Tuesday, October 17, 2006

Pendidikan khas terima peruntukan RM440 juta

Berita harian, 17 oktober 2006


Biayai projek termasuk naik taraf 2,800 kelas pemulihan dalam RMK-9

JABATAN Pendidikan Khas (JPK), Kementerian Pelajaran, mendapat peruntukan pembangunan sebanyak RM440 juta dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Timbalan Ketua Pengarah Pelajarannya, Datin Rahimah Ghazali, berkata peruntukan itu merangkumi pelaksanaan projek menaik taraf 2,800 kelas pemulihan khas dan 800 program pendidikan khas integrasi seluruh negara.

Seterusnya, beliau berkata, dua sekolah menengah pendidikan khas vokasional baru akan dibina, masing-masing sebuah di Perlis dan Pahang, dijadualkan tahun depan.

Di samping itu, katanya, peruntukan berkenaan juga akan digunakan untuk projek penggantian serta menaik taraf sekolah pendidikan khas sedia ada yang mempunyai keperluan.

“Sejak JPK ditubuhkan pada 1995, sejumlah 32 sekolah pendidikan khas berada di bawah kawalan jabatan ini secara langsung, iaitu 28 peringkat rendah dan empat menengah. Sebanyak 698 program pendidikan khas integrasi di sekolah rendah, manakala 376 lagi menengah.

“Terbaru, Jawatankuasa Kurikulum Pusat kementerian sudah meluluskan beberapa lagi mata pelajaran vokasional pendidikan khas sebagai tambahan kurikulum sedia ada dan akan dilaksanakan tahun depan,” katanya kepada Berita Harian.

Berdasarkan data sehingga Jun lalu, Rahimah berkata, sejumlah 25,106 pelajar bermasalah penglihatan, pendengaran dan pembelajaran berada dalam sistem pendidikan khas di bawah Kementerian Pelajaran.

Daripada jumlah itu, beliau berkata, seramai 15,911 pelajar sekolah rendah, menengah (8,832) dan prasekolah (363).

Pada peringkat rendah dan menengah, katanya, masing-masing 1,826 dan 1,508 adalah pelajar bermasalah pendengaran, penglihatan (330 dan 353), manakala pembelajaran (13,755 dan 6,971).

“Saya yakin masih ramai kanak-kanak yang sebenarnya berkeperluan dan layak mengikuti Program Pendidikan Khas Kementerian Pelajaran tetapi tidak berpeluang.

“Antara faktornya ialah mereka kekurangan maklumat mengenai program ini, masalah jarak agak jauh antara sekolah dan rumah serta kekangan pengangkutan.

“Bagaimanapun secara keseluruhan, keyakinan ibu bapa terhadap program ini didapati bertambah. Ini terbukti dengan peningkatan agak besar dari segi enrolmen pelajar sejak lima tahun lalu,” katanya.

Selain pelajar berkeperluan khas, Rahimah berkata, JPK turut menganggotai jawatankuasa bertindak program pendidikan bagi kanak-kanak Orang Asli, Penan dan peribumi Sabah yang dikategorikan berisiko tinggi.

Dalam konteks ini, katanya, beberapa program `outreach’ dilaksanakan dengan terbaru di Chini, Pekan, bertujuan memberi kesedaran pendidikan, menangani isu berkaitan dan mengenal pasti pelajar berkeperluan khas di kalangan Orang Asli.

No comments: