Monday, October 16, 2006

Warga emas di Kelantan dilindungi Takaful

Harakahdaily, 15 oktober 2006

Sun | Oct 15, 06 | 05:20:07 PM
Oleh Rizal Tahir

KOTA BHARU, 15 Okt (Hrkh)
- Kelantan menjadi negeri pertama di negara ini yang akan mencarum insurans kepada warga emas berumur antara 60 hingga 75 tahun sebagai usaha meringankan bebanan kehidupan mereka.

Sehubungan itu sebanyak RM3 juta bagi membiayai skim insurans kepada warga emas di bawah Skim Perlindungan Sosial Takaful diperuntukkan kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, Dato’ Husam Musa berkata, cadangan itu akan dibentang pada persidangan Dun November ini.

"Sekiranya ia diluluskan, bermula Januari tahun hadapan warga emas berpeluang menyertai skim insurans perlindungan tersebut. Pencarum akan menerima pampasan apabila mereka meninggal dunia," katanya selepas menyampaikan bantuan kepada 59 orang kurang upaya (OKU) di Dun Salor, baru-baru ini.

Di Kelantan sekarang dikenalpasti terdapat seramai 110,000 warga emas. Skim itu diberi keutamaan kepada warga emas yang daif, miskin dan mempunyai tanggungan ramai. Setiap mereka akan dicarum sebanyak RM25 setahun.

Husam juga berkata, bagi Tabung OKU kerajaan negeri akan menaikkan jumlah peruntukan daripada RM500,000 kepada RM1 juta mulai tahun hadapan.

Pada majlis itu setiap OKU menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat antara RM300 hingga RM600. Turut hadir hadir Pengurus Tabung Amanah Tok Kenali, Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Pemuda Kubang Kerian, Mohd Nuri Yaakob.


No comments: