Tuesday, October 10, 2006

OKU mampu pikul tanggungjawab

Berita Harian, 10 oktober 2006

KUCHING: Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) berpotensi dibangunkan sebagai sumber tenaga kerja mahir, yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara, terutama dari segi ekonomi.

Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) Pusat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata usaha itu boleh dilaksanakan sekiranya mereka diberi peluang, selain latihan yang mencukupi.

"Dalam menjayakan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), antara perkara yang diberikan perhatian ialah pembangunan modal insan, khusus dalam menyediakan pekerja mahir bagi membantu membangunkan negara.

"Ini perlu membabitkan sama golongan OKU sebab saya lihat ada di antara mereka yang mahir dan berpengetahuan dalam pelbagai bidang. Cuma, mereka tidak diberi peluang dan latihan secukupnya," katanya kepada pemberita, di sini.

Terdahulu, beliau berbuka puasa dan menyampaikan bantuan raya kepada 161 OKU dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut dan Pantai Damai anjuran Pusat Khidmat Parlimen Santubong.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Damai, Dr Abdul Rahman Junaidi dan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Demak Laut, Wan Hamzah Wan Paie.

Beliau turut menggesa supaya kepentingan OKU tidak diketepikan dalam pembangunan pelbagai projek yang dilaksanakan kerajaan, termasuk projek perumahan dan infrastruktur lain seperti jalan raya.

"OKU juga sebahagian daripada rakyat negara ini, yang hak dan kepentingan mereka perlu sentiasa diambil kira. Justeru, kita mahu lebih banyak kemudahan disediakan untuk golongan ini.

"Kita tidak mahu nanti, dalam usaha menyediakan kemudahan kelas pertama untuk rakyat, golongan OKU dipinggirkan. Padahal, mereka juga berhak untuk hidup selesa juga seperti orang lain," katanya.

Katanya, sudah tiba masa pihak jurutera, perancang bandar dan arkitek memikirkan pembinaan rumah, jalan raya dan pelbagai projek lain yang lebih mesra OKU.

"Di Malaysia, belum banyak lagi kemudahan yang mesra OKU seperti di negara luat. Jadi, saya fikir usaha perlu disegerakan dan mahu kerajaan memberikan perhatian serius terhadap hal ini.

"Ini sejajar dengan usaha memulihara hak dan kepentingan golongan itu, selain memastikan mereka tidak merasa tersisih dalam masyarakat," katanya.

No comments: