorang lelaki muda yang lumpuh sebelah badan dengan wanita sempurna tubuh badan yang dikenalinya menerusi laman web itu.

Pihak yang bertanggungjawab mengendalikan skim itu berkata, laman web itu ialah peralatan untuk golongan kurang upaya bertemu dengan pasangan hidup dan tidak kekal berada dalam keadaan tidak mampu seumur hidup.

Ia, bagaimanapun tidak mengatur atau menerima perkahwinan misyar dan perkhidmatan terhad kepada ahli berdaftar saja.

Di antara kecacatan yang membolehkan seseorang layak menjadi ahli termasuk lumpuh sebelah badan, mengalami masalah penglihatan dan pendengaran, sawan, kecacatan mental, diabetes, tidak subur, kehilangan organ, mati pucuk dan masalah kulit.

Projek mencari jodoh untuk golongan kurang upaya itu bermula tahun lalu tetapi laman web berkenaan cuma dilancarkan musim panas tahun ini.

“Kami membuang pejabat yang kami gunakan untuk menjalankan operasi dari laman web ini kerana ia kini lebih mudah dilayari dan memberi manfaat besar kepada orang ramai,” kata Al-Zahrani. — Agensi

3 beradik cacat hilang tempat bergantung

Utusan Malaysia, 14 november 2006

Oleh ABDUL RAZAK DIN

TAIPING 13 Nov. – Nasib tiga adik-beradik cacat bagaikan ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ setelah tempat mereka bergantung selama ini sudah tiada lagi selepas kematian ibu mereka Ahad lalu.

Allahyarham Zainab Ibrahim, 62, meninggal dunia di Hospital Taiping (HT) kerana menghidap sakit jantung dan paru-paru berair.

Tiga adik-beradik itu, Ahmad Arbain Asri, 31; Mohd Isa, 24; dan Mohd Ali, 23, cacat di bahagian kaki sejak dilahirkan dan mereka hanya mampu mengesot untuk bergerak.

Kisah penderitaan ibu tunggal itu pernah dilaporkan oleh Utusan Malaysia pada 21 Oktober lepas semasa Pergerakan Pemuda UMNO Perak melawat keluarga berkenaan untuk menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri.

Allahyarham Zainab yang kematian suami sejak 10 tahun lalu terpaksa bekerja sebagai pembantu kantin bagi menyara tiga anaknya yang cacat itu serta dua lagi adik perempuan yang masih bersekolah.

‘‘Saya tak tahulah apa yang akan terjadi jika saya tidak berupaya melakukan kerja berat lagi selepas ini tetapi demi anak-anak, saya tabahkan juga untuk melakukannya,” kata Zainab selepas menerima sumbangan pakaian dan duit raya daripada Pergerakan Pemuda UMNO Perak di rumahnya di Kampung Boyan di sini semasa bulan Ramadhan lalu.

Zainab mempunyai sembilan orang anak tetapi hanya tiga anak lelakinya yang cacat manakala enam anak perempuannya yang lain adalah normal dan telah berumah tangga kecuali dua yang masih bersekolah.

Beliau menyara keluarga dengan pendapatan RM300 sebulan hasil bekerja di sebuah kantin sekolah, bantuan RM135 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat serta sumbangan anak dan menantu.

Kini tanggungjawab itu dipikul oleh anak Allahyarham, Salasiah, 38, yang sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak berumur 13 tahun dan setahun.

Salasiah tinggal bersama suaminya Abu Hassan Hamid, 38, di Semanggol kira-kira 35 kilometer dari sini kini terpaksa berpindah semula ke rumah ibunya semata-mata kerana menjaga adik-adiknya yang cacat itu.

‘‘Oleh sebab tidak ada orang yang akan menjaga mereka, saya terpaksa balik ke sini walaupun mempunyai tanggungjawab sendiri untuk menjaga anak dan suami,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Salasiah berkata, beliau dibantu oleh seorang lagi adiknya, Hasnah, 30, yang masih belum berumah tangga.

‘‘Kami terpaksa bergilir-gilir untuk menjaga adik-adik selepas ibu meninggal dunia...Tak tahulah saya, kalau tidak ada kami, siapa lagi yang boleh kami harapkan untuk menjaga mereka,” katanya.

Beliau berkata, selain memikirkan nasib adik-adiknya, beliau juga bimbang mengenai kedudukan rumah peninggalan ibu yang dibina di atas tanah rizab Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) itu.

Menurutnya, pada 3 Oktober lepas keluarganya mendapat surat daripada Bahagian Pengurusan Projek KTMB di Taiping bahawa mereka akan dimaklumkan sekiranya ada projek yang akan dibangunkan di situ.

Difahamkan, penduduk setinggan di situ perlu berpindah apabila KTMB melaksanakan projek landasan berkembar tidak lama lagi.

Salasiah berkata, beliau berterima kasih kepada pihak media kerana menyiarkan kisah penderitaan keluarganya kerana ada beberapa pihak telah menghulurkan bantuan dan sumbangan.

Beliau menafikan laporan sebuah akhbar baru-baru ini yang mengatakan adik-adiknya yang cacat menggunakan kerusi roda mencari tin kosong untuk dijual bagi membantu meringankan beban keluarganya.

‘‘Itu tidak benar, mana boleh mereka dengan menggunakan kerusi roda ke sana ke mari untuk mencari tin kosong... nak bangun pun susah,” katanya.

Monday, November 13, 2006

Wanita bisu cari waris

Berita Harian, 13 november 2006


KUALA LUMPUR: Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Petaling memohon bantuan orang ramai mengesan ibu bapa kandung atau waris kepada seorang wanita bisu dan pekak yang kini ditempatkan di sebuah rumah kebajikan di Cheras, Selangor.


Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah itu, Azlina Mohd Salleh, berkata pihaknya menghadapi kesukaran untuk mengesan waris wanita berkenaan kerana masalah komunikasi.

Beliau berkata, wanita itu yang diberi gelaran ‘Su’ juga tidak boleh menulis atau memahami sebarang bahasa isyarat.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi talian 03-56335728 atau 03-56337395.

Permata Hati: Implan koklear atasi masalah pendengaran

Berita Harian, 13 november 2006


Sharifah Nur Nabihah jalani pembedahan telinga untuk pasang alat khas ketika usia tiga tahun


KELAHIRAN Sharifah Nur Nabihah Syed Ahmad sebelas tahun lalu, seperti kanak-kanak normal yang lain. Comel dan menceriakan, malah perkembangan carta bayi yang digunakan untuk mengesan sebarang tanda tidak normal adalah negatif.

Pada usia setahun, ibunya, Sharifah Aziza Syed Osman mula mengesan sedikit perubahan pada perkembangan anak bongsunya itu apabila mulutnya tidak ‘bising’ menyebut “ma...ma” seperti abangnya dulu Syed Mohd Hafiz pada usia sedemikian.

Dalam hatinya terdetik, mungkinkah anak itu mengalami kecacatan pendengaran, tetapi menyusuri keturunan keluarga, kedua-dua pihaknya mahupun suami, tiada seorang berhadapan masalah sedemikian.

“Rakan saya menyarankan supaya membunyikan hon atau mengetuk tin di belakang atau sebelahnya untuk melihat sebarang reaksi ataupun tidak. Saya lakukan perkara sedemikian dan memang tiada tindakan. Dia seperti tidak mendengar apa-apa.

“Saya seterusnya merujuk kepada pakar kanak-kanak di sebuah klinik di Sungai Petani, dan doktor menyatakan memang ada sesetengah kanak-kanak menghadapi perkembangan yang agak lambat. Penerangan itu memberikan saya sedikit kegembiraan, tetapi perasaan itu tidak tahan lama.

“Pada usia setahun dua bulan saya ke klinik pakar telinga, hidung dan tekak di Alor Star untuk membuat pemeriksaan, memastikan apa sebenarnya yang berlaku kepada Nabihah. Seminggu selepas itu apabila keputusan diperoleh, memang benar Nabihah mengalami kecacatan pendengaran yang kekal dan saya perlu melakukan sesuatu untuk membantunya,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Nabihah di sebelahnya, tersenyum sambil sesekali sekala membisik ‘malu lah ma’ dengan manja mendengar ibunya bercerita mengenai dirinya itu.

Bekerja keras mencari penawar mengubati kekurangan anaknya itu, hanya Allah tempat mengadu. Berita menggembirakan sampai ke telinganya apabila dikhabarkan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) ada menyediakan rawatan implan koklear dan Nabihah atas sokongan keluarga merestui pembedahan berkenaan.

“Bukan mudah untuk saya membuat keputusan. Wang satu hal, masa depan juga hal yang lain. Walaupun majikan ada menyediakan tanggungan perubatan untuk anak, sayangnya rawatan berkenaan tidak termasuk dalam pembiayaan kerana dianggap sebagai rawatan kosmetik.

“Bagaimanapun atas sumbangan sanak saudara, akhirnya pada usia tiga setengah tahun, ia berjaya direalisasikan dan bermula saat itu episod kehidupan barunya bermula. Walaupun berusia tiga tahun, perkembangan pertuturan seperti anak berusia setahun.

“Berulang dari Kedah ke Kuala Lumpur untuk membawanya ke kelas pertuturan antara perkara yang perlu saya lakukan tanpa culas hingga ke hari ini. Memikirkan kepentingannya, akhirnya saya mengambil keputusan untuk ‘berhijrah’ ke ibu kota tidak lama selepas itu,” katanya.

Hakikatnya, hari ini bukan seperti dulu lagi. Mendung di hati Sharifah Aziza berarak pergi dan sinar bahagia menanti setiap kali permata hati menunjukkan perkembangan positif seperti rakan sebaya yang lain. Marah, merajuk, mahupun gembira, sudah menjadi perkara biasa yang sering kali ‘ditunggu-tunggu’ olehnya.

Nabihah, murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Seksyen 9, Shah Alam semakin seronok melalui hari mendatang. Bersama kebolehan seni, melukis, Sharifah Aziza berkata, anaknya banyak menghabiskan masa lapang dengan melukis dan berenang.

“Setiap minggu saya akan membeli buku lukisan kerana dia gemar melukis, khususnya yang berkaitan dengan haiwan dan bunga.

Katanya, seronok sebab lukisan dapat melahirkan kepuasan dan ketenangan.

“Untuk menjaga kanak-kanak seperti ini, doktor menyatakan keluarga perlu selalu berborak dengannya untuk memperkayakan perbendaharaan kata apatah lagi dia hidup umpama ‘mesin’ kerana alat yang dibawa bersamanya itu akan diset atau dipertingkatkan berdasarkan perkembangan pertuturannya itu.

“Kebolehan menyanyi, menjawab telefon dan sebagainya mampu dilakukan, dengan kata lain beliau memang seperti kanak-kanak biasa. Bagaimanapun, kecacatan itu memang kekal dan bergantung sepanjang hidup dengan alat berkenaan, cuma waktu tidur saja tidak perlu pakai.

“Ketika kecil dulu beliau ada menggunakan alat bantuan pendengaran, tetapi dia tidak selesa dan selalu ingin mencabutnya. Bagaimanapun dia kelihatan senang dengan alat ini. Pernah juga dia merungut ‘macam-macamlah mak ni’, tetapi hari ini sudah menjadi sesuatu kebiasaan baginya,” katanya yang menyatakan alat berkenaan mudah dikendalikan, bagaimanapun memerlukan empat bateri bersiaz AA setiap hari.

Sementara itu, Nabihah yang kelihatan ceria, tetapi malu apabila diambil gambar berkata, apa dilalui hari ini semua menyeronokkan, dan berharap masa depan bakal dilalui juga seronok seperti sebelum ini.

“Kawan dan guru sekolah, termasuk Noreha Hashim selalu memberikan sokongan kepada setiap perkara yang saya lakukan. Semua perkara saya boleh sebut dan faham kecuali panggilan ayah,” katanya mengakhiri perbualan kerana perpisahan antara ibu bapanya terjadi sebelum beliau mengenal bapanya dan mampu ‘mendengar’ seperti hari ini.

Bagaimanapun Sharifah Aziza berkata, ibu bapa yang mempunyai anak sebegini perlu segera mendapatkan rawatan kerana pembedahan implan koklear tidak boleh dilakukan selepas kanak-kanak berkenaan berusia lebih lima tahun.

“Sokongan keluarga perlu kerana anak ini memerlukan perhatian yang lebih. Saya bernasib baik kerana ketentuan Allah memberikan saya kekuatan untuk melalui cabaran hari ini dengan lebih tenang dan yakin walaupun tanpa suami di sisi,” katanya.