Monday, October 16, 2006

Faedah pesakit mental

Berita Harian, 16 oktober 2006

KUALA LUMPUR: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) mahu lebih banyak faedah diberikan kepada pekerja sakit mental seperti liputan insurans yang ketika ini dinafikan kepada mereka.

Presidennya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata relif cukai pendapatan bagi ibu bapa atau saudara mara yang menjaga mereka dan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik di hospital kerajaan adalah faedah lain yang harus turut dipertimbangkan.

“Kita perlu menghapuskan segala bentuk diskriminasi terhadap mereka yang pulih daripada sakit mental agar mereka dapat berperanan dalam masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Lee menarik perhatian masalah kesihatan mental, khususnya yang ada kaitan dengan tekanan di kalangan warga Malaysia, perlu diberi perhatian serius.

“Niosh sependapat dengan Kementerian Kesihatan dan mahukan langkah segera diambil bagi menyelesaikan isu sakit mental di tempat kerja membabitkan majikan, pekerja dan pihak-pihak berkuasa berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pengabaian kesihatan mental dan faktor psikologi di tempat kerja tidak saja menjejas pekerja individu tetapi juga secara langsung menjejas kecekapan, keberkesanan dan hasil kerja.

“Kesihatan mental bukan hanya mengenai sakit mental. Ia perasaan sejahtera diri, kebolehan menangani banyak cabaran hidup dan mempunyai sikap positif terhadap diri sendiri,” kata beliau.

Lee berkata gangguan mental boleh menjejas prestasi pekerja, menyebabkan sering sakit, ketidakhadiran dan kemalangan. – Bernama

No comments: